Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa wanita berazam mahu rebut tempat ke separuh akhir

Mereka hadapi tugas berat berdepan Thailand, Indonesia
Dec 3, 2025 | 4:23 PM
Singa, Wanita, Sukan Sea
Jurulatih pasukan negara bola sepak wanita Singapura, Karim Bencherifa, berkata perlawanan menentang Thailand di Sukan SEA 2025 merupakan kayu ukur pasukannya selepas melalui peningkatan dalam dua perlawanan lain sebelum ini. - Foto BH oleh KHALID BABA

Tahun 2025 boleh dianggap sebagai tahun yang mahu dilupakan pasukan bola sepak wanita Singapura.

Sebelum dua perlawanan persahabatan menentang Seychelles pada 25 dan 28 November dengan mereka menjaringkan sejumlah 16 gol tanpa balas, pasukan bola sepak wanita Singa telah tewas dalam semua perlawanan mereka pada 2025.

Kini, peluang terakhir mereka menutup tirai 2025 dengan gemilang, namun menghadapi cabaran besar.

Dalam Sukan SEA 2025, mereka ditempatkan bersama tuan rumah Thailand dan Indonesia – kedua-duanya memiliki kedudukan ranking jauh lebih tinggi dalam Kumpulan A.

Thailand berada 96 tangga di atas pasukan Singa dalam ranking dunia.

Namun, jurulatih dan pemain Singa yang ditemui Berita Harian (BH) tetap yakin bahawa tempat ke separuh akhir masih boleh direbut.

Jurulatih pasukan, Karim Bencherifa, berkata mereka perlu mendapatkan mata penuh menentang Indonesia, selain mencabar Thailand.

“Semua pasukan bekerja keras dengan membuat persiapan rapi melalui lawatan pendedahan, serta memanfaatkan peluang mendapatkan pemain import atau menghantar pemain beraksi di luar negara.

“Tetapi, saya yakin pemain saya mempunyai kemampuan meraih keputusan positif menentang Indonesia dan saya harapkan satu persembahan kompetitif serta kemajuan yang jelas apabila berdepan Thailand,” katanya.

Warga Maghribi berusia 57 tahun itu akan mengemudi pasukan wanita Singa untuk Sukan SEA keduanya selepas dilantik pada Mac 2023.

Pada temasya lalu, anak didiknya berjaya menduduki tangga ketiga di peringkat kumpulan, termasuk kemenangan kedua mereka dalam sejarah Sukan SEA, apabila menewaskan Laos 2-1.

Bagi Sukan SEA kali ini, wanita Singa akan berdepan Indonesia (pada 7 Disember) dan pasukan tuan rumah Thailand (pada 10 Disember) di Chonburi.

Dalam kalangan tujuh pasukan di Asia Tenggara yang bertanding di Sukan SEA, Singapura menduduki tempat terakhir (kedudukan ke-149 Fifa).

Manakala Thailand berada di kedudukan ke-53 dan Indonesia di tempat ke-106.

Apabila undian bagi peringkat kumpulan diadakan, Bencherifa berkongsi bahawa beliau ‘mengimpikan’ untuk ditempatkan bersama Thailand kerana pasukan itu menjadi kayu ukur untuk menilai sejauh mana kemajuan pasukannya.

Dalam kelayakan Asia bagi Sukan Olimpik 2024 – iaitu kejohanan pertama di bawah pimpinan Bencherifa – pada 2023, Singapura, tewas 0-6 tangan Thailand.

Pada Sukan SEA 2023 pula, jurang itu berkurangan apabila mereka tewas 0-4.

“Peningkatan jelas dalam perlawanan itu ialah pasukan Singapura mula mengambil inisiatif dan menunjukkan keyakinan ketika menyerang, walaupun berdepan pasukan seperti Thailand yang memberi tekanan.

“Malah, jurulatih mereka juga berkata beliau melihat Singapura yang berbeza berbanding perlawanan pertama kami,” kongsinya.

Bencherifa sudah semestinya ingin anak didiknya mengakhiri 2025 dengan cemerlang selepas melalui tahun yang mencabar.

Sepanjang 2025, pasukan wanita belum mencatat sebarang kemenangan dalam perlawanan kompetitif.

Selain itu, mereka turut terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Wanita Asean walaupun layak ke kejohanan tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti terhadap jadual perlawanan yang bertindih serta tahap persiapan pasukan itu untuk menghadapi kejohanan penting di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ini termasuk Kelayakan Piala Asia Wanita AFC dan Kelayakan Piala Asia Wanita Bawah 20 Tahun AFC.

Antara cabaran utama pasukan wanita – yang mempunyai purata usia sekitar 21 tahun – ialah mengimbangi komitmen kerja dan pengajian bersama empat kejohanan utama di peringkat antarabangsa.

Hal tersebut sering menghambat pemain wanita untuk menumpukan sepenuhnya pada bola sepak.

Namun kapten pasukan, Siti Rosnani Azman, bertekad meletakkan prestasi itu di belakang dan menumpukan untuk melayakkan diri ke separuh akhir di Sukan SEA kali ini.

“Saya ingin pasukan kami layak ke separuh akhir. Saya tahu ia bukan tugas yang mudah, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin dan menumpukan satu perlawanan pada satu masa,” katanya.

Bek tengah itu menambah, kemenangan menentang Seychelles sudah semestinya membakar semangat pemain untuk mempamerkan prestasi cemerlang.

Terutamanya dengan kehadiran rakan sepasukannya, baik yang berpengalaman mahupun pemain muda yang beraksi di luar negara.

“Perlawanan menentang Seychelles itu lebih kepada meningkatkan keyakinan dan membina momentum menjelang Sukan SEA.

“Saya harap pemain muda yang peroleh pengalaman di luar negara dapat membantu pasukan dengan lebih baik serta bekerjasama dengan pemain senior yang berpengalaman agar berikan yang terbaik untuk negara,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg