Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Akuatik S’pura Mark Chay hidap leukemia, tak akan bertanding bagi penggal kedua

Jul 18, 2024 | 2:27 PM
Presiden Akuatik Singapura (SAQ), Mark Chay (kiri), yang tidak akan bertanding lagi bagi jawatan Presiden persatuan itu, bersama Setiausaha Agung SAQ, Kenneth Goh, calon baru Presiden.
Presiden Akuatik Singapura (SAQ), Mark Chay (kiri), yang tidak akan bertanding lagi bagi jawatan Presiden persatuan itu, bersama Setiausaha Agung SAQ, Kenneth Goh, calon baru Presiden. - Foto ST

Presiden Akuatik Singapura (SAQ), Mark Chay, disahkan menghidap leukemia mieloid kronik, iaitu sejenis barah sel darah putih.

Disebabkan penyakit itu, Chay tidak akan bertanding lagi bagi jawatan Presiden persatuan itu, apabila penggal dua tahunnya berakhir pada Ogos.

Bekas perenang negara berusia 42 tahun itu berkata:

“Pertimbangan pertama bagi keputusan saya ialah memberi tumpuan kepada penganjuran Kejohanan Akuatik Dunia 2025 bersama pengerusi bersama jawatankuasa penganjur (Ketua Majlis Sukan Singapura), Alan Goh.

“Yang kedua ialah kesihatan saya. Saya perlu menyusun semula keutamaan, memberi tumpuan untuk beransur sihat, dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Mengendali sebuah persatuan sukan nasional bukanlah mudah. Ia memerlukan banyak masa, tenaga, dedikasi, terutama bagi Akuatik Singapura – kami mempunyai lima sukan akuatik dan terdapat harapan tinggi setiap kali kami menyertai sukan utama.

“Dengan itu, jawatan presiden SAQ adalah komitmen sepenuh masa, dan saya tidak mempunyai (komitmen itu) sekarang,” ujarnya dalam temu bual bersama The Straits Times (ST).

Sebagai bekas atlet negara, Chay pernah bertanding dalam Sukan SEA, Asia, Commonwealth dan Olimpik.

Beliau dinobatkan sebagai Atlet Muda Terbaik pada 2001 dan Olahragawan Terbaik Singapura pada 2002.

Bagaimanapun, beliau kini menghadapi pertarungan terbesar dalam hidupnya, setelah disahkan menghidap penyakit barah selepas menjalani satu pemeriksaan tahunan pada Mac.

“Apabila anda menerima berita seperti ini, anda tidak tahu apa yang akan berlaku. Isteri saya ada bersama saya semasa saya mendapat laporan itu.

“Saya mendapatkan pandangan kedua dan berjumpa doktor pakar dan mereka mengesahkan (diagnosis) ini.

“Saya menghadiri banyak konsultasi, dan saya tidak tahu sama ada ubat kemoterapi oral akan berkesan atau tidak.

“Saya fikirkan dan bimbangkan keadaan terburuk. Saya tertanya sama ada saya telah melakukan secukupnya untuk mempersiapkan keluarga saya, terutama sekarang saya mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

“Secara fizikal, saya berasa lebih penat selepas rawatan, walaupun saya berasa lebih baik kini. Saya tidak fikir ia (penyakit ini) banyak menjejas saya...

“Sehingga saya berada dalam keadaan lebih stabil, keutamaan saya kini ialah berada di sisi keluarga,” tambah Chay.

Mesyuarat agung tahunan (AGM) SAQ dijangka diadakan selewat-lewatnya 30 September bagi memilih presiden seterusnya dan sembilan jawatan lain.

Secara kebetulan, topik peralihan kepimpinan telah dibincangkan dalam kalangan anggota jawatankuasa eksekutif SAQ pada Januari.

Penyakit Chay kini mempercepat pelaksanaan rancangan tersebut, kerana beliau menyokong Setiausaha Agung SAQ, Kenneth Goh, untuk mengambil alih jawatan Presiden, disebabkan “sikap yang baik, kebolehan dan pengalamannya”.

Goh, 46 tahun, yang juga seorang bekas pemegang rekod nasional bagi acara renang kuak dada 50 meter dan 100 meter, adalah pengarah akademik dan profesor madya di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Jika ada peluang dan anda berupaya berkhidmat, maka anda tampil. Saya sentiasa terlibat dalam pendidikan dan membangun bakat dalam pekerjaan harian saya.

“Berkhidmat dalam SAQ memberi saya peluang mencorak ekosistem bagi pembangunan bakat,” ujar Goh.

Saya perlu menyusun semula keutamaan, memberi tumpuan untuk beransur sihat, dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Mengendali sebuah persatuan sukan nasional bukanlah mudah. Ia memerlukan banyak masa, tenaga, dedikasi, terutama bagi Akuatik Singapura – kami mempunyai lima sukan akuatik dan terdapat harapan tinggi setiap kali kami menyertai sukan utama.
Mark Chay, Presiden Akuatik Singapura (SAQ).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg