Topic followed successfully
Go to BHkuPilih santai di Italy: Mbappe hadapi kritikan hebat peminat
Pilih santai di Italy: Mbappe hadapi kritikan hebat peminat
Petisyen dalam talian desak Mbappe yang direhat akibat cedera disingkir, telah ditandatangani 12 juta orang dalam tempoh kurang 24 jam
Pilih santai di Italy: Mbappe hadapi kritikan hebat peminat
MADRID: Kerjaya Kylian Mbappe bersama Real Madrid setakat ini nampaknya tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Meskipun penyerang berusia 27 tahun itu telah menjaringkan 85 gol dalam 100 penampilan sejak beliau beralih ke Stadium Bernabeu, pasukan Sepanyol itu kini berdepan kemungkinan menamatkan musim kedua berturut-turut tanpa sebarang kejuaraan La Liga mahupun Liga Juara-Juara.
Bagi sebuah kelab yang memiliki koleksi 36 gelaran liga dan 15 Liga Juara-Juara, kegagalan itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Di sebalik kemarahan penyokong yang semakin memuncak serta khabar angin mengenai pergolakan dalaman pasukan, berikut merupakan sorotan musim kedua Mbappe di Madrid yang mula menunjukkan keretakan.
Mbappe kini direhatkan daripada perlawanan akibat kecederaan hamstring yang dialaminya pada 24 April ketika menentang Real Betis, dan tidak pasti sama ada beliau akan bermain dalam aksi El Clasico menentang Barcelona pada 10 Mei.
Real Madrid perlu memenangi perlawanan tersebut bagi menghalang Barca daripada mengesahkan kejuaraan liga Sepanyol.
Lazimnya, isu kecederaan pemain akan menjadi perhatian utama.
Namun sebaliknya, tumpuan kini lebih terarah kepada apakah yang berlaku di luar padang latihan.
Bintang Perancis itu diberikan cuti rehat pada minggu lalu dan memilih untuk melawat pulau di Italy, Sardinia, dalam tempoh pemulihannya.
Walaupun lawatan tersebut mendapat keizinan kelab, ternyata ia kurang disenangi penyokong kerana masanya yang disifatkan sebagai tidak sesuai.
Beberapa keping foto yang memaparkan beliau sedang bersantai di atas sebuah kapal pesiar tular ketika Real Madrid sedang berjuang menentang kelab Espanyol.
“Ketika cuti, Mbappe bebas melakukan apa sahaja yang beliau mahu, sama seperti pemain lain,” tegas Ketua Jurulatih, Alvaro Arbeloa.
Ketidakpuasan hati itu akhirnya mencetuskan tindakan terancang daripada penyokong kelab itu.
Satu petisyen dalam talian yang mendesak Mbappe disingkirkan daripada kelab, atau ‘Mbappe Out’, tular dengan pantas di media sosial, menggesa peminat menuntut perubahan serta tindakan tegas diambil mengenai masa depan pemain itu di kelab tersebut.
Walaupun sasaran asalnya hanyalah 200,000 tandatangan, namun, dalam masa kurang 24 jam, lebih 12 juta orang telah menandatanganinya.
Meskipun sukar untuk mengesahkan berapa ramai daripada penandatangan merupakan penyokong sebenar Real Madrid, kecaman itu berlaku pada waktu yang cukup sensitif.
Real Madrid kini semakin hampir menamatkan musim tanpa sebarang trofi, dengan ketinggalan 11 mata di belakang Barcelona dalam saingan La Liga dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir.
Dalam konteks ini, tumpuan terhadap pemain bintang kian meruncing.
Meskipun Mbappe merupakan penjaring terbanyak kelab itu pada musim ini, beliau tidak terlepas daripada menjadi sasaran utama kritikan.
Selain persoalan mengenai komitmennya, terdapat juga dakwaan mengenai ketegangan dalaman serta rasa tidak puas hati yang mula membuak di sebalik tabir.
Wakil Mbappe telah mengeluarkan kenyataan kepada media minggu ini, menegaskan bahawa segala kritikan yang dilemparkan “tidak mencerminkan hakikat komitmen Kylian (Mbappe) serta kerja keras harian beliau untuk pasukan”.
Dalam jangka masa pendek, perhatian kini tertumpu kepada sama ada Mbappe cukup cergas untuk beraksi di padang Barcelona, Stadium Camp Nou.
“Kita akan lihat keadaan Mbappe minggu ini,” kata Arbeloa dalam sidang media selepas perlawanan pada 3 Mei.
“Berdasarkan ujian minggu lalu, nampaknya (proses pemulihan beliau) mungkin memerlukan sedikit masa lagi.” – Agensi berita.

