Perlawanan England menentang Belanda dalam separuh akhir Euro 2024 pada 3 pagi 11 Julai (waktu Singapura) menjanjikan persaingan sengit, kerana kedua-dua gergasi bola sepak Eropah itu sudah lama tidak menjulang sebarang trofi.
Kali terakhir England memenangi trofi pertandingan utama ialah pada 1966, apabila Sir Alfred Ramsey, memimpin pasukan Three Lions menjulang Piala Dunia.
Belanda tidak perlu menoleh ke sejarah selama itu.
Kali terakhir ia memenangi piala utama ialah pada 1988, apabila pasukan yang diterajui Marco Van Basten, menjulang trofi Euro, selepas menikmati kemenangan demi kemenangan meyakinkan, termasuk 3-1 ke atas England.
Kali ini, England pimpinan, Gareth Southgate, bertemu Belanda yang dibimbing, Ronald Koeman, dengan kedua-duanya memburu kemenangan yang akan membawa mereka kian hampir kepada trofi yang diidam-idamkan.
Namun, sejarah pertemuan mereka tidak menyebelahi England. Ia hanya menang sekali dalam sembilan pertemuan mereka sebelum ini.
Namun pasukan yang kaya bakat dan keupayaan itu masih terkial-kial mencari rentak permainan yang benar-benar boleh mencabar lawan.
England terkial-kial pada pusingan kumpulan dan terpaksa bergantung pada gol ‘terdesak’ untuk menewaskan Slovakia pada pusingan kalah mati, dan tendangan penalti untuk menundukkan Switzerland pada suku akhir.
Anak didik Southgate perlu mendapatkan semula ‘form’ mereka dengan cepat, berharap gabungan Harry Kane, Jude Bellingham dan Bukayo Saka, menjadi apabila mereka menentang Belanda.
Dalam perlawanan sebelum ini, gabungan itu hanya dilihat menjadi sesekali.
Kemaraan mereka akan cuba dihalang oleh barisan pertahanan Belanda yang diketuai Virgil van Dijk, yang sejak tewas kepada Austria dalam perlawanan peringkat kumpulan telah mula menunjukkan sedikit kebangkitan dan memulihkan form mereka untuk mengikat seri dengan Perancis pada peringkat kumpulan.
Koeman, yang telah mengumumkan hasratnya terus memimpin Belanda hingga 2026, berkata pasukannya akan mengasak England dari wisel pertama.
Strategi beliau munasabah kerana Belanda mempunyai dua pemain barisan depan yang begitu tajam di Jerman – Memphis Depay dan Cody Gakpo.
Dua pemain ini terlibat dalam 63.5 peratus percubaan gol setakat ini, menyumbang enam daripada sembilan gol Belanda.
Seorang lagi pemain, Zavi Simons, telah menunjukkan beliau boleh menjadi pencetus kreativiti dari tengah padang yang berupaya membantu pasukannya menembusi sebarang benteng lawan.
Dari segi pemain, England boleh menandingi Belanda.
John Stones gagah di tengah-tengah pertahanan, sementara Luke Shaw, yang beraksi kembali selepas mengatasi kecederaan jangka panjang, adalah satu lagi pilihan bagi Southgate di bek kiri.
Gabungan Bellingham, Kane dan Saka boleh menembusi sebarang benteng lawan jika mereka bermain pada potensi sebenar mereka.
Dari sudut pandang ini, peminat bola sepak boleh menjangka perlawanan sengit yang boleh menjadi satu perlawanan klasik.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan menentang Switzerland, Southgate berkata beliau dan anak didiknya ingin meraikan setiap kemenangan dan akan berbuat demikian sebelum menumpukan perhatian pada separuh akhir menentang Belanda.
“Kami bergembira buat sementara, tapi kami tahu tugas yang menanti kami di separuh akhir,” kata beliau.
Koeman berpendapat serupa dan berkata pasukannya bersedia menghadapi lawan pada separuh akhir.
Perlawanan di Signal Iduna Park – yang secara kebetulan adalah stadium pasukan Borussia Dortmund, tempat Bellingham mengukir namanya sebagai pemain bola sepak disegani – menjanjikan perlawanan yang boleh dianggap sebagai klasik pada masa depan.
Namun, perlawanan antara England dengan Belanda juga boleh menjadi antara perlawanan membosankan.
Apa pun yang berlaku dalam perlawanan ini, adalah pasti bahawa satu pasukan akan pulang dengan rasa kecewa dan ada pemain akan mengharumkan namanya.
Pasukan yang mana satu akan kecewa? Siapakah gerangan pemain itu?
Bagi saya, soalan ini sudah cukup untuk mendorong saya bersengkang mata menonton siaran langsung perlawanan antara dua pasukan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg