Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Perenang negara dijangkiti virus tanpa penawar

Harapan ke Olimpik Paris tipis
Feb 23, 2024 | 01:22 PM



Tubuhnya sengal-sengal dan beliau berasa kepenatan pada Jun 2023, tetapi perenang nasional Nicholas Mahabir berkata beliau tidak begitu mengendahkannya pada ketika itu kerana menganggap ia kesan latihan yang dijalaninya.

Namun, selepas beliau pitam beberapa kali, Nicholas mula sedar beliau mungkin ditimpa sesuatu yang lebih serius.

Nicholas, 18 tahun, terpaksa berhenti berlatih sejak tujuh bulan lalu dan semasa bercakap dengan The Straits Times (ST) baru-baru ini, berkata kesihatannya merosot.


“Memang makin sukar. Yang paling sukar ialah saya alami masalah ingatan, sukar untuk berfikir dengan jelas dan beri tumpuan.

“Saya tidak dapat berlatih dan melaksanakan tugasan mudah. Contohnya, saya mengalami kesukaran untuk bangun dari katil. Saya tidur 12 hingga 16 jam sehari pada setiap hari selama beberapa bulan, tetapi rasanya masih tidak mencukupi.

“Saya membesar sebagai seorang kanak-kanak yang giat bermain di luar. Tapi kini saya boleh pitam jika keluar berjalan kaki walaupun sekejap sahaja,” ceritanya.

Ujian darah yang dilakukannya pada Ogos 2023 menunjukkan beliau dijangkiti virus Epstein-Barr yang belum ada penawarnya. Ini menyebabkan beliau mendapat mononucleosis, sejenis jangkitan virus.


Gejala seperti demam boleh dirawat, tetapi mereka yang mengalami jangkitan virus itu boleh merasakan kesannya selama berbulan atau bertahun lamanya. Virus itu boleh terus berada dalam tubuh dan menjadi aktif pada bila-bila masa.

Beberapa atlet profil tinggi yang mengalami jangkitan virus itu tetapi berjaya meneruskan kerjaya profesional termasuk pemain tenis bertaraf bintang Roger Federer dan pemain bola sepak Amerika, Samuel Darnold.

Namun ada juga yang menamatkan kerjaya sukan secara pramatang, seperti pemain tenis Robin Soderling, yang terpaksa berhenti bermain tenis pada usia 26 tahun kerana jangkitan itu.

Walaupun Nicholas berada dalam keadaan kurang selesa, beliau masih berjaya mencatat rekod nasional bagi gaya kuak dada jarak 100 meter (59.96 saat) dan 200 meter (2 min 12.87 saat) di Kejohanan Renang Pro TYR di California pada Julai 2023.

Masa yang dicatatnya bagi perlumbaan 100 meter itu juga hampir dengan masa kelayakan Olimpik iaitu 59.49 saat.

Namun, keadaan Nicholas menjadi lebih mudarat selepas beliau beraksi dalam final acara kuak dada 200 meter di Kejohanan Negara Jr Amerika Syarikat.

Beliau juga terlepas beraksi di Kejohanan Renang Junior Akuatik Sedunia di Israel kemudian, selain Sukan Asia dan Kejohanan Sedunia baru-baru ini.

Menjelang penutupan tempoh kelayakan bagi acara renang di Olimpik Paris pada 23 Jun, Nicholas masih belum pasti sama ada keadaannya membolehkan beliau memburu matlamat kelayakan itu.

Didorong azam untuk beraksi di Olimpik, Nicholas kembali ke kolam renang pada November 2023, apabila beliau berasa lebih bertenaga, tetapi gejala penyakitnya itu kembali pada Disember 2023.

Bapanya, seorang warga Amerika – ibunya warga Singapura – telah dapatkan khidmat pakar yang menyatakan keadaan Nicholas itu disebabkan jangkitan virus berasingan dan buat masa ini, masih menanti hasil ujian.

Menurut Nicholas, sejak beliau jatuh sakit, masa di luar kolam renang telah membantu menguatkan mindanya.

Beliau kini mengisi masa lapang dengan bimbingan seorang pakar psikologi sukan dan dengan mempelajari teknik renang.

Beliau bertekad mula berlatih bagi Kejohanan Dunia 2025 di Singapura dan memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028 jika gagal menempah tiket ke Paris.

“Tiada sesiapa yang tahu masa depannya. Buat masa ini, saya hanya perlu terus menjaga kesihatan, sedar tentang pilihan yang ada untuk berbuat demikian dan berusaha dalam perkara yang boleh membantu saya memulakan latihan apabila saya mampu kelak,” ujarnya dengan penuh azam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >