Setahun selepas membuat keputusan untuk “keluar” gelanggang, atlet tinju tendang Singapura, Nazri Sutari, meraih pingat perak di pertandingan Sarajevo Grand Prix 2025.
Walau setahun tidak beraksi di peringkat tertinggi, beliau berjaya melangkah ke peringkat final kejohanan itu namun tewas kepada atlet tinju nombor empat dunia, Lazar Stupar dari Serbia.
Kejayaan itu tiba setelah beliau membuat keputusan berhenti bersaing pada 2024 bagi memberi tumpuan pada kerjayanya sebagai jurulatih tinju tendang.
Keputusan untuk mengetepikan sukan yang beliau minati itu dek ingin memberi tumpuan kepada usaha mencari rezeki bagi menampung keluarga.
Menurut kenyataan persekutuan Tinju Tendang Singapura pada 7 April, wang simpanan atlet tinju tendang itu dikatakan berkurangan akibat penyertaannya dalam pertandingan di luar negara.
Di samping itu, beliau juga menghadapi kesukaran membina momentum kerjayanya.
“Ia satu keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan.
“Saya memang amat gemar berlatih dan bertanding. Tetapi kerjaya saya semakin terjejas kerana terlalu banyak masa dihabiskan di luar,” kata Nazri dalam kenyataan tersebut.
Nazri menambah beliau juga ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga terutama sekali ibunya yang semakin uzur.
“Sebenarnya, saya bersyukur kerana keputusan untuk berehat. Justeru saya dapat kembali memasak dan belajar resipi-resipi keluarga daripada ibu saya,” tambahnya.
Kejohanan itu merupakan kali pertama Nazri bertanding sejak beraksi di Kejohanan Dunia Persatuan Pertubuhan Tinju Tendang Dunia (Wako) di World Championships di Albufeira, Portugal pada November 2023.
Kejohanan di Sarejevo, Bosnia and Herzegovina, yang berlangsung dari 4 hingga 6 April itu menyaksikan perwakilan daripada 766 atlet tinju tendang dari 20 negara.
Untuk mempersiapkan dirinya bagi kejohanan itu, Nazri menjalani latihan dan diet yang ketat selama tujuh minggu.
Usaha itu berjaya membantunya menurunkan 14 kilogram, sehingga dapat menentang atlet nombor empat dunia, Stupar, dalam perlawanan akhir.
Perlawanan penuh debaran itu meraih pengiktirafan juri dan memukau ramai penonton.
Dalam perlawanan akhir kategori Low Kick 71 kilogram, penonton berkumpul menyaksikan satu-satunya atlet Asia dalam kejohanan itu menentang jaguh Serbia yang cukup digeruni dengan keupayaan knockoutnya.
Stupar, yang mempunyai ketinggian hampir satu kepala lebih daripada Nazri, langsung tidak menggugat keyakinan atlet Singapura itu.
Lebih menarik lagi, kedua-dua mereka merupakan anak didik Aleksandar Topic – seorang jurulatih ternama yang pernah melahirkan ramai juara dunia.
Aksi perlawanan bermula sengit namun, Stupar mula mendahului, dengan kelebihan tipis antara empat hingga lima mata daripada setiap undian juri.
“Ia benar-benar satu perlawanan yang hebat antara kedua-duanya. Lazar berlatih bersama atlet-atlet terbaik hampir setiap masa dan bertanding hampir setiap bulan. Nazri pula hanya mendapat peluang yang jauh lebih sedikit berbanding itu.
“Jadi, melihat jurang hanya lima mata yang memisahkan mereka memang sesuatu yang luar biasa. Ia benar-benar menunjukkan potensi Nazri — dan bagaimana beliau bertarung dengan sepenuh hati,” kata Topic.
Kejayaan ini merupakan pingat ke-10 Nazri dalam sukan tinju tendang setakat ini.
Mengenai sasaran seterusnya, Nazri sempat berseloroh:
“Nasi lemak adalah sasaran saya yang seterusnya. Gurau sahaja, saya sebenarnya sangat gembira kerana saya akan pulang ketika masih dalam suasana Hari Raya. Jadi saya dapat menikmati masakan ibu dan meraikan musim perayaan bersama keluarga.”
Namun, beliau berkata sasarannya yang sebenar ialah memenangi pingat di Kejohanan Dunia WAKO yang akan diadakan pada November 2025.
Nazri akan terbang ke Bangkok dari Serbia pada 7 April untuk menjadi pengadil di Piala Dunia Thailand yang julung-julang kali diadakan, dari 7 hingga 13 April.
Beliau akan menyertai kontinjen Singapura yang terdiri daripada tiga atlet – Valencia Yip, Alexavier Koh dan Shaikh Abdullah – yang akan bertanding di kejohanan tersebut.
Nazri dan pasukan kontinjen Singapura dijadualkan pulang ke Singapura pada 14 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg