Topik diikuti
Pergi ke BHkuPingat perak Kiria dalam lawan pedang satu ‘kejutan manis’
Pemain nombor 100 dunia pamer prestasi membanggakan walau tewas kepada pemain dari Korea Selatan
Pingat perak Kiria dalam lawan pedang satu ‘kejutan manis’
Pada malam 22 September, atlet lawan pedang negara, Kiria Tikanah Abdul Rahman, sukar memejamkan mata sehingga 2 pagi.
Selepas satu hari suntuk mengharumkan nama negara dalam acara epee wanita pada Sukan Asia 2026, segala debaran dan lonjakan adrenalin masih dirasainya hingga ke lewat malam.
Bermula seawal 11.45 pagi pada 22 September, Kiria menampilkan aksi cemerlang dengan menumbangkan beberapa jaguh terbaik Asia, sebelum langkahnya terhenti di pentas akhir apabila tewas 8-15 kepada pemain nombor tiga dan juara dunia bertahan dari Korea Selatan, Song Se-ra.
Pencapaian julung kali itu bukan sahaja melakar sejarah baharu sebagai pingat perak pertama Singapura dalam sukan lawan pedang di Sukan Asia, malah ia menjadi satu kejutan manis buat Kiria, yang merupakan pemain nombor 100 dunia.
Selepas dibelenggu kemerosotan prestasi dalam beberapa kejohanan sebelum ini, kejayaan melangkah ke pentas akhir nyata menyuntik semula keyakinannya.
Meskipun terkilan kerana terlepas peluang meraih pingat emas, kekecewaan itu tidak mematahkan semangatnya.
Kini, Kiria, 26 tahun, kembali bersemarak dan bersiap sedia untuk membantu pasukan epee wanita negara menjelang acara berpasukan pada 25 September ini.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Kiria – yang kini berada di Nagoya, Jepun – berkata setelah kembali tenang sehari kemudian, beliau mengakui perlawanan akhir itu bukanlah persembahan terbaiknya.
Namun secara keseluruhannya, beliau tetap berpuas hati dengan prestasinya dalam temasya tersebut.
Mengulas mengenai perlawanan yang berlangsung di Aichi Sky Expo itu, Kiria berkata:
“Sekarang, saya sudah kembali tenang dan mula merenung semula perlawanan tersebut, ya, ia sememangnya bukan perlawanan terbaik saya. Tetapi pada awalnya, persaingan di pentas akhir itu agak sengit kerana untuk beberapa mata terawal, saya rasa saya bertanding dengan cukup baik.”
Namun, menurut Kiria, jurang mata mula terpisah kerana beliau lambat menyesuaikan diri apabila lawannya itu, yang juga merupakan juara dunia 2026, mengubah strateginya di pertengahan perlawanan.
Apabila Kiria cuba merapatkan jurang, ia sekali gus membuka ruang kepada pemain Korea Selatan itu untuk mengeksploitasi kelemahan atlet negara tersebut.
“Secara keseluruhannya, memang masih banyak ruang untuk diperbaiki, terutamanya bagi perlawanan terakhir itu.
“Tetapi secara peribadi, saya puas hati dengan prestasi yang telah saya pamerkan,” kongsinya.
Mengimbas situasi menjelang perlawanan akhir itu menentang Song, Kiria berkongsi bahawa beliau perlu segera bersiap sedia memandangkan tiada ruang rehat yang panjang, sekali gus memacu debaran adrenalinnya ke tahap tertinggi.
“Selepas separuh akhir saya, ada acara lain iaitu perlawanan akhir lelaki, dan perlawanan akhir itu cuma satu perlawanan sahaja.
“Maka, apabila acara itu bermula, dah tiba masa untuk saya bersiap sedia.
“Saya belum sempat sampai ke bilik atau kawasan beg saya pun, mereka dah jerit, ‘cepat, cepat, cepat!’,” katanya sambil berseloroh.
Walaupun beliau kecewa tidak dapat memenangi pingat emas, Kiria percaya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sukan Asia 2026 yang diadakan di Aichi-Nagoya itu.
Dalam pusingan kumpulan awal hari tersebut, Kiria menduduki tempat kedua dalam Kumpulan 3 selepas memenangi empat daripada lima perlawanannya.
Beliau kemudian mendapat laluan percuma ke pusingan 16 terakhir, sebelum menewaskan atlet Jepun, Miho Yoshimura, dengan keputusan 14-13 untuk mara ke suku akhir.
Kiria seterusnya bertarung sengit di peringkat suku akhir dengan menumbangkan juara Asia dari Kazakhstan, Irina Bakaldina, 15-14 untuk menempah tempat ke separuh akhir.
Di peringkat tersebut, beliau mengalahkan wakil China, Yang Jingwen, juga dengan keputusan 15-14 untuk bertemu Song di pentas akhir.
“Semestinya saya mahu pingat emas, tetapi jika dilihat secara realistik, ia memang sangat, sangat sukar.
“Saya perlukan sedikit tuah sepanjang perjalanan itu, dan semalam saya dapat tuah itu,” katanya.
Pingat perak yang diraih Kiria itu turut melakar sejarah baharu arena lawan pedang negara apabila menjadi pingat ketiga keseluruhan buat sukan tersebut di temasya empat tahun sekali ini.
Lim Wei Wen meraih pingat Sukan Asia pertama Singapura dalam sukan lawan pedang pada 2014 apabila beliau memenangi pingat gangsa acara epee lelaki, sebelum pasukan foil wanita turut merangkul pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018.
Bagi Kiria, pencapaian itu hadir selepas prestasinya dalam beberapa kejohanan baru-baru ini, tidak menentu.
Lantas, beliau menyifatkan kejayaan terbaru ini sebagai satu kejutan yang manis.
Walaupun beliau meraih pingat gangsa acara individu di Kejohanan Lawan Pedang Asia pada 2025, Kiria tewas di peringkat 32 pada edisi 2026 pada Jun lalu.
Namun, beliau bersama rakan sepasukannya melakar sejarah dengan merangkul pingat gangsa acara epee berpasukan wanita, di kejohanan itu.
Pada Kejohanan Dunia pada Julai pula, Kiria terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 64 terbaik, sementara Song pula menjuarainya.
“Pada hakikatnya, untuk mencapai kejayaan ini tidak mustahil, dan saya berjaya membuktikannya,” kata Kiria.
Memandang ke hadapan, Kiria masih mempunyai satu lagi tugas yang perlu diselesaikan di temasya ini.
Beliau bakal beraksi dalam acara epee berpasukan bersama rakan sepasukan yang lain – Elle Koh, Filzah Hidayah Nor Anuar, dan Esther Tan – pada 25 September ini.
Kiria menyifatkan peluang ini bukan sahaja sebagai medan tebus hampa buat dirinya, malah buat Koh yang terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas 11-15 kepada atlet Jepun, Tamaki Terayama.
“Saya rasa persembahan Koh semalam sangat membanggakan dan memberi dorongan kepada pasukan... memang sangat menyenangkan apabila melihat dua atlet yang dihantar beraksi dengan begitu baik.
“Harapannya agar kami dapat bawa motivasi, tenaga, serta ‘chemistry’ sebegini ke acara berpasukan nanti.
“Saya rasa kami ada peluang yang cukup baik untuk meraih pingat, tetapi saya tak berani nak berjanji apa-apa!,” ujarnya.