NYON (Switzerland): Ketua pengadil Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), Roberto Rosetti, berkata bahawa sebahagian semakan video pembantu pengadil (VAR) “tidak berkaitan dengan bola sepak”, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin liga terkemuka Eropah pada Julai lalu.

Rosetti berkata demikian semasa beliau melancarkan Clear Line, sebuah portal pertama untuk menerangkan kepada peminat bila VAR patut, dan tidak patut, campur tangan.

Ketua pegawai pengadil dari England, Sepanyol, Jerman, Perancis dan Itali telah bertemu dengan Rosetti dan pengarah teknikal Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Ifab), David Elleray, untuk cuba mencari pendekatan yang lebih seragam terhadap keputusan yang dibuat.

“Kami menyedari bahawa di serata tempat sekarang ini, tiada kepuasan tentang bagaimana VAR memberi kesan kepada bola sepak,” kata Rosetti.

“Oleh itu, kami mahu mengelakkan situasi mikroskopik (terlalu kecil). Konteks perlawanan adalah amat penting. Ini bola sepak, bukan (permainan video) PlayStation. Kita perlu sangat, sangat berhati-hati.

“Pengadil mesti mengadili perlawanan itu. Ia adalah sesuatu yang penting untuk bola sepak, khusus bagi situasi yang jelas dan kesilapan yang nyata.”

Rosetti mengakui usaha mencari pendekatan yang konsisten merentasi semua liga – yang mempunyai tafsiran tersendiri terhadap beberapa kesalahan – adalah sukar.

Secara khususnya, kesalahan bola terkena tangan, atau handball, terus menimbulkan isu dalam bola sepak.

Liga Perdana England (EPL) mempunyai tafsiran handball yang paling longgar musim lalu, dengan satu penalti diberikan untuk handball bagi setiap 17.27 perlawanan.

Ia disusuli Bundesliga Jerman pada kadar 10.93 perlawanan bagi setiap penalti handball; La Liga Sepanyol pada 10.56; Serie A Italy pada 10.00; dan Ligue 1 Perancis pada 9.27.

Dalam Liga Juara-Juara Uefa pula, ia mencatatkan satu penalti bagi setiap tujuh perlawanan – paling tinggi di Eropah – sekali gus menzahirkan kesukaran untuk mencapai kata sepakat merentasi pelbagai pertandingan.

Di platform Clear Line, Uefa telah memuat naik banyak contoh video mengenai situasi handball untuk menjelaskan perkara yang dianggap sebagai kesalahan.

“Ideanya adalah untuk menjadi lebih tekal dalam pelaksanaan undang-undang perlawanan.

“Tafsiran tentang handball di England adalah berbeza. Bola sepak tidak sempurna dan kadangkala kita akan terus melihat situasi yang serupa ditafsirkan dengan cara yang berlainan. Namun sekurang-kurangnya kita sedang bekerjasama,” kata Rosetti.

Dari segi penggunaan VAR juga, Liga Juara-Juara Uefa dan EPL berada pada tahap yang sangat berbeza.

Bagi musim 2025/26, EPL mencatatkan kadar campur tangan VAR terendah di Eropah pada kadar 0.29 bagi setiap perlawanan, manakala Liga Juara-Juara Uefa pula mencatatkan 0.47 bagi setiap perlawanan.

Rosetti menyatakan terdapat “terlalu banyak semakan” dan peningkatan campur tangan itu telah mempengaruhi tingkah laku pemain, dengan adanya percubaan sengaja untuk mendapatkan keputusan video bantuan pengadil.

“Kami mahu kembali kepada matlamat asal VAR,” kata Rosetti, merujuk kepada insiden seperti gol ‘Tangan Tuhan’ atau ‘Hand of God’ oleh Diego Maradona untuk Argentina semasa menentang England pada Piala Dunia 1986.

“Kami tidak lagi berpuas hati dengan cara penggunaan VAR yang sebegini.

“Kami mahu cuba kembali semula sedikit ke asal, dan meletakkan para pengadil di posisi utama sekali lagi,” ujarnya. – Agensi berita.