Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pernah dipenjara di S’pura, Pfannenstiel kini pengarah sukan Aberdeen

Bekas penjaga gawang Geylang United galas tugas baru di Scotland selepas lalui kerjaya penuh kontroversi
Nov 3, 2025 | 5:30 AM
Lutz Pfannenstiel, Geylang United, Prison
Bekas penjaga gawang Geylang United, Lutz Pfannenstiel, mempunyai kerjaya berwarna-warni, yang diselubungi kontroversi. - Foto ISTOCKPHOTO

Lutz Pfannenstiel merupakan pemain bola sepak yang dianggap mempunyai kerjaya penuh kontroversi.

Bekas penjaga gawang berusia 52 tahun dari Jerman pernah mencuri seekor penguin, menghabiskan 101 hari di penjara Singapura selepas dituduh mengatur perlawanan dan menjadi model untuk jenama pakaian, Armani.

Kini, beliau dilantik sebagai pengarah sukan kelab bola sepak Scotland, Aberdeen.

Pfannenstiel dikenali sebagai ‘penjaga gol global’ selepas melalui kerjaya yang merangkumi 25 kelab di 13 negara.

Beliau menjadi pemain profesional pertama yang beraksi dalam kesemua enam konfederasi Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Ini selepas beliau menolak tawaran kontrak daripada Bayern Munich pada usia 19 tahun, demi mengembara dan bermain bola sepak di seluruh dunia.

Pada Ogos lalu, beliau meninggalkan kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), St Louis City, selepas tempoh singkat yang kurang cemerlang di bawah ketua jurulatih, Olof Mellberg.

Kini, beliau menyertai Aberdeen ketika pengurus pasukan, Jimmy Thelin, sedang berdepan tekanan selepas hanya mencatat tiga kemenangan dalam 15 perlawanan musim ini.

Pengerusi kelab, Dave Cormack, berharap dapat memanfaatkan “kepakaran luas Pfannenstiel dalam bidang kejurulatihan, pemantauan bakat, pembangunan pemain muda dan kepimpinan yang diperoleh daripada pelbagai peranan dan budaya”.

“Terutama sekali, pengetahuan teknikalnya, pengalaman dalam pembangunan akademi serta rangkaian pengambilan pemain sejagat merupakan faktor utama lembaga pengarah memilih beliau untuk peranan penting ini,” kata Cormack di laman web Aberdeen.

Pfannenstiel, yang akan bertanggungjawab terhadap semua aspek bola sepak dan prestasi, berkata beliau “tidak sabar untuk menyertai kelab dengan tradisi yang kaya, sejarah gemilang dan jiwa bola sepak sejati”, bermula pada 10 November.

“Selepas meluangkan masa mengenali kelab ini sepanjang dua tahun lalu, saya mewarisi prasarana yang kukuh dan pasukan kakitangan yang berpengalaman,” katanya.

Pfannenstiel pastinya menyerahkan rekod prestasi penuh warna-warni kepada kelab Liga Perdana Scotland itu.

Sepanjang kerjayanya sebagai pemain, beliau pernah beraksi bersama Nottingham Forest, Wimbledon, Huddersfield Town dan Vancouver Whitecaps.

Ketika beraksi untuk Geylang International – yang dahulu dikenali sebagai Geylang United – di Singapura pada 2001, beliau dipenjarakan selepas dituduh mengatur perlawanan – sesuatu yang didakwa berlaku kerana beliau “bermain terlalu bagus”.

Beliau dihukum penjara selama lima bulan setelah didapati bersalah bersetuju untuk menerima rasuah.

Bekas penjaga gawang itu didapati bersalah atas tiga tuduhan bersetuju menerima $18,000 sebagai ganjaran mempengaruhi keputusan tiga perlawanan bola sepak Liga-S – sebelum bertukar nama kepada Liga Perdana Singapura (SPL) – daripada seorang jurulatih golf sambilan, Sivakumar Madasamy.

Perlawanan itu adalah menentang Home United FC, Sembawang Rangers FC, dan Woodlands Wellington FC.

Sebelum itu, temannya, Mirka Jurilj, juga seorang bekas pemain import dalam Liga-S, menerima hukuman yang sama atas tuduhan yang serupa dan turut melibatkan Sivakumar.

Walaupun beliau didapati bersalah kerana bersetuju menerima rasuah, mahkamah mengesahkan bahawa Pfannenstiel tidak menerima sebarang bayaran kerana ketiga-tiga perlawanan tidak berakhir sepertimana yang dijangkakan.

Lutz Pfannenstiel (tengah) tiba di mahkamah di Singapura dengan ditemani kedua-dua peguamnya.
Lutz Pfannenstiel (tengah) tiba di mahkamah di Singapura dengan ditemani kedua-dua peguamnya. - Foto fail

Selepas episod gelap itu, Pfannenstiel dipinjamkan ke Bradford Park Avenue, dan beliau pernah diisytiharkan tidak berada dalam keadaan stabil oleh paramedik untuk kembali beraksi di padang semasa salah satu perlawanan menentang Harrogate pada musim liga 2002/2003

Ia susulan perlanggaran dengan pemain, Clayton Donaldson.

Ketika berada di New Zealand, beliau pernah menculik burung penguin dan memeliharanya di dalam tab mandi, sebelum memulangkannya semula apabila presiden kelab bola sepak, Otago United memberi amaran bahawa beliau boleh dihantar pulang jika ditangkap.

Selepas bersara daripada bermain bola sepak secara profesional pada 2011, Pfannenstiel menceburi bidang penyiaran sebagai pengulas rancangan sukan televisyen, dan menjalankan kursus kejurulatihan.

Beliau turut meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim melalui organisasi bukan meraih untung, Global United, yang diasaskannya pada 2010, dengan sokongan legenda bola sepak seperti Zico, Zinedine Zidane, Lothar Matthäus dan Carlos Valderrama.

Beliau menerbitkan autobiografinya pada 2014 – yang dikeluarkan di United Kingdon (UK) berjudul, The Unstoppable Keeper – dan digelarkan oleh majalah FourFourTwo sebagai “lelaki paling gila dalam bola sepak”.

Pfannenstiel menghabiskan sembilan tahun di sukan kelab Jerman, 1899 Hoffenheim sebagai ketua hubungan dan pemantauan antarabangsa.

Beliau kemudian berkhidmat selama dua musim sebagai pengarah Fortuna Düsseldorf, di mana pasukan itu menamatkan saingan di tangga ke-10 Bundesliga – pencapaian tertinggi mereka dalam tempoh tiga dekad.

Pfannenstiel juga menjadi pengarah sukan kelab bola sepak Amerika, St Louis City selama lima tahun.

Beliau turut pernah menubuhkan akademi remaja dan kemudahan latihan mereka, serta membantu kelab itu menjuarai Western Conference pada 2023. – Agensi berita.

“... tidak sabar untuk menyertai kelab dengan tradisi yang kaya, sejarah gemilang dan jiwa bola sepak sejati... Selepas meluangkan masa mengenali kelab ini sepanjang dua tahun lalu, saya mewarisi prasarana yang kukuh dan pasukan kakitangan yang berpengalaman.”
Lutz Pfannenstiel, pengarah sukan kelab bola sepak Scotland, Aberdeen.

“Terutama sekali, pengetahuan teknikalnya (merujuk kepada Lutz Pfannenstiel), pengalaman dalam pembangunan akademi serta rangkaian pengambilan pemain sejagat merupakan faktor utama lembaga pengarah memilih beliau untuk peranan penting ini.”
Dave Cormack, pengerusi kelab bola sepak Scotland, Aberdeen.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg