Portugal dan Turkey masing-masing mahu memastikan kelayakan ke pusingan kalah mati dengan tiga mata penuh apabila mereka bertemu di Stadium Signal Iduna Park pada 23 Jun (12 tengah malam waktu Singapura).
Portugal yang diterajui penyerang berusia 39 tahun, Cristiano Ronaldo, mengatasi Czech Republic 2-1 dalam perlawanan pembukaan hasil gol kemenangan, Francisco Conceicao, dalam masa kecederaan.
Jurulatih Portugal, Roberto Martínez, berkata pasukannya memang wajar menang dalam perlawanan tersebut meskipun akur mereka tidak seharusnya menanti sehingga saat-saat akhir untuk gol kemenangan.
“Kami perlu menyempurnakan peluang. Dalam perlawanan menentang Turkey, peluang jaringan akan menjadi lebih sukar, jadi kami harus lebih tajam di tenaga penggempur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Martinez menekankan kapten pasukan, Ronaldo, yang berdepan kritikan daripada sesetengah media Portugal, mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan kekal sebagai kapten berdasarkan merit.
“Tiada siapa pun yang mendapat tempat dalam pasukan negara berdasarkan reputasi. Cristiano telah menjaringkan 50 gol dalam 51 perlawanan bagi kelabnya dan menjaringkan sembilan gol bagi kami dalam perlawanan kelayakan,” tegas beliau.
Dengan Francisco bertindak cemerlang bagi Portugal dalam perlawanan pembukaan, pemain muda Turkey, yang diberi gelaran ‘Messi Turkey’, Arda Guler, turut menarik perhatian.
Bahkan golnya dalam kemenangan 3-1 menentang Georgia telah disenarai sebagai gol terbaik kejohanan.
Jurulatih pasukan, Vincenzo Montella, sekali lagi mengharapkan Guler dapat bertindak cemerlang.
Guler, 19 tahun, menjadi remaja ketiga untuk menjaringkan gol di kejohanan Euro selepas pemain Hungary, Ferenc Bene, pada 1964 dan Ronaldo pada 2004.
Pemain itu menyertai Real Madrid musim lalu dari kelab Turkey, Fenerbahce.
Setelah mengalami masalah kecederaan, beliau mengakhiri musim dengan lima gol dalam lima perlawanan liga dan menjadi pemain Turkey pertama yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah.
“Beliau jelas adalah bintang dan kami sekali lagi mengharapkan beliau menyerlah dalam perlawanan menentang Portugal.
“Namun, Turkey bukan hanya mengenai seorang pemain, kekuatan kami adalah sebagai sebuah pasukan,” ujar Montella.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg