Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piala AFF Mitsubishi Electric: S’pura tersingkir, tewas 1-3 kepada Vietnam dalam separuh akhir kedua

Anak didik Ogura tewas agregat 1-5; Vietnam mara ke final, akan bertemu Filipina atau Thailand
Dec 29, 2024 | 11:24 PM
Walaupun telah menghasilkan ancaman kepada Vietnam terutamanya pada separuh masa pertama, pasukan Singapura akhirnya disingkirkan daripada Piala AFF Mitsubishi Electric 2024, dengan kekalahan 3-1 oleh Vietnam di Stadium Viet Tri pada 29 Disember.
Walaupun telah menghasilkan ancaman kepada Vietnam terutamanya pada separuh masa pertama, pasukan Singapura akhirnya disingkirkan daripada Piala AFF Mitsubishi Electric 2024, dengan kekalahan 3-1 oleh Vietnam di Stadium Viet Tri pada 29 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mereka berjuang hempas pulas dan tidak mengaku kalah sehingga wisel penamat, tetapi perjalanan pasukan bola sepak Singapura dalam Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 telah berakhir selepas ia tewas 1-3 kepada Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Viet Tri di Hanoi pada 29 Disember.

Ini bermakna anak didik Tsutomu Ogura tewas dengan jaringan agregat 1-5 kepada Vietnam, yang turut menewaskan Singapura 0-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar pada minggu lalu.

Vietnam mara ke final untuk menentang Filipina atau Thailand yang bakal bertemu dalam separuh akhir kedua pada 30 Disember.

Cabaran yang menggunung untuk menerbalikkan keputusan agregat - Singapura perlu menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan - menjadi lebih sukar selepas Vietnam menjaringkan tendangan penalti dalam separuh masa pertama untuk mendahului 0-3 melalui kiraan agregat.

Namun, perlawanan mungkin berakhir dengan lebih baik bagi pasukan Singapura, jika gol yang dijaringkan Faris Ramli di awak separuh masa pertama tidak dibatalkan pengadil.

Pada minit ke-10, Faris menanduk bola masuk ke gawang Vietnam, tetapi gol tersebut, selepas semakan Pengadil dibantu Video (VAR) yang berlanjutan, dibatalkan akibat ofsaid. 

Vietnam, yang beraksi di depan lebih 15,000 penyokong sendiri, membuktikan mereka tidak goyah dengan amaran Singapura dan menghasilkan ancaman mereka sendiri.

Pada minit ke 20, mereka pula yang menyumbatkan bola ke dalam gawang Singapura, tetapi ia juga tidak diberikan akibat pemain tengah Singapura, Shah Shahiran dikasari semasa gerakan menyusuli jaringan tersebut.

Namun Singapura tetap tidak berputus asa, dan kekal mencuba untuk menghasilkan peluang menjaringkan gol.

Usaha Singa hampir membuah hasil pada mint ke-35, apabila Kyoga Nakamura membuat percubaan hasil umpanan Faris di dalam kotak penalti Vietnam, tetapi pemain pertahanan Vietnam bijak menghalangnya.

Walaupun Singapura, berkeras dengan serangan mereka, Vietnam pula yang membuka tirai perlawanan.

Ramai yang katakan bahawa jaringan tersebut dapat dielakkan.

Ia berpunca daripada tendangan percuma apabila pemain Vietnam dikasari oleh pemain pertahanan Singapura, Nazrul Nazari.

Penjaga gawang Singapura, Izwan Mahbud, berjaya menepis percubaan Vietnam ke luar untuk tendangan sudut Vietnam.

Namun, penyokong Singapura terpaksa menggigit jari apabila pengadil perlawanan, tidak mulakan perlawanan dengan serta merta.

Selepas semakan VAR sekali lagi, penalti dianugerahkan kepada Vietnam, mengundang bantahan dan protes daripada pemain Singapura. Malah, pengadil dari Uzbekistan melayangkan kad merah secara salah kepada pemain pertahanan Lionel Tan - keputusan yang ditarik balik tidak lama selepas itu.

Tan dianggap telah mengasari Nguyen Xuan Son apabila beliau menarik jersi pemain yang berasal dari Brazil itu dan beliau juga terlibat bantahan selepas pengadil memberikan penalti.

Xuan Son, yang berada dalam rentak menjaringkan golnya, tidak mensia-siakan peluang ini dan menjaringkan penaltinya, meletakkan pasukannya di hadapan 1-0 apabila separuh masa pertama berakhir.

Vietnam memulakan separuh masa kedua dengan agresif, mempamerkan hasrat mereka untuk mendapatkan lebih gol dan mematikan semangat Singapura. 

Dan cuba sedaya upaya Singapura, setiap ancaman yang dilontarkan kepada Vietnam, dapat dibalas dengan teguh. 

Vietnam menghasilkan serangan balas pantas pada minit ke-61, di mana Xuan Son menghantar bola bijak kepada Tien Linh Nguyen tetapi Izwan pantas untuk mengumpul hantaran tersebut.

Namun hanya seminit selepas peluang tersebut, Hoang Duc Nguyen mempamerkan kelicikannya untuk melepasi dua pemain pertahanan Singapura dan memberi bola kepada Xuan Son untuk menggandakan kelebihan Vietnam dengan mudah.

Akhirnya, pada minit ke-73, serangan Singapura membuahkan hasil apabila Kyoga Nakamura berjaya menjaringkan gol hebat dari luar kotak penalti Vietnam.

Gol tersebut mungkin sekadar sagu hati, tetapi ia tetap memberikan semangat kepada pasukan Singa untuk menghasilkan kejutan - yang kini perlukan sekurang-kurangnya tiga gol lagi untuk membawa perlawanan tersebut ke masa tambahan.

Kyoga sekali lagi mencuba nasibnya pada minit ke-77, tetapi percubaannya terus ke dakapan penjaga gawang Vietnam, Dinh Trieu Nguyen.

Namun, Vietnam akhirnya memadamkan api semangat Singapura dengan Tien Linh Nguyen menjaringkan penalti pada masa tambahan, menjadikan kedudukan Vietnam 3-1.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg