FRANKFURT: Portugal merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan menentang Slovenia pada 2 Julai, 3 pagi (waktu Singapura) meskipun jurulatih pasukan itu, Roberto Martínez, enggan mengakui hakikat itu.
Menurutnya, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak terutama perlawanan kalah mati.
“Saya tidak mahu pemain memikirkan soal pasukan pilihan atau tidak. Kami tidak mahu memberi tumpuan kepada pasukan lawan, tetapi sebaliknya memberi tumpuan 100 peratus kepada persiapan kami,” ujar beliau.
Menjawab pertanyaan wartawan dalam satu sidang media, Martinez berkata skuad Portugal berada dalam keadaan yang baik dengan semangat yang tinggi, meskipun tewas 2-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di tangan Georgia.
“Tentunya para pemain kecewa, tetapi ini adalah bola sepak kejohanan dan yang penting ialah kami mara ke pusingan seterusnya.
“Keputusan perlawanan lepas sudah kami lupakan, sebaliknya kami fokus untuk mempertingkat persembahan bagi perlawanan akan datang,” ujarnya.
Slovenia pula telah mengatasi jangkaan ramai dengan kejayaan mereka mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun pasukan pimpinan, Matjaž Kek, harus mula memenangi perlawanan untuk mara setelah hanya seri dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan C.
Kek berkata, anak buahnya harus melangkah ke padang dengan penuh keyakinan.
“Siapalah Slovenia berbanding Portugal, yang mempunyai pemain seperti (Cristiano) Ronaldo. Tetapi kami harus tampil dengan yakin yang kami mampu membuat kejutan,” ujar beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg