Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SILAT

Pesilat negara raih rekod 14 pingat di Terbuka Belgium

May 01, 2019 | 05:30 AM



PESILAT negara pulang ke tanah air dari kejohanan Terbuka Belgium minggu lalu dengan 14 pingat secara keseluruhannya.



Lima pingat emas, empat perak dan lima gangsa merupakan kemenangan terbesar rombongan Singapura di pertandingan yang diadakan di Dewan Sukan Vordenstein, Schoten, Antwerp, itu.



Tiga pesilat muda negara yang bertanding dalam kategori Junior - Muhammad Harits Mohd Yusli, Aniq Asri Mohd Yazid dan Sheik Fayz Sheik Alau'ddin - berjaya membuktikan bakat.



Mereka menyerlah sebagai antara tiga wakil negara yang menyumbang pingat emas daripada kejohanan yang berlangsung dari 26 hingga 29 April lalu itu.



Mengongsi pengalaman melalui kejohanan tersebut buat julung-julung kalinya, Harits, 15 tahun, yang mengatasi lawannya dari Belanda dalam Kelas 'E' Junior Lelaki dengan keputusan 5-0, berkata:



"Ini pengalaman yang hebat dan luar biasa buat saya. Sebelum pertandingan ini bermula, kami mempunyai latihan berpusat yang sukar bagi saya.



"Sebabnya, ini kali pertama saya berlatih dengan pasukan senior elit. Latihan itu membuat saya lebih bersedia dan yakin dengan diri sendiri untuk mengatasi setiap cabaran."



Dua pingat emas lagi disumbangkan dua jaguh negara - juara dunia kategori seni Muhammad Iqbal Abdul Rahman (Seni Tunggal Putera), dan juara dunia kategori tanding Kelas 'B' Lelaki, Muhammad Hazim Mohd Yusli.



Atas persembahan yang cemerlang, Hazim dinobat Atlit Terbaik kejohanan tersebut.



Empat pingat perak diraih menerusi gandingan Nur Hakim Norshamsuddin dan Syafiq Syazry Mohd Abdul Majid (Seni Ganda Putera); Nur Azlyana Ismail dan Nurhanishah Shahrudin (Seni Ganda Puteri); serta pesilat Masters negara, Hasmuzaffar Hasibollah (Kelas D Lelaki) dan Hasmuraizah Hasibollah (Kelas H Lelaki).



Bagi Hasmuzaffar yang juga bertanding dalam kejohanan itu buat kali pertamanya, beliau amat berbesar hati diberi kepercayaan sekali lagi untuk mewakili negara pada usia menjangkau 45 tahun.



"Sekali lagi saya diberikan kepercayaan menyertai pasukan negara dalam kejohanan antarabangsa. Namun, kali ini, ia pengalaman yang berbeza.



"Dengan pesilat Senior dan Junior semuanya lebih kuat dan bersemangat mencapai kejayaan, ia juga mempengaruhi saya supaya berlatih secara lebih gigih.



"Bertarung dalam kelas yang baru bagi diri saya merupakan cabaran yang besar tetapi saya gembira dapat merangkul pingat perak.



"Ini meskipun perlu berdepan lawan lebih besar dan terpaksa berlawan di peringkat final dengan kecederaan," katanya.



Dalam pada itu, empat pesilat harapan negara, Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin (Kelas 'I' Lelaki); Nurul Suhaila Mohd Saiful (Kelas 'C' Wanita); Siti Khadijah Mohd Shahrem (Kelas 'B' Wanita); dan Nurzuhairah Mohd Yazid (Seni Tunggal Puteri); terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa di kejohanan itu.



Mengulas, ketua rombongan pesilat negara yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persisi Sheik Alau'ddin Yacoob Marican berkata beliau berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan pesilat.



Beliau turut mencabar mereka agar memberi yang terbaik sebelum melangkah masuk ke gelanggang Sukan SEA di Filipina pada akhir tahun ini.



"Saya rasa pesilat kita sudah melakukan yang terbaik di kejohanan ini. Cuma mungkin keputusan wasit atau pengadil tidak menyebelahi kita.



"Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dengan persembahan pasukan ini dan saya telah memberitahu pesilat supaya bangkit dan meneruskan apa yang telah dilakukan selama ini.



"Tidak banyak yang perlu diperbaiki (daripada segi persembahan), tetapi saya berkongsi dengan atlit dan bertanya jika inilah keputusan yang mereka mahukan serta adakah mereka masih mendahagakan kemenangan lagi," ujarnya.



Tahun ini, pasukan silat negara telah menghantar rombongan 18 pesilat untuk bertanding di Belgium, yakni jumlah terbesar bagi pertandingan itu.



Ini termasuk tiga atlit kategori Junior yang berusia antara 14 dengan 17 tahun dan dua atlit kategori Masters.



Kejohanan di Eropah itu diharapkan memberi pendedahan dan persediaan buat pesilat negara menghadapi Sukan SEA.



Pertandingan di Belgium juga dijadikan sebagai penanda aras bagi pesilat negara mempersiap diri dengan meningkatkan lagi prestasi masing-masing.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >