Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Lion City tampilkan acara perempuan bawah 16 tahun buat pertama kali sejak 1977
Piala Lion City tampilkan acara perempuan bawah 16 tahun buat pertama kali sejak 1977
Piala Lion City tampilkan acara perempuan bawah 16 tahun buat pertama kali sejak 1977
Edisi ke-29 Piala Lion City akan menampilkan acara bagi perempuan buat julung-julung kali sejak ia dimulakan pada 1977 apabila kejohanan itu diadakan pada Julai.
Ini setelah Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan pada 27 Februari mengesahkan ia akan menambah kejohanan bagi peringkat bawah 16 tahun untuk perempuan sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap bola sepak wanita.
Presiden FAS, Encik Bernard Tan, ditukil akhbar The Straits Times, sebagai berkata: “(Idea bagi) acara ini sudah lama dirancang, tetapi kami tidak melakukannya sebagai satu perkara yang terpencil semata-mata.
“Kami telah lancarkan (projek bola sepak negara) Unleash The Roar, kami mempunyai Pusat Pembangunan Nasional yang kini melatih pasukan wanita.
“Dari segi persediaan mereka untuk kejohanan antarabangsa, adalah penting bagi kami membiasakan mereka dalam pelbagai perlawanan agar memastikan mereka mengetahui tahap permainan antarabangsa.”
“Tidak banyak perlawanan persahabatan untuk pasukan wanita, jadi Piala Lion City bagi pasukan wanita kami adalah sesuatu yang kami perlukan sebagai permulaan. Ia juga akan memberi mereka motivasi untuk menyarung jersi nasional pada usia yang muda.”
Walaupun tarikh, format dan butiran lain masih belum dimuktamadkan, Encik Tan mendedahkan bahawa Hong Kong telah mengesahkan penyertaan mereka bagi acara bawah 16 tahun wanita itu.
Acara bagi kategori lelaki pula mungkin diadakan serentak atau tampil pada 2026, tambah beliau.
Piala Lion City telah menarik pasukan belia dari pasukan kebangsaan serta kelab terkemuka seperti Liverpool, Manchester City, Arsenal dan Tottenham Hotspur di England, kelab Ajax Amsterdam dari Belanda dan Flamengo dari Brazil sejak ia diadakan.
Bagi menyokong matlamat FAS mengembangkan Piala Lion City menjadi pertandingan utama untuk lelaki dan perempuan, FAS menandatangani memorandum persefahaman dengan syarikat Seventy7 Sports yang berpangkalan di London untuk membangunkan dan mengkomersialkan kejohanan tersebut.
Pengerusi eksekutif Seventy7 Sports, Encik Ketan Makwana, yang berada di Singapura untuk edisi kejohanan pada 2024, berkata:
“Bola sepak semakin menjadi perniagaan dan lebih daripada sukan. Lebih banyak negara terlibat dalam bola sepak wanita dan perempuan.
“Jadi, kami ada peluang untuk mengkomersialkan (kejohanan), mewujudkan perkongsian jenama dengan industri berbeza yang ingin dikaitkan dengan kepelbagaian, inklusiviti dan kesaksamaan.
“Visi kami adalah untuk memacu inovasi bagi Piala Lion City dan menyokong belia dan generasi masa hadapan berkembang maju melalui bola sepak.
“Ada satu ketika Piala Lion City berada di puncak kejohanan Asia, tiba masanya kejohanan itu mengambil tempat sebagai acara utama dalam kalendar sukan Asia.”
