Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perarakan rai kepulangan atlet S’pura dari Olimpik

Aug 14, 2024 | 6:42 PM
Pemenang pingat gangsa dalam acara luncur lelayang, Maximilian Maeder, bersama rakan-rakan Olimpiknya yang lain melambai kepada penyokong di Eu Tong Sen Street pada 14 Ogos. Terletak di kawasan Chinatown, ia juga merupakan titik sorakan kedua dalam perjalanan bas itu.
Pemenang pingat gangsa dalam acara luncur lelayang, Maximilian Maeder, bersama rakan-rakan Olimpiknya yang lain melambai kepada penyokong di Eu Tong Sen Street pada 14 Ogos. Terletak di kawasan Chinatown, ia juga merupakan titik sorakan kedua dalam perjalanan bas itu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Lebih daripada 5,000 rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat bersemangat mengharungi cuaca mendung dan hujan pada 14 Ogos untuk meraikan pencapaian atlet negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dianjurkan oleh Majlis Sukan Singapura, pencapaian mereka diraikan melalui ‘perarakan’ yang bermula dari Bayfront Avenue, berdekatan dengan kawasan Marina Bay Sands ke kawasan bandar dan kembali ke OCBC Square di Hab Sukan Singapura.

10 atlet mengelilingi kawasan tersebut menaiki bas tidak berbumbung sambil menyaksikan penyokong di lima titik sorakan. Antara mereka adalah perenang Gan Ching Hwee; atlet kapal layar, Ryan Lo, dan pemenang pingat gangsa luncur lelayang, Maximilian Maeder.

Sebelum bermulanya perarakan, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkongsi kepada pihak media betapa bangganya beliau dengan persembahan atlet negara di Paris dan berharap rakyat Singapura turut serta meraikan pencapaian mereka melalui perarakan itu.

“Hari ini adalah kesempatan istimewa bagi kami untuk memberi penghargaan dan kekaguman kami terhadap usaha dan ketekunan mereka. Ia juga merupakan masa bagi rakyat Singapura untuk bersatu dalam memberi sokongan dan menunjukkan kebanggaan kami terhadap atlet kita.

“Saya harap kita semua akan keluar dan memberi sokongan kepada mereka,” kongsi beliau.

Turut hadir adalah Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan.

Bas itu melalui Bayfront Avenue, Chinatown, Orchard Road, Serangoon Road dan Victoria Street dari 11.30 pagi hingga 1.50 petang.

Hujan yang mula turun dengan lebatnya sekitar 11.50 pagi di kawasan Shenton Way tidak memadamkan semangat rakyat Singapura yang berhimpun untuk menunjukkan sokongan mereka.

Ada di kalangan mereka yang membawa sepanduk, dan ada yang memakai pakaian merah sambil mengkibarkan bendera Singapura.

Sekitar 300 pelajar dari Sekolah Seni Singapura (Sota) hadir dan memberikan sokongan gemuruh mereka semasa bas atlet tiba di sepanjang Zubir Said Drive. Mereka adalah antara rakan kongsi Sports Singapore dalam menyemarakkan lagi sokongan kepada atlet Olimpik negara.

Sementara bas tidak berbumbung dinaiki atlet negara itu melakukan jejaknya sepanjang lima titik sorakan, kereta yang sedang berlalu juga membunyikan hon bagi memberi sokongan kepada mereka.

“Hari ini adalah kesempatan istimewa bagi kami untuk memberi penghargaan dan kekaguman kami terhadap usaha dan ketekunan mereka. Ia juga merupakan masa bagi rakyat Singapura untuk bersatu dalam memberi sokongan dan menunjukkan kebanggaan kami terhadap atlet kita.

“Saya harap kita semua akan keluar dan memberi sokongan kepada mereka,” kongsi beliau.

Atlet kapal layar, Ryan Lo, meluahkan rasa gembiranya terhadap sokongan yang diberikan penyokong sepanjang lima titik sorakan itu.

“Saya benar-benar terkejut dengan begitu ramai orang yang memberi sokongan kepada kami, terutamanya dari Sekolah Seni Singapura (Sota). Ia adalah sesuatu yang saya sangat nikmati dan menghargai masa yang diluangkan bersama rakan-rakan Olimpik saya,” ujar atlet berusia 27 tahun itu.

Pemenang pingat gangsa luncur lelayang, Maximilian Maeder, meluahkan rasa terima kasihnya yang mendalam kepada penyokong yang turun hadir semasa perarakan.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih yang amat sangat kerana ia memberi saya rasa sebenar telah memberikan impak positif yang besar, dan saya rasa gembira untuk menyaksikannya. Saya tidak dapat mengungkapkannya dengan cara lain.

“Melihatnya menjadi kenyataan dan menyedari bahawa anda dapat memberikan impak positif, dengan orang ramai gembira kerana anda melambai kepada mereka, adalah sesuatu yang benar-benar hebat,” kongsi Maeder, yang juga mempunyai kedua ibu bapanya hadir untuk menyokong bersama di Victoria Street.

Sukan itu, yang berakhir pada 11 Ogos, menyaksikan kontinjen atlet Singapura yang mempunyai 23 atlet pulang dengan pingat gangsa – yang pertama dalam lapan tahun – ihsan pemain layang-layang Maximilian Maeder.

Sukan Olimpik sebelum ini di mana Singapura membawa pulang pingat adalah ketika Sukan Olimpik Rio 2016, apabila Joseph Schooling menewaskan legenda perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps, untuk memenangi pingat emas dalam acara 100 meter kupu-kupu lelaki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg