Demi mempertingkat prestasi bola sepak Singapura, ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, telah menggariskan sasaran utamanya menjelang perlawanan pembuka Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 menentang Kemboja di Stadium Nasional pada 11 Disember.
Beliau akan menilai pasukannya perlawanan demi perlawanan, agar beliau dapat memahami kedudukan bola sepak Singapura di Asean dengan lebih mendalam.
“Kami mesti tahu apa yang perlu diperbaiki, dan juga kekuatan kami.
“Dengan bermain bersama negara seperti Kemboja, Timor-Leste, Thailand, Malaysia dan lain-lain lagi, kami akan dapat tahu perkara ini yang penting bagi masa depan bola sepak Singapura,” jelas jurulatih berusia 58 tahun itu.
Yang penting juga baginya adalah pasukannya dapat kekal bermain gaya bola sepak yang baik buat tempoh perlawanan yang lebih lama.
Perlawanan itu akan menjadi perlawanan pembuka bagi Singapura dalam Piala AFF 2024, yang menyaksikan mereka berdepan dengan pasukan Kemboja yang semakin berkembang.
Berdasarkan ranking terkini, Singapura menduduki tempat ke-161 dunia, lebih tinggi berbanding Kemboja, yang berada di kedudukan ke-180 dunia dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Berdasarkan rekod pertemuan kededua pasukan sejak 1957, Singapura menang 14 kali dan seri sekali, dan ia menjadikan Singapura sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut.
Tambahan pula, pasukan Singa, gelaran pasukan kebangsaan Singapura, mempunyai sejarah yang kaya dalam Kejohanan Piala AFF, dengan meraih empat gelaran juara (1998, 2004, 2007, dan 2012).
Meskipun beberapa tahun terakhir tidak begitu cemerlang, pasukan Singapura kini berada di bawah kendalian jurulatih Ogura yang berusaha mengembalikan kegemilangan mereka.
Walau bagaimanapun, rekod-rekod itu tidak boleh dijadikan jaminan kerana Kemboja semakin memperbaiki mutu permainan mereka, terutama selepas keputusan seri 2-2 menentang Malaysia pada 8 Disember.
Keputusan seri itu ternyata mengejutkan apatah lagi kedudukan ranking Malaysia jauh lebih baik di tangga 132 berbanding lawan di posisi 180 dunia.
Keputusan itu bermakna Kemboja berkeyakinan tinggi dan pasti akan gigih berusaha mengekalkan prestasi positif mereka dengan mengalahkan Singapura pada 11 Disember.
Walaupun Kemboja tidak dijangka menang, mereka jelas tidak boleh dipandang ringan.
Penyerang Singapura, Shawal Anuar, yang akan membuat penampilan ketiga AFF-nya, menekankan kepentingan Singapura memberikan persembahan mengagumkan menentang Kemboja.
“Saya rasa ia sangat penting untuk menang kerana kami perlu memberikan persembahan yang baik di hadapan penyokong kami,” jelas Shawal.
“Kami sudah sedia, tenaga yang dipamerkan oleh pasukan sangat baik untuk berdepan dengan Kemboja esok (11 Disember).”
Demi memastikan pasukannya mempunyai peluang terbaik untuk mara ke pusing seterusnya, Kemboja merupakan antara pasukan yang Singapura perlu tewaskan sebelum dapat berdepan dengan antara pasukan kegemaran pertandingan ini, Thailand, di Stadium Negara pada 17 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg