Perlawanan persahabatan S’pura di Timur Tengah dibatalkan
Perlawanan persahabatan S’pura di Timur Tengah dibatalkan
Keputusan dibuat selepas penilaian menyeluruh; FAS utamakan keselamatan pemain, penyokong
Perlawanan persahabatan pasukan bola sepak lelaki kebangsaan menentang Kepulauan Faroe di Dubai pada 26 Mac telah dibatalkan, selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengutamakan “keselamatan dan kesejahteraan” pasukan serta penyokong berikutan konflik yang masih berterusan di Timur Tengah.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) seorang jurucakap FAS berkata keputusan tersebut dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap perkembangan situasi keselamatan di rantau tersebut selain perbincangan bersama pihak berkepentingan yang terlibat.
Antara yang dinilai adalah kesannya terhadap perjalanan dan penganjuran perlawanan.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan pemain, jurulatih, pegawai pasukan serta penyokong kekal sebagai keutamaan utama.
Sebagai ganti, pasukan Singa akan meneruskan persiapan melalui kem latihan di Singapura menjelang perlawanan terakhir Kumpulan C bagi kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh di Stadium Negara pada 31 Mac.
Dengan rekod tiga kemenangan di tempat lawan dan dua keputusan seri di tempat sendiri, Singapura yang muncul juara Kumpulan C sudah pun memastikan kelayakan bersejarah mereka ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Kedudukan mereka juga tidak lagi dapat dikejar oleh Hong Kong di tempat kedua.
Walaupun ketinggalan tiga mata, Hong Kong sebelum ini mencatat satu kekalahan dan satu keputusan seri ketika menentang Singapura, dan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan menjadi penentu utama jika mata terikat.
Selepas mencapai pencapaian bersejarah itu, FAS merancang untuk memberi pendedahan kepada skuad Singa yang kini berada di tangga ke-148 dunia dengan menentang lawan yang lebih kuat sebagai persediaan menghadapi kejohanan utama Asia tersebut.
Perlawanan menentang Kepulauan Faroe yang berada di ranking ke-125 dunia itu sepatutnya menjadi perlawanan antarabangsa senior pertama Singapura menentang pasukan dari Eropah sejak seri 2-2 dengan Azerbaijan di Dubai pada 2012.
Kapten pasukan, Hariss Harun, berkata mereka sebenarnya menantikan peluang tersebut.
“Kami sudah lama tidak berdepan pasukan dari Eropah. Walaupun kami tidak begitu mengenali Kepulauan Faroe, ia tetap akan menjadi ujian yang baik untuk kami,” katanya.
“Setiap tempoh persiapan menuju ke Piala Asia sangat penting, tetapi ada perkara yang berada di luar kawalan kami.
“Apa yang boleh kami lakukan ialah memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang ada.
“Kami akan menentang Bangladesh di tempat sendiri dan mahu memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong.
“Kami akan terus membuat persiapan, merancang serta menganalisis apa yang perlu dilakukan.
“Harapnya keadaan akan bertambah baik, bukan sahaja kerana kami mahu bermain bola sepak, tetapi juga demi keamanan dunia secara keseluruhan.”
“
“Kami sudah lama tidak berdepan pasukan dari Eropah. Walaupun kami tidak begitu mengenali Kepulauan Faroe, ia tetap akan menjadi ujian yang baik untuk kami. Setiap tempoh persiapan menuju ke Piala Asia sangat penting, tetapi ada perkara yang berada di luar kawalan kami. ...Kami akan terus membuat persiapan, merancang serta menganalisis apa yang perlu dilakukan.”
