Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Tidak perlu cemas, terus beri sokongan: Jurulatih skuad renang

Gary Tan akur S’pura dalam fasa pembangunan berbeza
dengan China, Jepun, Korea Selatan; namun yakin prestasi perenang negara
Sep 29, 2023 | 03:30 PM



Meskipun prestasi pasukan renang Singapura di Sukan Asia Hangzhou dianggap ramai sebagai kurang memberangsangkan, ketua jurulatih nasional, Gary Tan bagaimanapun berpendapat sebaliknya, bahkan menyokong usaha anak didiknya. 

Tan juga mengakui bahawa pasukan renang Singapura kini “berada di fasa yang berbeza” berbanding negara gergasi Asia lain dalam sukan renang seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Pingat renang pertama Singapura dalam edisi Sukan Asia yang ke-19 hanya muncul pada Khamis, hari kedua terakhir saingan, menerusi Teong Tzen Wei.

Teong, 25 tahun, mencatat masa kedua terpantas, 23.34 saat, untuk merangkul pingat perak dalam acara kuak kupu-kupu 50 meter lelaki.

Dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Singapura membawa pulang dua emas, sebutir perak dan tiga gangsa.

Sehingga Khamis, Singapura berjaya memenangi sebutir pingat dan memperoleh sembilan kedudukan tempat keempat dalam final, selepas lima hari bertanding.

Walaupun demikian, ia bukan masanya untuk menekan ‘butang panik’ bagi Tan. 

Ditemui media Singapura di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou pada malam Khamis, bekas perenang nasional itu berkata:

“Kemenangan pingat Teong sedikit merangsang semangat pasukan. Ia menggembirakan untuk mengakhiri malam ini dengan pingat, menunjukkan kami telah melakukan apa yang boleh untuk meraihnya, tidak kira apa jua warna pingat itu.

“Kami tahu ia akan menjadi pertandingan yang sukar dan saya fikir untuk meraih sembilan kedudukan tempat keempat adalah petanda baik untuk masa depan dan mudah-mudahan untuk tahun-tahun mendatang.”

Letitia Sim, 20 tahun, hampir naik ke podium dua kali.

Beliau terpaksa berpuas hati di tempat keempat setelah terlepas meraih gangsa dengan 0.02 saat dalam kuak dada 200 meter wanita pada Khamis.

Sehari sebelumnya, beliau juga nyaris memenangi pingat gangsa, tetapi lewat 0.12 saat daripada pesaing terdekatnya dalam kuak dada 100 meter wanita.

Bagaimanapun, penampilan sulung Sim di Sukan Asia tidak sia-sia.

Beliau memecah tiga rekod nasional dalam acara individu – kuak dada 50 meter, 100 meter dan 200 meter wanita.

Sim turut berlumba dalam final acara berpasukan berbilang gaya 4x100 meter campuran, bersama Quah Zheng Wen, Quah Jing Wen dan Jonathan Tan pada Rabu.

Mereka memecah rekod nasional dengan catatan masa 3:49.73 tetapi hanya mampu menduduki tempat keempat.

Rakan sepasukan, Jonathan Tan turut mengalami nasib serupa.

Perenang berusia 21 tahun itu meraih tempat keempat dalam tiga lagi acara – gaya bebas 50 meter lelaki, berganti-ganti gaya bebas 4x100 meter lelaki dan berganti-ganti gaya bebas 4x200 meter lelaki.

Dua lagi tempat keempat adalah milik Amanda Lim, 30 tahun (gaya bebas 50 meter wanita) dan Gan Chin Hwee, 20 tahun (gaya bebas 1,500 meter wanita).

Mengulas lanjut tentang prestasi perenang negara, Gary Tan berkata:

“Pada permulaan setiap kempen, saya sentiasa memberitahu anak didik saya bahawa ia menggembirakan saya untuk melihat mereka menamatkan perlumbaan, mengetahui mereka telah berusaha dan memperbaiki masa terbaik peribadi.

“Bonusnya akan muncul dengan kedudukan di podium. Saya benar-benar gembira sebab jika anda lihat melalui semua acara, masa yang dicatat telah banyak dipercepat.

“Siapa yang tidak ingin menang dan naik ke podium? Tetapi, realiti sukan ini adalah kami berada di fasa yang berbeza buat masa kini.

“Jika anda lihat pasukan Asia di Kejohanan Dunia, mereka hampir dapat mengatasi pasukan Eropah, Amerika Syarikat dan Australia. Perenang China telah beraksi cemerlang untuk menunjukkan mereka boleh menjadi perenang bertaraf dunia.”

Di temasya sukan Hangzhou, China telah membolot 24 emas, hanya memerlukan dua lagi pada Jumaat untuk memecahkan rekod 25 emas Jepun dalam edisi 1978 di Bangkok.

“Kami masih sedang mencapai tahap itu dan adalah baik untuk berasa di kedudukan tempat keempat. Ia membuatkan perenang kita lebih dahagakan pingat pada pusingan seterusnya,” tambah Gary Tan.

Sebelum ke Hangzhou, Gary Tan meletakkan sasaran dua pingat dalam Sukan Asia kali ini.

Sehingga akhbar ini dicetak, perenang negara telah melayakkan diri ke empat lagi final pada hari terakhir pertandingan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >