Persatuan Pemain Golf Profesional Singapura (SPGA) kini tampil melengkapkan ekosistem sukan golf setempat yang diterajui badan induk kebangsaan bagi sukan golf, Persatuan Golf Singapura (SGA).

Dalam satu perkembangan penting, SGA berjaya menarik penyertaan SPGA ke bawah naungannya, yang turut merangkumi Persatuan Golf Wanita Singapura dan Persatuan Golf Warga Emas Singapura.

Presiden SPGA, M Murugiah, yang bertemu Presiden SGA yang baru dipilih, Lee Lung-Nien, sekitar sebulan lalu, menyifatkan Lee sebagai “sangat terbuka dan jujur” dalam mengembangkan hubungan tersebut bagi memacu sukan golf setempat ke peringkat lebih tinggi.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, SPGA – yang banyak bergerak secara bersendirian – terpaksa mengurangkan kejohanannya kepada hanya enam acara setiap tahun dengan setiap kejohanan menawarkan hadiah wang tunai sekitar $30,000.

Persatuan itu turut menyaksikan penurunan tahap mutu jurulatih profesionalnya selain berdepan kesukaran mendapatkan tajaan, kata Murugiah.

Lee, seorang tokoh perbankan veteran yang turut dikenali sebagai ‘Lung’, meyakinkan SPGA bahawa beliau akan memanfaatkan pengaruh serta rangkaian hubungannya yang luas bagi membantu persatuan itu kembali bangkit.

Lee, yang merupakan Pegawai Negara dan Ketua Perbankan di Citi Singapore, turut merupakan ahli badan golf berprestij, Royal & Ancient (R&A).

R&A yang berpangkalan di Scotland merupakan salah satu daripada dua badan induk utama sukan golf dunia, di samping Persatuan Golf Amerika Syarikat (USGA).

“Meningkatkan profil dan reputasi arena golf profesional Singapura menjadi keutamaan kami. Dalam perbincangan saya bersama Murugiah, beliau berminat untuk menjalin hubungan yang saling melengkapi,” katanya.

“SPGA merupakan komponen penting dalam ekosistem golf kita. Kami komited untuk membina kerjasama rapat dan kolaboratif dengan SPGA yang menghormati kebebasan serta identitinya, di samping berkongsi sumber, menyelaraskan usaha dan meningkatkan kecekapan demi manfaat bersama,” tambah Lee.

Arena golf profesional lelaki Singapura sebelum ini pernah melalui zaman kegemilangannya. 

Bekas juara Jelajah Eropah, Mardan Mamat, yang umurnya genap 59 tahun pada Oktober, menyaksikan pengurangan jumlah slot penyertaannya dalam kejohanan jelajah serantau.

Bekas pemain profesional, Lam Chih Bing, yang bakal berusia 50 tahun pada Disember ini, turut beralih ke kategori amatur.

Buat masa ini, hanya segelintir pemain golf Singapura – Nicklaus Chiam, Ryan Ang, James Leow dan Gregory Foo – yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding era kegemilangan dahulu apabila pemain seperti Mardan, Lam Chih Bing, Samson Gimson, Choo Tze Huang, Quincy Quek, Koh Dengshan dan Lam Zhiqun sering beraksi dalam jelajah serantau mahupun dunia.

Daripada empat pemain terbaik ketika ini, Leow memegang ranking dunia tertinggi di tangga ke-786, namun kedudukan itu jauh lebih rendah berbanding pencapaian terbaik Mardan di tangga ke-193 pada 2011.

Presiden SGA telah pun memulakan hubungan kerja antara badan induk itu dengan SPGA menerusi pelantikan Murugiah dalam lembaga pengarahnya, serta menempatkan penolong jurulatih kebangsaan, Joshua Shou, dalam jawatankuasa eksekutif SPGA.

Agenda pertama Lee adalah untuk meningkatkan keupayaan jurulatih golf profesional, menyusuli peningkatan bilangan pemain golf remaja yang memerlukan pembangunan profesional.

Beliau merancang untuk melakukan perkara itu melalui kerjasama dengan Coach SG dan menawarkan program pembangunan kejurulatihan bersubsidi.

Lee juga ingin bekerjasama dengan SPGA bagi memperkenalkan kelayakan, pelesenan serta syarat tatalaku yang selaras bagi pemain golf profesional.

Selain keperluan pembangunan profesional yang merangkumi aspek peraturan, teknik pengajaran dan pengurusan permainan di padang, beliau turut berminat mewujudkan laluan bagi golongan profesional ini menyumbang sebagai jurulatih, pembimbing dan duta dalam program anjuran SGA.

Lee juga akan membantu SPGA mendapatkan tajaan korporat.

Mengulas mengenai kerjasama serta sokongan tersebut, Murugiah berkata: 

“Kebanyakan kejohanan saya sebelum ini diadakan di Batam. Kini, dengan bantuan SGA, beberapa kelab setempat dilihat sedia membuka pintu mereka buat kami. Sinar di hujung terowong telah mula kelihatan.”