MADRID: Berdepan boikot meluas di China susulan kontroversi yang dicetuskan oleh kenyataan bintang bola sepak, Kylian Mbappe, mengenai bekas pemimpin China, mendiang Mao Zedong, Real Madrid tampil mengemukakan satu permohonan maaf pada 27 Oktober.

Langkah itu dilihat secara meluas sebagai usaha kelab gergasi Sepanyol yang juga juara Eropah 15 kali berkenaan untuk melindungi kepentingan komersial mereka di China.

Kemarahan tersebut tercetus selepas satu klip video pendek memaparkan ‘meme’ yang menggambarkan Mbappe sebagai mendiang Mao yang dirujuknya sebagai “diktator China”.

Tiga penaja telah menggugurkan Mbappe, manakala stesen televisyen negara China menggantung siaran perlawanan La Liga, sekali gus menjejas strategi peluasan antarabangsa liga Sepanyol itu.

Permohonan maaf daripada La Liga dan presidennya, Javier Tebas, serta Mbappe dan Real, setakat ini masih belum dapat meredakan keadaan.

Namun, ia jelas menyerlahkan kepentingan pasaran China terhadap bola sepak Sepanyol.

Satu sumber dalaman La Liga memberitahu AFP bahawa China dan Amerika Syarikat sahaja membiayai “sebahagian besar” hak penyiaran antarabangsa liga tersebut, yang bernilai 748 juta euro ($1 bilion) bagi musim 2024-25.

Menurut La Liga, perlawanan yang disiarkan di stesen milik pemerintah China, CCTV, adalah antara acara sukan yang mencatatkan jumlah tontonan tertinggi di negara itu.

Sejak 2016, La Liga telah menyesuaikan jadual perlawanannya mengikut zon masa Asia, membolehkannya meningkatkan jumlah penonton secara ketara dan sekali gus melonjakkan nilai hak penyiaran televisyen antarabangsanya.

Pada 3 Ogos, La Liga mengumumkan perjanjian baharu dengan gergasi digital Migu – anak syarikat China Mobile – bagi menyiarkan 380 perlawanan semusim sehingga 2030.

Kelab Sepanyol itu menambah bahawa langkah berkenaan mengesahkan “komitmen jangka panjang liga untuk memperluas kumpulan peminatnya di China”.

Selain kontrak global ini, Real serta sebuah lagi gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona, masing-masing mempunyai pelaburan bernilai berjuta-juta euro di China.

Menurut akhbar yang mempunyai kaitan dengan Real, Marca, kelab berpangkalan di Madrid itu menjana antara 10 peratus dengan 15 peratus daripada hasil jualan jersi serta barangan dagangannya di China.

Real turut meletakkan beberapa syarikat China sebagai antara penaja utamanya dengan jenama Hisense, firma pertaruhan sukan Kaiyun Sports, dan Linglong Tire dipaparkan secara ketara.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pembangunan antara La Liga dengan institusi sukan China, Real serta Barcelona telah beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim di Asia menentang pasukan dari China, Jepun dan Korea Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menerusi satu kenyataan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Barcelona – yang telah membuka beberapa akademi bola sepak di negara itu – menganggarkan bahawa kelab itu mempunyai lebih ramai penyokong di Asia “berbanding jumlah gabungan di Eropah dan Amerika”. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti