Dua pasukan gergasi Liga Perdana England (EPL), Liverpool dan Manchester City, bakal berentap pada 2 Disember ini dalam perlawanan yang dijangka menentukan arah tuju musim mereka.
Liverpool kini menduduki tangga teratas EPL dengan 31 mata hasil daripada 10 kemenangan, satu seri dan tewas hanya sekali, selepas 12 perlawanan awal musim.
Mereka mendahului City yang menduduki tangga kedua dengan 23 mata.
Namun, pertemuan kali ini membawa naratif baru apabila Arne Slot, bos baru Liverpool yang menggantikan persaingan lama antara Pep Guardiola dengan Jurgen Klopp, menjadikan saingan ini menarik sekali untuk diikuti.
Dengan Guardiola baru menandatangani kontrak sehingga 2027, pertemuan ini berpotensi menjadi permulaan kepada saingan sengit antara beliau dengan Slot.
Namun, ia tiba pada saat yang agak ‘ganjil’ bagi Guardiola.
Berbeza dengan Slot yang menikmati permulaan cemerlang di Liverpool, pasukan juara Guardiola sedang bergelut dengan prestasi hambar.
Kekalahan besar 0-4 kepada Tottenham pada 24 November bukan sahaja meranapkan rekod 52 perlawanan tanpa kalah di Etihad, malah merupakan kekalahan terbesar City sejak berpindah ke stadium itu pada 2003.
Ia juga merupakan rekod kekalahan terbesar bagi Guardiola sepanjang kerjaya pengurusannya.
Selain itu, City mencatat lima kekalahan berturut-turut, termasuk mensia-siakan kelebihan tiga gol apabila seri 3-3 dengan Feyenoord dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 27 November.
Sebelum pertemuan di Anfield, Guardiola perlu memperbaiki kelemahan pasukannya di dua aspek utama – pertahanan dan keyakinan.
Pertahanan City telah dibolosi 17 kali, sementara jentera serangan mereka hanya menghasilkan tujuh gol dalam enam perlawanan terakhir.
Selepas perlawanan menentang Spurs, Guardiola memberitahu agensi berita BBC bahawa mereka sedar terdapat masalah di bahagian pertahanan.
“Kami bermula dengan baik, tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol dan selepas itu gawang kami dibolosi. Kami sering dibolosi dan ia adalah sukar... dan menjejas keyakinan kami sekarang.
“Sepanjang lapan tahun, kami tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Kini, kami perlu mengharunginya dan mengatasinya dengan memenangi perlawanan, terutama perlawanan seterusnya,” kata beliau.
Kecederaan yang dialami John Stones ketika menentang Spurs serta kecederaan beberapa pemain utama seperti Jeremy Doku, Mateo Kovacic, Oscar Bobb dan Rodri menyukarkan lagi situasi City.
Pemain pertahanan City yang juga mampu beraksi di posisi bek kiri, Josko Gvardiol, perlu segera bangkit selepas prestasi hambar dalam perlawanan menentang Spurs dan Feyenoord.
Kesilapan beliau dalam kedua-dua perlawanan tersebut menghadiahkan gol kepada pasukan lawan.
Jika tidak, Gvardiol pastinya menghadapi tugas lebih sukar membendung bintang sayap kanan Liverpool, Mohamed Salah, yang berada pada prestasi terbaiknya.
Salah, dengan 12 gol musim ini, pasti akan memanfaatkan kelemahan di barisan pertahanan City untuk menambah jumlah jaringannya.
“Kami berharap untuk memenanginya dan mendahului mereka dengan lebih jauh lagi, 11 mata,” kata Salah, ditukil dalam laman web Liverpool FC.
Walaupun begitu, Salah tetap berwaspada terhadap City dan menambah:
“Man City ialah Man City... mereka akan bangkit. Mereka mempunyai pengurus yang hebat... pemain yang hebat.”
Dengan perlawanan berlangsung di Anfield, Guardiola perlu mempersiapkan mentaliti pemainnya dan membangkitkan keyakinan mereka.
Kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Real Madrid dalam saingan UCL pada 28 November di Anfield dijangka memberikan suntikan motivasi tambahan menjelang perlawanan menentang City.
Bermain di Anfield juga mampu mencipta suasana yang menggentarkan pasukan lawan.
Keberanian dan keupayaan untuk keluar daripada tekanan lawan sudah tidak terlihat pada permainan City sejak kebelakangan ini.
Mereka harus segera memikirkan cara untuk mendapatkan semula keyakinan tersebut sebelum segerombolan naga datang menyerang di Anfield.
Liverpool, di bawah pengurusan Slot, telah menunjukkan kemajuan ketara dengan penguasaan bola yang lebih berhati-hati dan memberi tekanan tepat pada waktunya.
Mereka berjaya memenangi enam perlawanan terakhir mereka dan menjaringkan 11 gol.
Jika Slot bijak memanfaatkan kelemahan City, Liverpool berpeluang mencatatkan kemenangan yang akan melebarkan jurang mereka kepada 11 mata, memberikan mereka kelebihan psikologi.
Guardiola harus membuktikan kemahirannya untuk bangkit daripada kesukaran, manakala Slot perlu mengukuhkan reputasinya sebagai arkitek kebangkitan Liverpool.
Ramalan wartawan: Liverpool 3 Man City 1
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg