Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis pilihan tepis cabaran Belgium yang bermasalah

Tenaga penggempur Perancis lebih tajam dan dinamik; pernah jadi juara Piala Dunia 2018 dan Euro 2020 akan jadi kelebihan
Jul 1, 2024 | 5:30 AM
Kylian Mbappe
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps (kiri), mengharapkan kapten dan penyerangnya, Kylian Mbappe, dapat menjadi pemangkin kejayaan mereka dalam pusingan kalah mati menentang Belgium. - Foto AFP

Perancis menentang Belgium barangkali adalah perlawanan paling menarik dalam pusingan kalah mati kejohanan Euro 2024.

Kededua pasukan merupakan pilihan ramai untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir, malah bagi Perancis, pasukan pimpinan, Didier Deschamps, itu merupakan pilihan sesetengah pengamat untuk menjulang piala kejohanan.

Namun, dalam perlawanan pada tengah malam, 2 Julai, salah satu daripada pasukan itu akan menaiki pesawat pulang ke tanah air lebih awal dari yang dijangka.

Berdasarkan prestasi di Jerman sejauh ini, Perancis tampak mempunyai kelebihan.

Perancis merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kumpulan dan segalanya tampak akan berakhir seperti yang dijangka sehinggalah muncul Austria, pimpinan jurulatih, Ralf Rangnick, yang bermain dengan cemerlang untuk menewaskan Belanda 3-2 dalam perlawanan akhir kumpulan.

Kemenangan menakjubkan Austria itu bermakna Perancis perlu berpuas hati dengan tempat kedua, dan lawan mereka Belgium yang menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E.

Meskipun berjaya menduduki tangga kedua kumpulan, namun persembahan Belgium sepanjang tiga perlawanan apabila mereka menang menentang Romania, seri dengan Ukraine dan kalah di tangan Slovakia, amat mengecewakan.

Desas-desus berlakunya perpecahan dalam skuad Belgium hingga menjejas persembahan di padang juga mencerminkan sebuah pasukan yang tidak bersatu padu.

Malah, setelah hanya mampu seri 0-0 dengan Ukraine dalam perlawanan akhir kumpulan, para pemain Belgium telah diejek penyokong mereka selepas wisel penamat.

Seperti kata bekas kapten Ireland dan Manchester United, Roy Keane:

“Ia adalah satu ‘jenayah’. Belgium memiliki pemain yang hebat tetapi gagal memenuhi potensi mereka di padang. (Domenico) Tedesco (jurulatih Belgium) mempunyai masalah besar.”

Perancis pula meskipun tidak begitu menyerlah telah menunjukkan konsistensi dan corak permainan lebih mantap.

Pasukan pimpinan Deschamps itu juga berpengalaman dalam memenangi kejohanan – setelah kejayaan mereka di Piala Dunia pada 2018 dan kejohanan Euro 2020.

“Anda tidak boleh memperkecilkan pengalaman memenangi kejohanan... pengalaman itu amat berharga lebih-lebih lagi dalam keadaan tekanan tinggi,” ujar Keane lagi.

Dari segi pemain, Perancis juga lebih menyerlah di setiap posisi.

Di tenaga penggempur, mereka boleh bergantung kepada kehandalan kapten Kylan Mbappe, yang pulih daripada kecederaan dan menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Poland, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Di bahagian tengah, pemain veteran, N’golo Kante, merupakan antara pemain yang paling menyerlah dalam kejohanan ini setelah ditabal sebagai pemain terbaik dalam dua daripada tiga perlawanan kumpulan.

Selain tenaga yang diberikan di midfield, visi dan kebijaksanaannya mengawal rentak permainan adalah sesuatu yang amat berharga.

Tanya saja jurulatih England, Gareth Southgate, yang menderita kerana tidak mempunyai pemain midfield seperti Kante.

“Pemain seperti Kante ini sukar dicari dalam permainan moden, meskipun nilai mereka begitu tinggi. Beliau seorang pemain yang tidak mementingkan diri sendiri. Sebaliknya segalanya yang dilakukan adalah untuk pasukan.

“Beliau rajin membantu benteng pertahanan, beliau juga pemain yang penting dalam peralihan antara bertahan dengan menyerang, dan paling penting beliau memberi satu ketenangan di tengah-tengah padang bagi Perancis,” kata bekas pemain pertahanan England, Gary Neville, yang bertugas sebagai pengulas bola sepak di Euro 2024..

Meskipun demikian, dalam perlawanan kalah mati, Perancis harus prihatin dengan ancaman Belgium terutama daripada pemain seperti Romelu Lukaku, Kevin de Bruyne dan Leandro Trossard.

Sekiranya mereka bermain pada tahap maksimum, Belgium mempunyai barisan serangan yang wajar digeruni.

“Mereka boleh malukan Perancis, sudah tentu...

“Tetapi ia bergantung sama ada pemain Belgium mahu bermain pada tahap maksimum mereka. Bergantung sama ada mereka mampu mengatasi masalah yang mereka alami sekarang.

“Pokoknya Perancis tidak boleh berfikir perlawanan ini dalam genggaman,” ujar Keane.

Setelah mengambil kira semua faktor daripada kedua-dua kumpulan, saya rasa benteng pertahanan Belgium, yang merupakan kelemahan mereka, tidak akan dapat menyaingi tenaga penggempur Perancis yang lebih dinamik.

Ini bakal menjadi faktor penentu kemenangan Perancis.

Ramalan saya, Perancis menang 2-0.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg