Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buat julung kalinya, lumba jarak dekat akan diadakan di GP S’pura 2026

Sep 16, 2025 | 6:50 PM
Formula Satu, Formula One, Sprint
Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura 2026 akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober, dengan format perlumbaan jarak dekat ‘F1 Sprint’ dijangka menyuntik keterujaan tambahan sepanjang hujung minggu. - Foto fail

Peminat lumba kereta di Litar Marina Bay boleh menantikan aksi lebih mendebarkan sepanjang tiga hari sempena Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Singapura 2026.

Satu kenyataan F1 pada 16 September mengumumkan bahawa buat julung-julung kalinya, ‘F1 Sprint’ atau perlumbaan pecut jarak dekat akan diadakan di sini.

“Kami teruja kerana menjadi salah satu daripada enam litar yang akan menganjurkan ‘F1 Sprint’ tahun depan (2026).

“Sejak 2022, kita sentiasa menyaksikan pemenang baru di F1 Grand Prix Singapura setiap tahun, dan dengan adanya peraturan baru, sebuah pasukan baru menyertai grid, serta perlumbaan ‘F1 Sprint’, peminat boleh menantikan aksi perlumbaan yang lebih kompetitif apabila pelumba memberikan segalanya sepanjang tiga hari acara,” kata Pengarah Singapore GP Singapore Pte Ltd, Jonathan Hallett.

Acara itu akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober 2026, dengan format perlumbaan jarak dekat itu dijangka menyuntik keterujaan tambahan sepanjang hujung minggu itu.

Ia menawarkan perlumbaan pantas penuh risiko pada Jumaat dan Sabtu, yang melengkapi perlumbaan utama F1 pada Ahad.

Diperkenalkan pada 2021, perlumbaan pecut itu telah menghasilkan banyak aksi sengit termasuk kemenangan bermakna untuk juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, pada awal musim 2025 di GP China.

Ia merupakan kemenangan pertamanya bersama pasukan terbarunya, Scuderia Ferrari, sekali gus kemenangan jarak dekat pertama pasukan tersebut.

Dengan adanya perlumbaan itu, peminat boleh menjangkakan lebih banyak aksi berkelajuan tinggi dan perlumbaan lebih intensif, dengan lebih banyak mata dipertaruhkan sepanjang hujung minggu ‘F1 Sprint’.

Sesi latihan bebas kedua (FP2) pada Jumaat akan digantikan dengan sesi kelayakan jarak pendek.

Ia akan menentukan grid atau garisan permulaan bagi perlumbaan jarak dekat pada Sabtu, yang menggantikan sesi latihan bebas ketiga (FP3), sebelum diikuti sesi Kelayakan F1 pada sebelah malam untuk perlumbaan utama. Perlumbaan tersebut akan berlangsung seperti biasa pada Ahad, melengkapi hujung minggu itu.

Dengan pengurangan sesi latihan bebas, pasukan terdorong untuk mendapatkan tetapan atau set-up kereta yang tepat dari awal.

Memandangkan lebih banyak mata ditawarkan, setiap sesi mempunyai kepentingannya tersendiri – sama ada untuk mata kejuaraan atau kedudukan grid – sekali gus memberikan nilai lebih besar kepada peminat sepanjang tiga hari perlumbaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg