Harga langganan untuk Premier League+, perkhidmatan penstriman langsung kepada peminat yang pertama diperkenalkan oleh Liga Perdana England (EPL), akan bermula serendah $16, menurut pengumuman liga bola sepak utama England itu pada 19 Mei.

EPL, dengan kerjasama rakan penyiar tempatan, StarHub, turut mengumumkan pilihan pelan langganan dan kadar harga bagi perkhidmatan tersebut yang bakal dilancarkan di Singapura bermula musim depan.

Tiga pilihan langganan fleksibel akan ditawarkan.

Antaranya ialah pas 24 jam berharga $16 yang memberikan akses penuh kepada semua siaran langsung dan kandungan tontonan semula sepanjang tempoh tersebut (tersedia untuk telefon bimbit dan komputer riba sahaja).

Selain itu terdapat pas bulanan pada harga $44 dengan akses berterusan serta pilihan untuk membatalkan langganan pada bila-bila masa, dan pas tahunan bernilai $399 yang menawarkan akses selama 12 bulan pada kadar yang lebih menjimatkan.

Ketika ini, pakej EPL menerusi StarHub berharga sekitar $40.74 sebulan. Bagi pelanggan Singtel TV yang menggunakan perkhidmatan ‘cross carriage’ pula, caj bulanannya ialah $69.90.

Dalam kenyataan medianya, EPL menyifatkan pelancaran ini sebagai satu langkah bersejarah kerana Premier League+ merupakan platform penstriman langsung kepada peminat pertama yang diperkenalkan liga itu di mana-mana negara.

Peminat di Singapura nanti boleh menyaksikan kesemua 380 perlawanan EPL, termasuk aksi Piala FA dan Perisai Masyarakat, menerusi aplikasi khas Premier League+ di telefon pintar, komputer riba dan televisyen.

Menurut StarHub, platform itu turut menawarkan pelbagai ciri tambahan seperti pilihan tontonan daripada pelbagai sudut kamera, paparan data masa nyata, sorotan eksklusif, siaran ulangan penuh, saluran 24/7 terbitan Premier League Studios serta penstriman sehingga resolusi 4K bagi peranti yang menyokongnya.

Syarikat telekomunikasi itu merupakan rakan penyiar rasmi jangka panjang EPL di Singapura menerusi perjanjian selama enam tahun.

StarHub turut memaklumkan bahawa pelanggan sedia ada mereka masih boleh menikmati siaran langsung EPL dan Piala FA melalui langganan semasa, selain mendapat akses kepada Premier League+ yang akan disepadukan ke dalam platform StarHub.

Ketua pegawai media EPL, Paul Molnar, berkata Premier League+ akan memberi lebih fleksibiliti kepada peminat dalam cara mereka menonton perlawanan, di samping ciri tambahan yang membawa mereka lebih dekat dengan aksi di padang, sambil melengkapi perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh rakan jangka panjang mereka, StarHub.

Premier League+ akan ditawarkan secara eksklusif di Singapura menerusi aplikasi rasmi Premier League, laman webnya, aplikasi Premier League+ pada televisyen pintar yang disokong serta kotak ‘set-top’ StarHub terpilih.

Peminat boleh mendaftar mulai 5 Ogos di pautan https://bh.sg/K2qc