Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, teruja dengan kisah yang dilalui Siti Khadijah Shahrem dan Adib Farhan Ramli – dua bekas atlet silat yang telah beralih ke seni pertahanan diri wushu dan mewakili Singapura dalam temasya Sukan SEA 2025.
Menurutnya, pertukaran antara silat dengan wushu ini mengingatkan warga Singapura bahawa mereka lebih diperkaya apabila mendukung kepelbagaian budaya dan tradisi di sini.
Ia sekali gus “mewujudkan laluan dan peluang baru bersama-sama”, tambah beliau.
Dalam satu catatan Facebook pada 16 Disember, Encik Wong berkata:
“Mereka merupakan atlet wushu sanda bukan berbangsa Cina pertama bagi Singapura yang bertanding dalam acara sukan antarabangsa utama.
“Khadijah juga bertanding untuk meraih pingat gangsa, sekali gus memperoleh pingat wanita pertama Singapura dalam acara wushu sanda di Sukan SEA.”
Wushu terdiri daripada dua cabang iaitu taolu, persembahan rutin koreografi, dan sanda iaitu pertempuran secara kontak penuh.
Khadijah mula menceburi silat pada usia 11 tahun dan sejak itu, beliau telah meraih pingat di Sukan SEA dan Sukan Asia.
Bahkan, beliau pernah dicalonkan sebagai Olahragawati Tahunan bagi Anugerah Sukan Singapura 2023.
Namun, 2025 menjadi detik sukar apabila beliau gagal terpilih untuk mewakili negara bagi sukan silat ke Sukan SEA.
Disebabkan hanya kategori wanita Kelas B (50-55kg) dan Kelas C (55-60kg) dipertandingkan di Sukan Sea Thailand, Khadijah memilih untuk menurunkan berat badan bagi mencuba nasib dalam Kelas C.
Beliau sebelum ini memenangi gangsa di Sukan SEA 2022 dalam Kelas F (70-75kg) dan bertanding dalam Kelas D (60-65kg) pada edisi terakhir.
Walaupun berjaya mencapai berat badan yang diperlukan, beliau tewas dalam sesi pemilihan dalaman Persekutuan Silat Singapura (Persisi) pada Mac.
Kisah serupa juga dialami Adib, bekas juara Asia yang turut bertukar daripada silat kepada wushu selepas terlepas pemilihan ke temasya itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg