Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Piala Dunia 2030 ‘luar biasa’, rentasi enam negara di tiga benua

104 perlawanan bakal diadakan di Paraguay, Uruguay, Argentina, Sepanyol, Portugal dan Maghribi; keputusan Fifa bagaimanapun undang kritikan sesetengah pihak
Oct 15, 2023 | 05:30 AM



Enam negara. Lima zon waktu. Tiga benua. Dua musim berbeza. Satu Piala Dunia.

Perancangan yang dicadangkan untuk kejohanan sukan terbesar dunia pada 2030 – yang akan diadakan di Amerika Selatan, Afrika dan Eropah – sukar dibayangkan sebagai satu realiti.

Ia adalah kali pertama Piala Dunia diadakan di lebih daripada satu benua dengan 2002 merupakan satu-satunya kejohanan itu sebelum ini menampilkan lebih daripada satu tuan rumah – apabila Korea Selatan dan Jepun menjadi penganjur bersama.

Itu akan berubah apabila Amerika Syarikat, Mexico dan Canada menjadi tuan rumah pada 2026 – tetapi tiga negara penganjur itu juga tidak dapat menandingi skala Piala Dunia yang menyusul pada 2030.

Sepanyol, Portugal dan Maghribi telah dinamakan sebagai tuan rumah bersama, namun tiga perlawanan pembukaan akan berlangsung di Uruguay, Argentina dan Paraguay untuk meraikan ulang tahun ke-100 penganjuran Piala Dunia.

Namun bagaimana semuanya akan berfungsi? Dan apakah implikasi yang mungkin untuk pemain dan peminat?

BOLEHKAH SEBUAH NEGARA ANJUR PIALA DUNIA BAGI 48 PASUKAN?

Uruguay, Paraguay dan Argentina masing-masing akan menganjurkan satu perlawanan pada permulaan kejohanan sebagai meraikan 100 tahun sejak pertandingan pertama di Montevideo.

Ibu kota Uruguay itu akan mengadakan perlawanan pembukaan pada 2030, dengan perlawanan di Argentina dan Paraguay menyusul sebelum baki kejohanan 48 pasukan berlangsung di utara Afrika dan Eropah.

Ini bermakna sebaik sahaja perlawanan awal itu selesai, kejohanan itu akan dibahagikan antara tiga negara – seperti yang dirancang untuk Piala Dunia 2026.

Piala Dunia akan diperluas menjadi tuan rumah kepada 48 pasukan buat kali pertama apabila ia diadakan di 16 bandar tuan rumah di Amerika, Mexico dan Canada.

Itu, bersama-sama dengan keputusan Fifa untuk mengekalkan format kumpulan empat pasukan, bermakna bilangan perlawanan meningkat daripada 80 kepada 104, di samping memperkenalkan pusingan 32 terakhir yang baru.

Walaupun hanya satu daripada 22 Piala Dunia sebelum ini yang mempunyai lebih daripada satu negara tuan rumah, peningkatan skala kejohanan bermakna bidaan pelbagai negara mungkin menjadi lebih menarik kepada bakal pembida.

SATU PIALA DUNIA
DALAM DUA MUSIM BERBEZA?


Perubahan hemisfera bermakna sesetengah pasukan mungkin mendapati diri mereka berada dalam senario pelik bermain dalam dua musim berbeza di Piala Dunia yang sama.

Mereka yang akan beraksi dalam satu daripada tiga perlawanan pembukaan di Amerika Selatan sebelum menyambung baki kejohanan mereka di Eropah atau Afrika utara akan bertukar dari musim sejuk ke musim panas, dalam tempoh beberapa hari.

Pada Jun, Uruguay diramal mencatat suhu sejuk purata antara 8 dengan 15 darjah Celsius, manakala pada masa yang sama suhu di Maghribi boleh melebihi 30 darjah Celsius.

Negara jiran, Argentina, melihat julat suhu yang serupa dengan Uruguay manakala di utara, Paraguay mempunyai purata suhu yang lebih panas iaitu 23 darjah Celsius.

Tetapi itu masih jauh lebih sejuk daripada haba musim panas yang dijangkakan di sebahagian Sepanyol dan Portugal yang seperti Maghribi mempunyai purata suhu maksimum harian kira-kira 35 darjah Celsius menjelang Julai.

BAGAIMANA DENGAN ISU PERJALANAN, PENJADUALAN DAN PERSEKITARAN?

Butiran lanjut akan didedahkan dalam masa terdekat, tetapi jelas terdapat perjalanan tambahan yang diperlukan untuk semua pasukan yang terlibat – termasuk peminat yang berharap dapat menyokong pasukan mereka.

Sebarang perancangan untuk acara itu perlu ditangguhkan sehingga maklumat di sekitar bandar dan jadual tuan rumah dikeluarkan.

Namun yang pasti, pergerakan yang diperlukan antara benua dan negara akan menelan perbelanjaan yang tinggi.

Penjadualan itu juga boleh menjadi masalah bagi mereka yang menonton dari jauh, lebih-lebih lagi dalam pusingan awal pertandingan ekoran perbezaan masa lima jam antara Paraguay dengan Sepanyol.

Ia turut mengetengahkan isu tambahan bagi mereka yang diundi untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan di Amerika Selatan, dengan purata masa penerbangan kira-kira 13 jam antara Argentina dengan Sepanyol.

Perjalanan tambahan itu juga menimbulkan persoalan mengenai komitmen Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap kemampanan dan isu sekitaran selepas dakwaannya bahawa Qatar 2022 adalah sebuah pertandingan neutral karbon disifatkan sebagai dakwaan “berbahaya dan mengelirukan” oleh pencinta alam sekitar.

Mengikut anggaran badan induk dunia itu sendiri, Piala Dunia 2026, yang diramalkan akan memberikan potensi kenaikan keuntungan sebanyak £521 juta ($872 juta), akan menjadi kejohanan paling ‘lumayan’ sejauh ini.

Presiden Fifa, Gianni Infantino, berkata keputusan untuk mengembangkan Piala Dunia diterajui oleh keperluan untuk kejohanan itu menjadi “lebih inklusif” dan “sama sekali bukan didorong perebutan wang dan kuasa”.

Fifa memberitahu BBC Sport ia “menyedari sepenuhnya bahawa perubahan iklim adalah salah satu cabaran paling mendesak pada zaman sekarang dan percaya ia memerlukan setiap individu mengambil tindakan segera dan mampan”.


Ia menambah: “Fifa juga sedar sepenuhnya tentang kesan acara mega terhadap ekonomi, persekitaran alam semula jadi dan ke atas orang ramai dan masyarakat, dan telah melakukan usaha yang besar untuk menangani kesan tersebut.”

Badan induk bola sepak dunia itu juga menekankan ia “akan melaksanakan strategi kemampanan yang teguh untuk acara itu. Fifa akan melakukan segala yang mungkin untuk memaksimumkan pengalaman pasukan, peminat dan pegawai sambil mengurangkan kesan terhadap alam sekitar”.

‘Mimpi ngeri logistik’ – daripada perspektif peminat

Piala Dunia sinonim dengan tuan rumah, pementasan acara oleh tuan rumah dan peluang untuk pasukan dan peminat melibatkan diri dalam budaya yang lebih luas.

Dengan beberapa negara tuan rumah – kesemua enam daripadanya akan menerima penyertaan automatik ke kejohanan itu – berkemungkinan ramai akan mempunyai pengalaman berbeza dalam kejohanan yang sama.

Jika cadangan itu diluluskan pada Kongres Fifa 2024, Maghribi hanya akan menjadi negara Afrika kedua untuk menjadi tuan rumah selepas Afrika Selatan pada 2010. Portugal akan menjadi tuan rumah buat kali pertama manakala Sepanyol kali terakhir menjadi tuan rumah pada 1982.

Namun, apakah kesannya kepada penyokong?

“Bagi penyokong ia akan menjadi mimpi ngeri logistik,” menurut peminat bola sepak England, Garford Beck, yang telah beberapa kali menyokong pasukan England di pertandingan dunia itu.

“Ia adalah mengerikan untuk ke Russia, melalui perjalanan 18 jam dari Moscow ke Samara untuk menyaksikan perlawanan suku akhir,” kata Beck menceritakan pengalamannya semasa menyaksikan England dalam Piala Dunia di Russia.

“Saya rasa apa yang mereka tidak faham ialah keselesaan peminat amat terjejas dengan pertandingan yang diadakan di dua negara, apatah lagi tiga atau enam negara,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >