Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura kembali ke Singapura dari 9 hingga 11 Oktober bagi pusingan ke-17 musim ini.

Buat kali pertama, perlumbaan malam ikonik itu akan memperkenalkan acara perlumbaan pecut jarak dekat (Sprint).

Ini bermakna peminat di Marina Bay boleh menjangkakan lebih banyak aksi kompetitif sepanjang hujung minggu, dengan Latihan Bebas 1 dan Kelayakan ‘Sprint’ pada 9 Oktober, ‘Sprint’ dan kelayakan Grand Prix pada 10 Oktober, sebelum perlumbaan utama berlangsung pada 11 Oktober.

Singapura juga merupakan antara tiga lokasi baharu yang diperkenalkan kepada kalendar ‘Sprint F1’ pada 2026, bersama Zandvoort untuk Grand Prix Belanda dan Montreal untuk Grand Prix Canada.

Dengan tambahan satu perlumbaan kompetitif, litar Marina Bay yang terkenal mencabar itu dijangka menjadi lebih menarik.

Namun, sebelum aksi 2026 bermula, berikut antara detik paling menarik dan diingati sepanjang sejarah Grand Prix Singapura.

‘Crashgate’... Kemalangan pelumba Renault, Nelson Piquet Jr, pada pusingan ke-14 yang mencetuskan kontroversi ‘Crashgate’ dalam perlumbaan malam pertama sejarah Grand Prix Singapura pada 2008.
‘Crashgate’... Kemalangan pelumba Renault, Nelson Piquet Jr, pada pusingan ke-14 yang mencetuskan kontroversi ‘Crashgate’ dalam perlumbaan malam pertama sejarah Grand Prix Singapura pada 2008. - Foto fail

2008: Perlumbaan malam pertama sejarah GP Singapura diiringi skandal

Grand Prix Singapura bukan sekadar perlumbaan pertama di Marina Bay – ia juga mencatat sejarah sebagai perlumbaan malam pertama dalam sejarah ketika penganjuran sulungnya pada 2008.

Fernando Alonso muncul sebagai pemenang walaupun memulakan perlumbaan dari petak ke-15.

Namun, kemenangan pelumba Renault pada masa itu kemudian dibayangi salah satu kontroversi terbesar dalam sejarah Grand Prix Singapura.

Pada pusingan ke-14, rakan sepasukan Alonso, Nelson Piquet Jr, merempuh dinding.

Hampir setahun kemudian, terdedah bahawa kemalangan itu disengajakan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk membantu Alonso – skandal yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Crashgate’.

Alonso sendiri dikatakan tidak mengetahui rancangan tersebut dan kemenangannya kekal dalam rekod, tetapi kontroversi berkenaan terus menjadi sebahagian daripada sejarah Grand Prix Singapura.

Pelumba Ferrari, Carlos Sainz, meraikan kemenangan penuh mendebarkan di Grand Prix Singapura pada 2023 selepas menahan tekanan sengit daripada Lando Norris dan Lewis Hamilton hingga ke garisan penamat.
Pelumba Ferrari, Carlos Sainz, meraikan kemenangan penuh mendebarkan di Grand Prix Singapura pada 2023 selepas menahan tekanan sengit daripada Lando Norris dan Lewis Hamilton hingga ke garisan penamat. - Foto fail

2023: Antara penamat perlumbaan paling mendebarkan

Grand Prix Singapura 2023 menghasilkan salah satu penamat paling mendebarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Carlos Sainz mendahului perlumbaan untuk Ferrari, tetapi tekanan daripada Lando Norris semakin meningkat pada penghujung perlumbaan.

Norris menamatkan perlumbaan hanya 0.812 saat di belakang Sainz, manakala Lewis Hamilton di tempat ketiga hanya 1.269 saat ketinggalan daripada pemenang.

Sainz yang akhirnya meraih kemenangan untuk Ferrari.

Pelumba Mercedes, George Russell, meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix Singapura 2025, sekali gus memadamkan kekecewaan edisi-edisi terdahulu.
Pelumba Mercedes, George Russell, meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix Singapura 2025, sekali gus memadamkan kekecewaan edisi-edisi terdahulu. - Foto fail

2025: Russell menang, McLaren cetus drama

Grand Prix Singapura tahun lalu pula menjadi milik George Russell.

Pelumba Mercedes itu bermula dari petak pertama dan meraih kemenangan, dengan Verstappen di tempat kedua, Norris tempat ketiga dan Oscar Piastri di tempat keempat.

Namun, antara detik paling mencuri perhatian berlaku sejurus selepas permulaan apabila Norris dan Piastri bertembung.

Insiden itu menambah drama kepada persaingan dua pelumba McLaren yang ketika itu sedang memburu kejuaraan dunia.

McLaren bagaimanapun tetap mempunyai sebab untuk meraikan hujung minggu tersebut apabila mereka mengesahkan kejuaraan pembina kereta buat dua tahun berturut-turut.

Beberapa bulan kemudian, Norris pula dinobatkan sebagai juara dunia 2025.

Perlumbaan ‘Sprint’ bakal menambah satu lagi lapisan drama pada 2026?

Kini, Marina Bay bakal memasuki era baharu.

Format ‘Sprint’ bermakna pemandu bukan sahaja perlu mengharungi perlumbaan utama tetapi turut berdepan perlumbaan ‘Sprint’.

Di sebalik semua drama itu, Marina Bay sendiri merupakan salah satu sebab mengapa Grand Prix Singapura begitu istimewa.

Litar jalan raya itu kini sepanjang 4.927 kilometer, dengan 62 pusingan dan jarak perlumbaan lebih 305 kilometer.

Ia bukan sahaja mencabar dari segi teknikal, malah sangat mencabar dari segi fizikal, dengan kelembapan dan suhu tinggi, permukaan yang tidak rata serta jarak perlumbaan yang panjang.

Dalam keadaan sedemikian, pemandu boleh kehilangan kira-kira 3kg berat badan sepanjang perlumbaan.

Bagi litar yang sudah terkenal dengan ruang kesilapan yang kecil, kehadiran Sprint membawa lebih banyak risiko.

Kesilapan kecil boleh membawa akibat besar, manakala kemalangan atau masalah teknikal bukan sahaja boleh menjejaskan keputusan ‘Sprint’, tetapi turut mempengaruhi persediaan pasukan untuk perlumbaan utama.

Sebab itu strategi tayar dan pengurusan tenaga sering menjadi antara faktor penting dalam menentukan siapa yang mampu bertahan dan muncul sebagai pemenang di Marina Bay.

Sejak perlumbaan malam pertamanya pada 2008, Grand Prix Singapura hampir tidak pernah gagal menghasilkan detik-detik yang tidak boleh dilupakan.

Kini, pada 2026, satu lagi elemen baharu bakal menambah kepada detik-detik bersejarah tersebut.