Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis bangkit belasah Belgium 4-1, Italy kekal tanpa kalah selepas menang 3-1 lawan Turkey
Perancis bangkit belasah Belgium 4-1, Italy kekal tanpa kalah selepas menang 3-1 lawan Turkey
Perancis bangkit belasah Belgium 4-1, Italy kekal tanpa kalah selepas menang 3-1 lawan Turkey
PARIS: Perancis bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Belgium 4-1 dalam saingan Kumpulan A1 Liga Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) di stadium nasional Stade de France pada 5 Oktober.
Sementara itu, Italy melakar rekod tiga perlawanan berturut-turut tanpa kekalahan menerusi kemenangan 3-1 ke atas Turkey.
Kemenangan sulung pengurus skuad Perancis, Zinedine Zidane, di tempat sendiri datang tiga hari selepas keputusan seri 1-1 menentang Italy, hasil prestasi hebat para pemain simpanan.
Pemain Belgium, Dodi Lukebakio, meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-35, namun para pemain Perancis yang pada awalnya berada di bangku simpanan – Desire Doue, Rayan Cherki dan Michael Olise – bangkit mengubah keputusan pada 15 minit terakhir perlawanan.
“Itulah bola sepak, itulah yang kita suka (mengenai sukan ini). Pastinya terdapat kesukaran, tetapi itu sebahagian daripada permainan dan sebahagian daripada cabaran dalam perlawanan sebegini,” kata Zidane.
“Ia sesuatu yang baik apabila kami dapat bangkit, dan itulah yang kami lakukan secara luar biasa pada separuh masa kedua.
“Kami hanya kekurangan sentuhan akhir pada separuh masa pertama, tetapi selepas itu kami berjaya mengubah nasib perlawanan.”
Belgium terlebih dahulu menguasai perlawanan apabila Lukebakio menyambut hantaran jauh Romeo Lavia, sebelum menewaskan penjaga gol, Guillaume Restes, yang membuat penampilan sulungnya dalam saingan berkenaan.
Juara Piala Dunia 2018 itu – yang beraksi tanpa kapten Kylian Mbappe – menguasai permainan namun sukar mencipta peluang apabila berdepan benteng pertahanan lawan yang ampuh.
Ini menjadikan perlawanan kelapan berturut-turut Perancis gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama.
Olise dan Cherki kemudian diturunkan ke padang pada minit ke-60, disusuli Doue 12 minit kemudian, menjadikan barisan serangan Perancis lebih berbahaya.
“Ini adalah usaha berpasukan, Zidane membawa idea dan kami melaksanakannya. Kami akan meneruskan prestasi ini,” kata Olise.
Penjaga gol Belgium, Maarten Vandevoordt – yang turut membuat penampilan sulungnya dalam saingan ini – dengan cemerlang menafikan beberapa percubaan Bradley Barcola, Esteban Lepaul, Olise dan Cherki, sebelum akhirnya tewas dengan rembatan Doue.
Pemain sayap Paris Saint-Germain (PSG) itu menyamakan kedudukan menerusi rembatan kaki kiri melintang dari luar kotak penalti pada minit ke-77.
Empat minit kemudian, Olise menunjukkan ‘taringnya’.
Beliau terlebih dahulu melakukan hantaran silang bagi Cherki menjaringkan gol, sebelum menjaringkan dua gol pantas dari jarak dekat dalam tempoh tiga minit bagi mengesahkan kemenangan besar 4-1 Perancis.
Sementara itu, Italy mengesahkan kemenangan ke atas Turkey menerusi jaringan Gianluca Scamacca, Riccardo Calafiori dan Pio Esposito, manakala Aral Simsir sempat menyamakan kedudukan buat Turkey sejurus selepas sejam perlawanan berlangsung.
Scamacca meletakkan Italy di hadapan menerusi gol pembukaan hasil sepakan jarak dekat yang terkena palang sebelum menerjah jaring.
Simsir kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-61 hasil usaha berpasukan Turkey, namun tiga minit kemudian, Italy kembali menguasai perlawanan menerusi tandukan Calafiori yang menyempurnakan sepakan percuma Nicolo Barella.
Esposito menjaringkan gol ketiga selepas Issa Doumbia dan Alessandro Romano gagal menyempurnakan percubaan masing-masing.
Menyusuli keputusan pada 5 Oktober, Perancis kekal menerajui carta kumpulan A1 dengan 10 mata, mendahului Italy dengan tiga mata dan empat mata di atas Belgium.
Turkey pula kekal di kedudukan tercorot kumpulan selepas menderita empat kekalahan berturut-turut. – Reuters.