Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perenang S’pura, Teong Tzen Wei bangkit selepas kecederaan

Selepas dua pusingan di Shanghai dan Incheon beliau kini duduki tempat ke-39 daripada 88 perenang dari seluruh dunia
Oct 28, 2024 | 5:17 PM
Perenang Singapura, Teong Tzen Wei kembali beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 sejak kecederaannya awal tahun ini. Beliau kini akan bersaing dalam pusingan ketiga pertandingan ini di Singapura di Arena OCBC pada 31 Oktober hingga 2 November.
Perenang Singapura, Teong Tzen Wei kembali beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 sejak kecederaannya awal tahun ini. Beliau kini akan bersaing dalam pusingan ketiga pertandingan ini di Singapura di Arena OCBC pada 31 Oktober hingga 2 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bukan mudah bagi seseorang itu untuk bangkit semula selepas mengalami kecederaan teruk.

Bagi perenang Singapura Teong Tzen Wei, beliau sendiri mendapati sukar apabila ligamen sikunya koyak semasa latihan pada awal 2024.

“Sejujurnya, saya mengambil masa tanpa berenang kerana kecederaan ini menyebabkan saya untuk terlepas kelayakan Olimpik dan pada masa itu saya berada dalam rentak renang terbaik saya. Ia menjejas pemikiran saya dan saya perlu belajar untuk menangani masalah ini,” kongsi beliau.

Beliau berkongsi bahawa tanpa orang di sekelilingnya seperti jurulatihnya Gary Tan dan Gustavo Schirru yang masih percayakan kebolehannya dan menggalakkan beliau untuk teruskan perjuangannya, agak sukar untuk beliau mengatasi cabaran ini.

Pengalaman ini juga telah memupuk perspektif baru bagi Teong Tzen Wei, yang sedar bahawa ia penting untuk kekal kuat bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari segi pemikiran juga, untuk terus bersaing di peringkat elit, seperti perenang Afrika Selatan, Chad le Clos, yang masih berenang walaupun beliau sudah mencecah usia 32 tahun.

Kini Teong Tzen Wei mewakili Singapura di Piala Dunia Renang Akuatik Dunia yang akan menjalankan pusingan akhirnya di Arena OCBC di Singapura pada 31 Oktober hingga 2 November.

Selepas dua pusingan di Shanghai, China dan Incheon, Korea, beliau kini menduduki tempat ke-39 daripada 88 perenang dari seluruh dunia.

“Saya cukup gembira dengan prestasi saya kerana sudah lama sejak saya bersaing akibat kecederaan teruk yang saya alami sebelum pusingan kelayakan Olimpik,” kongsi beliau.

“Baru sekitar dua bulan setengah sejak saya mula berlatih semula, dan untuk hampir-hampir mencapai masa terbaik peribadi saya dalam acara kuak kupu-kupu 100 meter semasa pertandingan ini memberi saya keyakinan yang diperlukan,” tambahnya.

Beliau juga berkongsi bahawa beliau melihat piala dunia ini sebagai wadah untuk membina keyakinan dan kebolehan beliau bagi Kejohanan Renang Akuatik Dunia yang akan berlangsung pada Disember 2024 di Budapest.

Teong Tzen Wei mengakui bahawa usaha untuk melakukan sesuatu dengan terbaik itu penting, tetapi beliau juga menekankan bahawa mempunyai ketenangan dan kepercayaan kepada latihan dan kebolehan diri sendiri juga memainkan peranan dalam mengurangkan tekanan yang dirasakan.

“Saya sedang hadapi pertandingan ini hari demi hari. Saya sedar bahawa saya tidak berada dalam prestasi terbaik saya sekarang untuk mengatasi perenang seperti Noe Ponti (perenang Swiss yang kini menduduki di tempat kedua pertandingan) tetapi saya akan berusaha mencabar mereka, terutamanya di hadapan penyokong Singapura,” kata beliau.

Apabila ditanya oleh Berita Harian (BH) tentang perasaan beliau berenang di hadapan penyokong Singapura, beliau menyuarakan keghairahannya.

“Apabila saya di Shanghai dan di Incheon, ketika perenang negara mereka diumumkan, sorakan yang didengar agak memberangsangkan,” kongsi beliau.

“Saya berharap warga Singapura akan sorak sekuat-kuatnya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong kami,” tambah beliau.

Namun beliau juga berharap penyokong yang hadiri dapat menyokong setiap atlet yang membuat penampilan di pertandingan itu bagi menghargai usaha dan pengorbanan yang mereka telah lakukan demi negara masing-masing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg