Pan Zhanle telah menguasai arena terbesar dunia, menewaskan perenang terkemuka di hadapan ramai orang yang bersorak penuh gemuruh dan muncul sebagai juara Olimpik dan dunia berbilang kali.
Namun, cabaran paling getir buat bintang renang China itu sekarang bukan berdepan dengan pesaingnya di kolam renang.
Sebaliknya, menangani perhatian yang diterima selepas kejayaannya pada 2024.
Perenang berusia 20 tahun itu adalah antara yang menyerlah di Sukan Olimpik Paris.
Beliau mengatasi rekod dunianya untuk menang pingat emas 100 meter gaya bebas, sebelum memimpin pasukan 4x100 meter rampaian berganti-ganti ke podium kemenangan, menamatkan penguasaan tanpa kalah Amerika Syarikat selama 64 tahun.
“Saya tidak biasa dengan kemasyhuran dan perhatian sebagai seorang perenang bintang. Saya tidak fikir ia akan menjadi biasa dalam hidup saya,” katanya dalam bahasa Mandarin.
“Kerana kami bermula sebagai orang biasa... saya tidak dilahirkan sebagai juara,” ujarnya.
Pan mengatakan demikian sebelum satu sesi perkongsian di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 29 Oktober, lapor The Straits Times.
Sesi itu, yang turut menampilkan pemenang pingat Olimpik empat kali Hong Kong, Siobhan Haughey, dianjurkan oleh Akuatik Singapura.
Kedua-dua perenang itu berada di Singapura bagi pusingan ketiga dan terakhir Piala Dunia Renang Akuatik Dunia di Pusat Akuatik OCBC dari 31 Oktober hingga 2 November.
Mengenai apa yang berbeza sejak Olimpik Paris, beliau berkata:
“Semuanya terpaksa berubah, tetapi saya hanya mahu mengekalkan hidup tidak menarik perhatian, bekerja keras secara senyap-senyap dan buat hal saya sendiri dengan baik.”
Di Paris, Pan, yang tampil dalam Olimpik pertamanya, dan rakan senegaranya berada di bawah pengawasan ketat berikutan pendedahan pada April bahawa 23 perenang China diuji positif berkaitan ubat jantung terlarang pada 2021.
Beberapa daripada 23 perenang itu bertanding di Olimpik Tokyo.
Hubungan antara kontinjen renang China dengan beberapa negara lain dingin semasa temasya itu.
Namun, ia tidak menghalang Pan merangkul dua emas dan memperbaharui rekod dunia 100 meter gaya bebas.
Ia adalah antara hanya empat rekod dunia renang yang dicipta di Olimpik Paris.
Pan berkata: “Ia (isu bahan terlarang itu) tiada kaitan dengan kami, dan kami tidak bersalah.”
Dua gelarannya di Arena La Defence datang selepas beliau merangkul empat emas semasa kejohanan dunia Doha pada Februari 2024 – dalam acara 100 meter gaya bebas serta tiga acara berganti-ganti gaya bebas (campuran 4x100 meter, 4x200 meter dan 4x100 meter).
Setelah membuktikan dirinya sebagai antara perenang terbaik di dunia dalam acara 100 meter gaya bebas, Pan didorong cabaran baru.
“Matlamat peringkat ini telah tercapai. Sekarang saya perlu menetapkan matlamat baru untuk diri saya sendiri, saya perlu terus bekerja keras sepanjang empat tahun akan datang... saya tidak boleh berhenti berusaha,” ujar Pan.
Perenang pecut itu melahirkan minatnya dalam acara jarak pertengahan dan menunjukkan sekilas potensinya di pertandingan Piala Dunia Renang di Incheon.
Di bandar Korea Selatan itu, Pan memenangi acara 400 meter dan 800 meter gaya bebas dalam jarak pendek.
Dalam persaingan pertama itu, beliau menentang lawan yang termasuk dua pemenang pingat gangsa Olimpik 400 meter gaya bebas – Kim Woo-min dari Korea Selatan (2024) dan Kieran Smith dari Amerika (2020).
Tetapi dengan cepat Pan sedar bahawa beliau bukan antara yang terbaik dalam acara tersebut dan ada perbezaan antara acara jarak pendek dengan jarak jauh.
“Sebenarnya saya sudah lama ingin mencuba disiplin lain, tetapi nampaknya satu-satunya jarak yang boleh saya tangani ialah 100 meter.
“Saya rasa perbezaan antara saya dengan perenang lain masih agak besar, terutama semasa berpusing, terjun lepas dari blok dan pergerakan kaki dalam air... hal-hal seperti itu,” tambahnya.
Sedang Pan meneroka era baru, anak emas China yang bakatnya tidak dapat dinafikan itu tidak dapat lari daripada menarik perhatian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg