Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Petang berlatih bagi Sukan SEA, malam pula ke kelas

Bek kiri pasukan bola sepak wanita, Seri Nurinsyirah perlu ke kelas setiap malam dek pengajiannya di Amerika Syarikat
Dec 3, 2025 | 3:11 PM
Sukan Sea, bek kiri, sukan
Bek kiri pasukan bola sepak wanita Singapura, Seri Nurinsyirah Indra Saharen (tengah), menjaringkan satu gol cantik semasa penampilan pertamanya menentang Seychelles pada 28 November. - Foto FAS

Sedang pemain bola sepak wanita Singapura lain berehat pada malam hari sebelum dan sepanjang Sukan SEA 2025, Seri Nurinsyirah Indra Saharen, pula perlu menukar but bola sepaknya dengan komputer riba untuk mengikuti kelas sekolahnya.

Selain berhempas pulas untuk negara, Seri tetap meneruskan pengajiannya di IMG Academy – sebuah institusi sukan, prestasi dan pendidikan berprestij di Bradenton, Florida, Amerika Syarikat secara dalam talian.

Walau perlu mengorbankan masa dan tenaganya, Seri tidak ingin mensia-siakan panggilan sulungnya untuk menyertai skuad wanita Singa dan Sukan SEA.

Bek kiri berusia 16 tahun itu tidak ingin tanggungjawab tambahan itu menjejaskannya, malah sebaliknya mendorongnya untuk mencapai kejayaan akademik dan sukan.

Apabila ditemui Berita Harian (BH), Seri berkata:

“Saya perlu fokus pada dua perkara berbeza – akademik memang penting dan saya mahu meraih keputusan yang baik, tetapi saya juga perlu fokus pada bola sepak untuk mencapai impian saya.

“Saya perlu mengimbangi kedua-duanya dengan disiplin dan merancang jadual saya dengan bijak.”

Berkongsi jadual pengajiannya, Seri berkata kelasnya akan berlangsung selama lima hari pada waktu malam selama empat jam.

“Jarak masa antara Singapura dengan Amerika Syarikat ialah sekitar 12 jam, jadi kalau di sini malam, di sana pagi.

“Dalam satu hari itu biasanya saya ada empat jam pengajian (dari 7.20 malam hingga 11.10 malam) untuk dua atau tiga subjek,” katanya.

Beliau menambah, penting bagi beliau tetap hadir kelas dan melakukan kerja sekolahnya dalam talian agar Gred Mata Purata (GPA) beliau tidak terjejas.

Seri merupakan salah seorang penerima Biasiswa Luar Negara, yang disampaikan di bawah projek gerakan nasional mempertingkat mutu bola sepak Singapura, Unleash The Roar! (UTR).

Beliau memulakan pengajian diplomanya itu di Amerika pada Ogos lalu dan dijangka selesai pada 2028.

Selain Seri, Chantale Lamasan, yang juga berusia 16 tahun dan penerima biasiswa UTR!, turut disertakan dalam skuad jurulatih wanita Singa, Karim Bencherifa, bagi Sukan SEA kali ini.

Chantale dan Seri pernah mewakili Singapura yang menamatkan saingan di tempat kedua dalam kejohanan Piala Lion City 2025, dan sejak itu telah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan bawah 16 dan bawah 20 tahun.

Bek kiri pasukan bola sepak wanita Singapura, Seri Nurinsyirah Indra Saharen.
Bek kiri pasukan bola sepak wanita Singapura, Seri Nurinsyirah Indra Saharen. - Foto FAS

Di padang, Seri tidak perlu menunggu lama untuk menunjukkan taringnya.

Pada perlawanan pertamanya menyarung jersi negara menentang Seychelles, Seri menjaringkan satu gol cantik menerusi kaki kanannya daripada luar penalti untuk membantu wanita Singa menang besar 7-0.

Terasa bak sedang bermimpi, Seri berkata:

“Dapat bermain untuk pasukan utama dan juga menjaringkan gol pada penampilan pertama saya seperti satu impian yang menjadi kenyataan. Ia adalah pengalaman yang luar biasa, saya terkejut dan gembira.

“Gol itu sangat bermakna bagi saya, dan saya harap dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada pasukan.”

Beliau menambah, pencapaian itu tidak dapat dihasilkan tanpa bimbingan pemain senior lain, yang menjadi kunci dalam penyesuaian Seri dalam pasukan.

Selepas membenam Seychelles, wanita Singa kini lebih bersemangat bagi perlawanan Sukan SEA menentang Indonesia dan Thailand pada 7 dan 10 Disember, kata Seri.

“Saya bersyukur atas bimbingan dan sokongan rakan sepasukan senior saya, yang banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan pasukan dan memperbaiki permainan saya.

“Kemenangan ini pastinya memberikan kami momentum menjelang Sukan SEA, dan kami tidak sabar untuk mengekalkan tenaga ini dan buat yang terbaik,” kongsinya.

Kapten pasukan, Siti Rosnani Azman atau lebih mesra digelar ‘Nani’, tidak menyangkal kehebatan Seri dan berkata beliau mampu menjadi pemain yang harus diberi perhatian pada masa depan.

Menyifatkan ia merupakan satu lonjakan besar bagi Seri, beliau perlu bekerja lebih keras lagi untuk membuktikan kemampuannya, kata Nani.

“Tidak semua orang berpeluang mewakili pasukan negara, dan terutamanya bagi pemain muda, ini peluang untuk mereka bersinar, menunjukkan kemampuan, dan membuktikan bahawa mereka layak berada dalam pasukan negara serta bersedia untuk panggilan seterusnya.

“Saya pasti akan membimbing Seri, tetapi pada masa yang sama beliau juga perlu mampu membantu dirinya sendiri,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg