Skuad kendalian Didier Deschamps dilihat ramai sebagai pilihan utama untuk menjulang Piala Dunia kerana kekuatan mereka tidak bergantung kepada seorang bintang semata-mata.

Sebaliknya, Perancis memiliki barisan serangan muda yang sarat dengan mutu, kepelbagaian dan mampu bertukar peranan dengan lancar, menjadikan mereka sukar dikekang mana-mana benteng pertahanan.

Kemunculan Michael Olise pula menambah dimensi kreatif baru kepada jentera serangan Perancis, manakala pemain berpengalaman seperti Ousmane Dembele terus menawarkan ancaman menerusi keupayaan menggunakan kedua-dua kaki serta intensiti tekanan tinggi yang menjadi identiti pasukan itu.

Nilai dan kualiti barisan serangan Perancis turut terserlah menerusi anggaran nilai pasaran sembilan pemain serangan yang dipilih, yang melebihi $1.19 bilion.

Malah, gandingan Michael Olise, Ousmane Dembele, Kylian Mbappe dan Desire Doue sahaja dianggarkan bernilai sekitar $790 juta – mengatasi anggaran keseluruhan nilai barisan serangan Brazil yang bernilai sekitar $746 juta.

Kehadiran Kylian Mbappe selaku penyerang berbisa menjadi antara sandaran utama untuk menjaringkan gol bagi Perancis.
Kehadiran Kylian Mbappe selaku penyerang berbisa menjadi antara sandaran utama untuk menjaringkan gol bagi Perancis. - Foto REUTERS

Sudah tentu, tumpuan utama terarah kepada kapten pasukan, Kylian Mbappe.

Penyerang Real Madrid itu bakal mengharungi Piala Dunia ketiganya dan terus menjadi wajah utama generasi baru Perancis.

Beliau sudah meluahkan hasratnya untuk ke final pertandingan tersebut.

“Perlawanan akhir Piala Dunia pada 19 Julai di Amerika Syarikat adalah bayangan saya setiap pagi, tengah hari dan malam. Tarikh itu sudah pun ditandakan,” kata penyerang berusia 27 tahun itu.

“Kami mempunyai pasukan yang hebat dan saya berharap kami akan berada di sana.”

Selepas menjaringkan 42 gol dalam 44 penampilan sepanjang musim 2025-26, Mbappe hadir ke Piala Dunia dengan peluang untuk terus mengukir sejarah.

Dengan 12 gol dalam dua edisi Piala Dunia terdahulu, termasuk hatrik dalam final 2022 menentang Argentina, beliau kini hanya memerlukan empat lagi gol untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan milik legenda Jerman, Miroslav Klose, yang menjaringkan 16 gol.

Mbappe juga semakin hampir untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis yang dipegang Olivier Giroud, iaitu 57 gol.

Namun, kekuatan Perancis tidak terletak kepada Mbappe semata-mata.

Pemain jentera serangan Perancis, Michael Olise (kiri) sering kali dilihat sebagai pelengkap barisan serangan mereka, kerana beliau bukan sahaja mampu menjaringkan gol , malah bijak mencari bantuan gol untuk rakan sepasukannya.
Pemain jentera serangan Perancis, Michael Olise (kiri) sering kali dilihat sebagai pelengkap barisan serangan mereka, kerana beliau bukan sahaja mampu menjaringkan gol , malah bijak mencari bantuan gol untuk rakan sepasukannya. - Foto AFP

Olise muncul sebagai antara pemain paling menyerlah di Eropah musim ini selepas mencatatkan 26 bantuan gol bersama Bayern Munich dalam semua pertandingan.

Kreativiti, visi permainan dan kebolehannya mencipta peluang menjadikannya antara pemain yang mampu menentukan hala tuju perlawanan.

Kebolehan Olise mendapatkan pujian rakan sepasukannya, Aurelien Tchouameni.

“Apabila bola berada di kakinya, beliau membuatkan segalanya kelihatan sangat mudah,” katanya.

Keupayaan Ousmane Dembele (tengah) melakukan tekanan tinggi dan mengancam kubu lawan menerusi kedua-dua belah kakinya menjadi aset penting jentera serangan Perancis.
Keupayaan Ousmane Dembele (tengah) melakukan tekanan tinggi dan mengancam kubu lawan menerusi kedua-dua belah kakinya menjadi aset penting jentera serangan Perancis. - Foto AFP

Di bahagian sayap, Dembele pula menikmati musim terbaik dalam kerjayanya.

Walaupun hanya memulakan 11 perlawanan liga sebagai pemain utama, beliau tetap dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Ligue 1 selepas merekodkan purata 1.4 gol dan bantuan gol bagi setiap 90 minit.

Pemain Paris Saint-Germain itu turut menjaringkan gol dalam kemenangan final Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling berbahaya di dunia ketika ini.

Pemain muda berbakat Perancis, Desire Doue, juga bersedia untuk memberikan impak apabila beliau diberikan peluang untuk bermain.
Pemain muda berbakat Perancis, Desire Doue, juga bersedia untuk memberikan impak apabila beliau diberikan peluang untuk bermain. - Foto EPA

Gabungan Mbappe, Dembele, Olise dan bakat muda Desire Doue memberi Perancis salah satu jentera serangan paling lengkap dalam kejohanan.

Di bahagian pertahanan pula, Perancis masih boleh bergantung kepada tonggak seperti William Saliba yang dianggap antara pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini.

Kehadirannya bersama pemain-pemain berpengalaman lain memberi keseimbangan kepada pasukan yang sarat dengan bakat menyerang.

Bagaimanapun, bukan semuanya sempurna buat Perancis.

Posisi bek kiri masih dilihat sebagai kawasan yang boleh dieksploitasi lawan.

Kelemahan itu dilihat ketika mereka dikejutkan Ivory Coast dalam aksi pemanas badan baru-baru pada 5 Jun apabila gol kemenangan lawan hadir menerusi serangan di bahagian kiri pertahanan Perancis.

Namun kekalahan tersebut tidak dijangka menjejas keyakinan pasukan secara keseluruhan.

Saliba direhatkan dalam perlawanan itu dan Deschamps masih mempunyai masa untuk memperkemaskan beberapa aspek sebelum kempen sebenar bermula.

Piala Dunia 2026 juga membawa makna yang lebih mendalam buat Perancis kerana ia merupakan kejohanan terakhir Deschamps sebagai ketua jurulatih selepas 14 tahun menerajui pasukan kebangsaan.

Sepanjang tempoh itu, beliau membawa Perancis menjuarai Piala Dunia 2018, mara ke final Euro 2016 dan final Piala Dunia 2022.

Tidak ramai jurulatih dalam sejarah moden mampu menandingi rekod ketekalannya di pentas antarabangsa.

Kini, Deschamps berpeluang menutup tirai kerjayanya bersama skuad kebangsaan dengan satu lagi trofi Piala Dunia.

Faktor itu pastinya menjadi motivasi tambahan buat para pemain yang mahu menghadiahkan perpisahan sempurna kepada jurulatih yang banyak membentuk kejayaan generasi ini.

Dembele akui bahawa faktor itu menjadi pendorong tambahan bagi pasukan.

“Kami tahu ini adalah kejohanan terakhir buat jurulatih... kami mahu mengakhiri saingan ini dengan baik bersamanya dengan melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia.

“Beliau layak mendapat pencapaian tersebut,” katanya.

Apabila menilai keseluruhan skuad, sukar untuk tidak meletakkan Perancis sebagai antara calon paling kuat untuk muncul juara.

Pasukan itu memiliki pengalaman beraksi di pentas terbesar, pemain-pemain yang kini berada pada usia kemuncak, serta kedalaman skuad yang membolehkan mereka mengatasi kecederaan atau penggantungan pemain sepanjang kejohanan.