Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden FAS: Usaha cari ketua jurulatih pasukan nasional baru di tahap lanjut, akan diumumkan tidak lama lagi

Sep 20, 2025 | 5:29 PM
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Forrest Li, berkata prestasi pasukan nasional penting untuk menyemarak semangat dan mengembalikan kebanggaan terhadap bola sepak setempat.
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Forrest Li, berkata prestasi pasukan nasional penting untuk menyemarak semangat dan mengembalikan kebanggaan terhadap bola sepak setempat. - Foto FAS

Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Forrest Li berkata usaha mendapatkan ketua jurulatih baru pasukan lelaki nasional kini berada di tahap lanjut dan pihaknya akan mengumumkan kesudahannya dalam masa terdekat.

Namun, Li tidak mengulas lebih lanjut atau memberikan sebarang jangka masa berkenaan pengumuman tersebut.

Berita Minggu (BM) difahamkan senarai calon bagi jawatan jurulatih itu kini mempunyai lima nama, termasuk mantan penolong jurulatih kelab Liga Perdana England, Tottenham Hotpur, Nick Montgomery yang berada di Singapura pada Ogos lalu.

Jawatan ketua jurulatih pasukan lelaki nasional masih kosong sejak warga Jepun, Tsutomu Ogura meletak jawatan pada 24 Jun atas sebab peribadi.

Sejak itu, pasukan nasional dipimpin oleh mantan jurulatih kelab Liga Perdana Singapura, Tampines Rovers, iaitu Gavin Lee.

Namun kini, tiga bulan selepas pengumuman Ogura dan menjelang perlawanan penting kelayakan Piala Asia menentang India pada 9 Oktober, ketua jurulatih tetap masih belum diumumkan FAS.

Bercakap kepada media di Kongres Tahunan FAS ke-43 pada 20 September, Li menekankan peri penting kelayakan Piala Asia dan berkata prestasi skuad nasional sangat penting dalam usaha mengembalikan semangat dan kebanggaan terhadap bola sepak tempatan.

Menurut beliau, kelayakan Piala Asia boleh dianggap sebagai langkah besar ke arah mencapai matlamat tersebut.

“Ia akan menjadi satu detik bersejarah buat bola sepak Singapura sekiranya kita berjaya layak ke Piala Asia buat kali pertama,” kata Li, yang dilantik sebagai presiden FAS pada April 2025.

“Kami telah lihat beberapa tanda positif dalam persembahan pasukan ketika menentang Hong Kong dan Bangladesh.”

Ogura meninggalkan pasukan nasional yang bergelar Lions dalam keadaan baik.

Pasukan nasional kini mendahului Kumpulan C selepas menewaskan Bangladesh 1-2 di Stadium Negara Bangabandhu pada 10 Jun mengikat Hong Kong seri tanpa jaringan di Stadium Negara pada 25 Mac.

Di bawah kepimpinan Lee pula, pasukan nasional masih memburu kemenangan pertama.

Ia tewas 2-1 kepada Malaysia dan seri 1-1 semasa menentang Myanmar dalam dua perlawanan persahabatan pada awal September.

Selain bercakap mengenai skuad nasional, Li turut menyentuh mengenai pasukan bawah 23 tahun yang akan mewakili Singapura dalam temasya Sukan SEA di Thailand, Disember ini.

Beliau berkata pasukan tersebut sedang melalui fasa mencabar tetapi menekankan tempoh ini juga memberi pengalaman amat penting bagi pemain-pemain muda itu.

“Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, saya berasa bangga dengan semangat juang dan keazaman yang ditunjukkan para pemain,” kata Li.

“Kami akan terus membina asas yang kukuh, dan kami menantikan satu kempen yang positif di Thailand hujung tahun ini,” tambah beliau.

Pasukan bimbingan Firdaus Kassim, yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih pada Jun, hanya berjaya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan, iaitu ketika menewaskan Malaysia U-23 dalam perlawanan persahabatan pada 13 Ogos.

Ia mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam kempen kelayakan Piala Asia U-23 yang berlangsung di Vietnam pada awal September – 1-2 kepada Yaman; 0-1 kepada Vietnam dan 1-4 kepada Bangladesh.

Fokus pasukan kini beralih kepada Liga Perdana Singapura (SPL), dengan perlawanan pembukaan mereka menentang Balestier Khalsa dijadual berlangsung di Our Tampines Hub pada 21 September.

Dalam pada itu, anggota beberapa jawatankuasa kecil bagi penggal 2025-2029 turut dipilih di Kongres FAS ke-43 yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City itu.

Jawatankuasa Disiplin kini diketuai oleh Jason Chan sebagai pengerusi dan Eugene Thuraisingam sebagai Timbalan Pengerusi.

Anggota lain termasuk Nicholas Narayanan, Brandon Lim, Jeffrey Wong dan Leong Yi-Ming.

Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan oleh Abdul Salim Ahmed Ibrahim, manakala Vivienne Lim bertindak akan berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi.

Anggotanya termasuk Faizal Ashraf dan Sudhershen Hariram.

Jawatankuasa Etika pula diketuai oleh Siraj Omar sebagai Pengerusi, dibantu oleh Ong Siew Choo selaku Timbalan Pengerusi.

Anggota lain ialah Navindraram Naidu, Dinesh Natarajan, Nurul Nordin dan Joelle Tan.

Jawatankuasa Audit & Pematuhan diketuai oleh Samuel Panthradhil sebagai pengerusi, dengan Ng Cher Yan sebagai Timbalan Pengerusi.

Tan Kheng Lai turut dilantik sebagai anggota jawatan kuasa tersebut.

Jawatankuasa Pemilihan diterajui oleh Raymond Ng sebagai Pengerusi, manakala Krishna Sharma sebagai Timbalan Pengerusi, dengan Jason Aw sebagai anggotanya.

Jawatankuasa Rayuan Pemilihan pula diketuai oleh Michael Eu Hai Ming, dengan Low Jin Liang sebagai Timbalan Pengerusi dan Rajvant Kaur sebagai anggotanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg