Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden FAS lakar empat tumpuan jadikan bola sepak S’pura cemerlang

Forrest Li akur bola sepak merupakan sebahagian besar hidup warga
Aug 6, 2025 | 9:37 PM
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, Hariss Harun, Hari Media
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li (kanan), bersama naib presidennya, Hariss Harun, pada Hari Media FAS di hotel Shangri-La pada 6 Ogos. Li berkongsi keinginannya mengembalikan semangat bola sepak ke Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sudah 100 hari berlalu sejak Majlis Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pimpinan usahawan teknologi dan pemilik kelab Lion City Sailors (LCS), Forrest Li, dilantik untuk membimbing bola sepak Singapura.

Sejak mengambil alih kepimpinan FAS, Li berkata bahawa “tidak ada hari yang dibazirkan” dan beliau sedar bahawa bola sepak merupakan sebahagian besar daripada kehidupan warga Singapura.

“Tidak kira bangsa atau agama, kita semua peduli akan bola sepak Singapura. Bola sepak menjadi penghubung antara kita,” kata Li di Hari Media FAS di Shangri-La pada 6 Ogos.

Dalam ucapannya itu beliau mengetengahkan empat perkara utama yang diberikan tumpuan sejak pasukan beliau mengambil alih kepimpinan pada 28 April.

Empat perkara yang dikongsikan adalah pasukan kebangsaan, Liga Perdana Singapura, pembangunan belia dan prasarana.

Pasukan kebangsaan

Antara perkara yang diketengahkan adalah prestasi pasukan kebangsaan.

Bukan sahaja pretasi dari segi kemahiran dan kebolehan pemain diberi tumpuan, malah perkara seperti pendapatan juga mendapat perhatian.

Kenaikan bonus kemenangan, kelayakan dan lain-lain lagi juga dipertimbangkan agar pemain lebih terdorong untuk mencapai keputusan yang diinginkan.

Menurut timbalan presiden FAS, Desmond Ong, pendapatan yang ditawarkan sekitar tiga kali ganda lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan sebelum ini.

Selain itu, isu yang menjejas logistik juga dititikberatkan.

Menurut Li, beliau memastikan bahawa penerbangan pesawat yang dinaiki pasukan dan penginapan hotel yang selesa diberi perhatian agar pemain dapat berehat, supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan.

Pencarian dan pelantikan ketua jurulatih Singapura juga memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan pasukan kebangsaan Singapura.

Li menekankan bahawa majlisnya tidak akan hanya memilih jurulatih berdasarkan kelayakannya, tetapi berdasarkan keperibadiannya dan kesesuaiannya dengan pasukan Singapura.

“Jika perlu, saya akan temui sesiapa di mana jua, dan saya juga akan membawa mereka ke Singapura agar kami dapat kenali beliau dengan lebih mendalam lagi,” kata Li.

FAS juga mempunyai garis panduan untuk memilih jurulatih tersebut.

Antara yang utama adalah mempunyai pengalaman mengurus atau bermain di Asia, berpengalaman dalam mengurus pasukan kebangsaan serta fasih berbahasa Inggeris.

“Penyokong boleh menjangkakan bahawa jurulatih kebangsaan telah dipilih menyusuli proses pemilihan yang teliti dan rapi,” kata Ong, bekas pengerusi Tampines Rovers itu.

Beliau juga mengetengahkan dua perkataan Melayu ‘semangat’ dan ‘gotong-royong’ dalam visi beliau untuk pasukan kebangsaan Singapura.

Ong menekankan bahawa dari sudut pembangunan bola sepak, beliau sedar bahawa terdapat pihak yang mungkin mempunyai idea yang berbeza. Namun kesemua mereka inginkan kejayaan bagi bola sepak Singapura.

Lantas beliau memohon agar semua pihak mempunyai keberanian, kesabaran dan semangat gotong-royong untuk kembalikan kejayaan serta semangat bola sepak di Singapura.

Liga Perdana Singapura

Li berasakan bahawa prestasi SPL sedang meningkat, namun beliau akui bahawa masih banyak perkara yang perlu dipertingkatkan.

Antaranya adalah untuk meningkatkan prestasi SPL dengan suntikan mutu bakat asing, tanpa mengabaikan pembangunan para pemain tempatan.

Kini setiap pasukan boleh menurunkan tujuh pemain asing, sambil mengekalkan sekurang-kurangnya empat pemain tempatan bagi keseluruhan perlawanan.

Suntikan pemain asing yang bermutu juga disifatkan sebagai amat penting bagi mempertingkatkan mutu pemain tempatan.

“Bagi Lion City Sailors, kami mempunyai Anderson Lopez, penjaring gol terbanyak dalam Liga Jepun untuk dua musim berturut-turut, dan pemain pertahanan tempatan kami, Lionel Tan, akan menentang beliau setiap hari,” kata pemilik Sailors itu.

“Persaingan seharian sebegini yang diperlukan untuk mempertingkatkan prestasi pemain tempatan kami.”

Anggota majlis FAS, Bruce Liang, pula menekankan agar suntikan bakat asing ini dilaksana bagi kesemua pasukan SPL untuk memastikan liga tempatan kekal bersaing.

Beberapa wakil kelab SPL, yang turut hadir dalam acara tersebut, menyokong inisiatif tersebut.

Mereka menyatakan bahawa suntikan bakat asing telah mempertingkatkan saingan dalam pasukan mereka dan memastikan setiap pemain tidak terlalu selesa dan sentiasa bertarung untuk bermain.

Pembangunan belia

Naib Presiden FAS, Tan Li Yu, pula menekankan tentang bagaimana pembangunan belia penting untuk masa depan bola sepak Singapura.

Menurut beliau, di peringkat belia adalah di mana pemain diberikan ruang untuk memberi tumpuan kepada pembangunan individu, berbanding dengan pasukan senior yang lebih tertumpu kepada keputusan.

Beliau menekankan kepentingan menyediakan ekosistem yang menyokong pembangunan belia dengan berkesan.

Antara aspek yang diberikan tumpuan adalah mempertingkatkan kemahiran individu – bukan sahaja pemain, malah jurulatih dan juga kakitangan lain – serta memanfaatkan teknologi untuk mempertingkatkan pembelajaran serta pembangunan pemain muda.

Prasarana

Sementara itu Li menekankan kepentingan prasarana dalam menyediakan suasana yang sesuai demi pembangunan bola sepak Singapura.

“Kami tidak sekadar meminta peminat terus menyokong. Kami perlu meneliti diri sendiri, dan melihat sekiranya kami telah menyediakan suasana yang sesuai,” kata presiden FAS itu.

Antara yang menjadi keprihatinan adalah kurangnya padang bertaraf dunia.

Untuk menangani masalah itu, Li berkongsi bahawa terdapat beberapa stadium dan padang yang dibina atau dinaik taraf untuk membolehkan pertandingan bertaraf benua berlangsung di padang tersebut.

Dengan tumpuan kepada empat aspek ini, Li berharap bola sepak Singapura dapat kembali kepada era kegemilangan lalu.

“Saya ingin melihat bola sepak menjadi topik perbualan antara keluarga atau rakan di meja makan malam sekali lagi,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg