Topik diikuti
Pergi ke BHkuPochettino: Jadi jurulatih lebih baik selepas kendali AS, yakin dapat bina semula Man U
Pochettino: Jadi jurulatih lebih baik selepas kendali AS, yakin dapat bina semula Man U
Pochettino: Jadi jurulatih lebih baik selepas kendali AS, yakin dapat bina semula Man U
LOS ANGELES: Mauricio Pochettino berkata tempoh bersama pasukan Amerika Syarikat telah menjadikannya jurulatih yang “jauh lebih baik” dan yakin bahawa barisan kejurulatihannya mampu menyesuaikan diri serta-merta untuk membangunkan semula Manchester United.
Pochettino akan mengendalikan perlawanan suku akhir kedua Liga Negara-Negara Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) menentang Haiti sebelum terbang ke England untuk memulakan tugas sebagai jurulatih United pada keesokan harinya.
Beliau berdepan dengan pertembungan besar Liga Perdana England (EPL) menentang Liverpool pada 22 November.
Dengan United terperosok di tangga ke-18 dalam liga utama England itu, serta turut memerlukan keputusan positif dalam kempen Liga Juara-Juara yang bersambung menentang Sporting Lisbon tiga hari kemudian, Pochettino hanya mempunyai sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan membuat perubahan kepada United.
Orang kanan yang dipercayainya, Jesus Perez, bersama anak lelaki Pochettino merangkap jurulatih kecergasan pasukan, Sebastiano, serta jurulatih penjaga gol, Toni Jimenez, telah terbang lebih awal ke England selepas kemenangan 6-0 Amerika pada perlawanan pertama menentang Haiti pada 14 November, menurut Pochettino.
“Mereka sudah berada di sana lebih awal, mereka sedang menyediakan segala-galanya di sana, kerana apabila sejurus kami tiba, semuanya akan berjalan tanpa henti,“ kata Pochettino pada sidang media pada 16 November.
Beliau menambah: “Bagi saya, ia tidak sukar, saya rasa kami sudah bersedia sepenuhnya untuk bertukar rentak dengan pantas.
“Seperti seorang pemain daripada pasukan kebangsaan ke kelab. Daripada satu perlawanan yang anda tidak bermain dengan baik kepada perlawanan lain yang memerlukan anda bersedia semula. Daripada satu tindakan ke tindakan yang seterusnya.“
Bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Chelsea dan Paris Saint-Germain itu berkata bahawa “semua pengalaman masa lalu” akan membantu pasukannya menyesuaikan fokus mereka kepada “keutamaan pada masa itu”.
Namun, Pochettino turut menyatakan bahawa pengalaman membimbing pasukan kebangsaan Amerika selama dua tahun – serta tempoh masa yang terhad untuk melatih pemainnya semasa jendela perlawanan antarabangsa – telah membantu meningkatkan kemajuan dirinya serta pembantunya.
Beliau berkata: “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami banyak belajar tentang cara mendekati dan mencipta kesan dalam satu mesyuarat, dalam satu latihan di padang, dalam satu mesej.
“Kini kami adalah barisan kejurulatihan yang sangat lengkap. Kami tidak mendakwa kami akan memenangi setiap perlawanan. Tetapi saya rasa kami kini jauh lebih baik.“
United di bawah kendalian Pochettino perlu mula memenangi perlawanan dengan segera untuk meredakan spekulasi mengenai kemungkinan tersingkir daripada EPL kelak.
Menjelang pertemuan menentang musuh ketat Liverpool, United mungkin berada di kedudukan paling bawah carta, bergantung kepada keputusan perlawanan melibatkan Sunderland dan Crystal Palace.
Pada masa hadapan, Pochettino perlu membina semula skuad yang dibarisi bintang-bintang berharga mahal tetapi gagal mempamerkan prestasi sebenar.
Pochettino tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat sebahagian daripada bakat Amerika yang pernah dibimbingnya sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama pasukan kebangsaan itu, tanpa menyebut sebarang nama individu daripada senarai pemain seperti Folarin Balogun, Tyler Adams dan Weston McKennie. – AFP.