Topik diikuti
Pergi ke BHkuPercaturan pengurus Spurs beri ruang pemain muda beraksi buah hasil
Percaturan pengurus Spurs beri ruang pemain muda beraksi buah hasil
Tottenham tewaskan Auckland FC 2-0 sedang De Zerbi rehatkan beberapa pemain utama bagi elak risiko kecederaan
Percaturan pengurus Spurs beri ruang pemain muda beraksi buah hasil
AUCKLAND: Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto de Zerbi, menegaskan beliau tidak mahu mengambil sebarang risiko selepas mengetengahkan barisan pemain muda dalam aksi pramusim menentang juara A-League, Auckland FC.
Perlawanan tersebut yang diadakan di Stadium Eden Park, Auckland, New Zealand, pada 26 Julai, menyaksikan Spurs meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan tuan rumah.
Dane Scarlett dan Richarlison menjaringkan gol untuk Spurs, manakala Mateus Fernandes – pemain yang dibawa masuk dari West Ham dengan nilai £85 juta ($146 juta) – menjadi satu-satunya pemain baharu utama musim panas kelab itu yang beraksi di padang.
Sandro Tonali, yang menyertai Spurs dari Newcastle United menerusi perpindahan bernilai £100 juta, tidak diturunkan, disebabkan satu masalah kecil, manakala barisan pemain pertahanan seperti Jan Paul van Hecke, Andy Robertson dan Marcos Senesi turut tidak beraksi dalam perlawanan tersebut.
“Ini adalah peluang untuk pemain-pemain muda.
“Selepas perjalanan yang amat jauh, kami tidak boleh mengambil risiko ke atas pemain yang masih belum bersedia untuk beraksi,” kata De Zerbi kepada media tempatan, TVNZ, sebelum perlawanan bermula.
Scarlett meletakkan Spurs di hadapan seawal minit ke-12, sebelum beberapa pemain berpengalaman seperti Ben Davies, Mathys Tel, Conor Gallagher dan Richarlison dimasukkan bersama Fernandes sebaik perlawanan berlangsung selama sejam.
Richarlison kemudian menyumbang gol kedua pasukan pada minit ke-70 dalam aksi yang menyaksikan rekod kehadiran tertinggi penonton bagi perlawanan bola sepak lelaki di New Zealand.
Seramai 40,112 penonton membanjiri Stadium Eden Park, gelanggang yang menyaksikan pasukan ragbi kebangsaan, All Blacks, kekal tidak ditewaskan selama 32 tahun.
Bilangan tersebut sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 37,034 penonton ketika skuad lelaki New Zealand menentang Peru dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada 2017.
Sebelum perlawanan persahabatan pramusim di New Zealand itu, De Zerbi menegaskan bahawa pemain yang tidak gembira berada di kelab tersebut pada musim panas ini sepatutnya berpindah ke kelab lain.
Pengurus asal Italy tersebut – yang mengambil alih Spurs pada penghujung Mac dan membantu menyelamatkan mereka daripada tersingkir daripada Liga Perdana England (EPL) musim lalu – membuat kenyataan tersebut di tengah-tengah spekulasi mengenai masa depan pemain tengah, Lucas Bergvall, di kelab itu.
Spurs menolak tawaran pertama bernilai £38 juta ($65 juta) daripada Nottingham Forest bagi pemain asal Sweden itu, dengan Forest dijangka menaikkan tawaran mereka kepada £45 juta.
“Saya amat tegas sejak awal lagi (mengambil alih peranan) di Tottenham.
“Saya bertanya, siapa yang tidak mahu kekal di Tottenham, siapa yang tidak gembira, tidak bangga untuk kekal di sini, perlu tinggalkan kelab ini,” kata De Zerbi.
“Saya mahu pemain rasa bangga dan gembira berada di sini, dan melangkah ke padang Stadium Tottenham Hotspur dengan semangat tinggi.
Ini kerana dalam bola sepak, jika kita lihat dalam Piala Dunia, (tahap) semangat yang membawa perbezaan (dalam permainan).
“Semangat itu datang daripada perasaan gembira untuk kekal dalam satu pasukan.”
Perlawanan Tottenham seterusnya dijadualkan menentang Sydney FC pada 29 Julai. – Agensi berita.