Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis barisi penyerang handalan, waspada misi balas dendam Paraguay
Perancis barisi penyerang handalan, waspada misi balas dendam Paraguay
Perancis barisi penyerang handalan, waspada misi balas dendam Paraguay
NEW YORK: Perancis tiba di Philadelphia sebagai pasukan paling digeruni di Piala Dunia.
Namun, Kylian Mbappe dan jurulatih Didier Deschamps memberi amaran bahawa pujian, rekod dan laluan yang kelihatan lancar tidak bermakna apa-apa sekiranya mereka gagal menentang Paraguay pada 4 Julai (5 Julai waktu Singapura).
Pasukan Perancis telah memenangi kesemua empat perlawanan, menjaringkan 13 gol dan bolos dua gol, dengan Mbappe, Ousmane Dembele dan Bradley Barcola menjaringkan 12 daripadanya.
Bangku simpanan yang merangkumi Rayan Cherki, Desire Doue dan Jean-Philippe Mateta memberikan Deschamps pelbagai pilihan yang hanya boleh diimpikan kebanyakan lawan.
“Saya sedar sepenuhnya apa yang dipertaruhkan, di mana saya berada dan apa yang perlu saya lakukan,” kata Mbappe selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 menentang Sweden pada 30 Jun.
“Pasukan juga tahu apa yang perlu mereka lakukan di sini. Satu kejohanan baharu sedang bermula.”
Deschamps memberi amaran bahawa kemenangan Paraguay menentang Jerman bukanlah satu kebetulan.
“Ia adalah pasukan tipikal Amerika Selatan, kukuh dalam pergelutan satu lawan satu dan sangat gigih, dan mereka juga mempunyai pemain bermutu tinggi. Tiada pasukan yang sampai ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia secara kebetulan,” kata Deschamps.
Paraguay juga akan tiba dengan rancangan jelas dan dendam lama.
Kempen Piala Dunia mereka tamat menentang Perancis di pusingan 16 terakhir di Lens pada 1998.
Gol Laurent Blanc pada minit ke-114 memberikan Perancis kemenangan 1-0 dalam masa tambahan, sekali gus membawa tuan rumah itu ke arah gelaran juara dunia pertama mereka. Deschamps merupakan kapten pasukan Perancis ketika itu.
Bekas penyerang Paraguay, Miguel Angel Benitez, berkata pasukan Amerika Selatan itu perlu bermain dengan sepenuh jiwa dan semangat tetapi tidak boleh hilang tumpuan walaupun selama 10 saat menentang serangan Perancis yang mampu menghukum sebarang kesilapan sekecil mana pun.
Cuaca panas di Philadelphia boleh menambah satu lagi cabaran.
Perancis dijangka menguasai perlawanan, manakala Paraguay pula bertahan, menyimpan tenaga dan menunggu peluang menyerang. Dalam keadaan itu, tumpuan, pengurusan perlawanan dan pertukaran pemain yang bijak akan menjadi kunci penting.
Cherki mungkin menjadi salah satu senjata rahsia Perancis pada saat-saat akhir perlawanan.
Pemain tu hanya bermain 55 minit sepanjang empat perlawanan memandangkan Mbappe, Dembele dan Olise terus cemerlang, tetapi kreativiti dan keupayaannya mencari ruang boleh menjadi sangat bernilai sekiranya Perancis berdepan tentangan padat daripada Paraguay.
Bagi Paraguay, 4 Julai merupakan peluang untuk membalas dendam atas kekalahan yang masih belum sepenuhnya sembuh sejak 1998. Bagi Perancis pula, ia satu lagi ujian sama ada pasukan kini setanding pasukan terhebat dalam sejarah bola sepak. – Reuters.
Perlawanan pada 5 Julai waktu Singapura
- Canada lawan Maghribi (1 pagi)
- Paraguay lawan Perancis (5 pagi)
