ROME: Paul Pogba yang sedang digantung sementara oleh Tribunal Anti-Salah Guna Dadah Kebangsaan Italy (Nado) amat bersungguh-sungguh dan berharap agar dapat segera kembali ke padang bersama pasukan Juventus dan bersedia menerima potongan gaji, tegas juara Piala Dunia itu kepada La Gazzetta dello Sport dalam satu temu bual pada 16 Oktober lalu.
“Saya bersedia kehilangan sejumlah wang asalkan saya dapat bermain lagi bersama Juve, saya ingin kembali ke padang bersama kelab ini,” kata Pogba pada satu temu bual yang diterbitkan oleh laman web sukan Italy itu.
“Realitinya adalah saya pemain Juve dan saya sedang bersiap untuk berkhidmat kepada Juve.”
Kontrak Pogba bersama kelab gergasi Italy itu akan berakhir pada Jun 2026 dan bernilai €8 juta ($8.6 juta) setahun.
Semasa penggantungannya, pemain tengah itu hanya menerima gaji minimum yang ditetapkan dalam perjanjian kolektif Serie A – lebih €2,000 sebulan.
Bagaimanapun, sejak tempoh penggantungan Pogba dikurangkan, akhbar Italy telah melaporkan bahawa Juventus masih berusaha menamatkan kontraknya.
“Saya akan menjadi Pogba yang baru, lebih lapar, lebih bijak, dan lebih kuat... Saya hanya mahu bermain bola sepak,” tambah bekas bintang Manchester United itu.
“Saya mahu bersedia untuk berlatih dan bermain untuk Juve, saya seorang pemain Juve, dalam fikiran saya, itu sahaja yang ada pada masa ini.”
Pogba digantung empat tahun namun tempoh hukuman dikurangkan kepada 18 bulan lebih awal pada Oktober oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan boleh kembali beraksi mulai 11 Mac 2025, empat hari sebelum hari jadinya yang ke-32.
Pogba diuji positif bagi testosteron pada Ogos 2023 selepas perlawanan antara Juventus dengan Udinese di Italy.
Beliau digantung sementara pada September 2023, dan kemudian dilarang bermain selama empat tahun oleh Nado pada Februari 2024.
Wakil Pogba berkata testosteron itu datang daripada makanan tambahan yang ditetapkan oleh doktor semasa beliau mendapatkan nasihat di Amerika Syarikat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg