NEWCASTLE: Kekalahan teruk 1-4 di tangan Newcastle adalah masalah terakhir yang pengurus Manchester United, Ruben Amorim, inginkan.
Beliau memutuskan untuk mngeluarkan penjaga gawang Andre Onana daripada kesebelasan utamanya untuk perlawanan menentang Newcastle pada 13 April.
Tetapi Amorim terpaksa menggigit jari apabila melihat pengganti Onana, Altay Bayindir, melepaskan empat jaringan dalam kekalahan mereka di St James Park.
Untuk memburukkan lagi keadaan, kesilapan Bayindir membolehkan Newcastle menjaringkan gol keempatnya.
Menjelang perlawanan kedua peringkat suku akhir Liga Europa yang penting menentang Lyon pada 18 April, United perlu bangkit cepat daripada kekalahan tersebut.
Namun, kini Amorim berdepan dengan keputusan besar yang bakal menentukan musim United - untuk mengekalkan Bayindir, ataupun memasukkan semula Onana dalam kesebelasan utamanya.
Memberikan ulasannya sebelum perlawanan itu, bekas kapten United, Roy Keane, berkata kesabaran Amorim dengan Onana semakin menipis.
“Onana telah melakukan beberapa kesilapan besar dan beliau dikeluarkan daripada kesebelasan utama, jadi itu keputusan yang besar bagi Amorim,” kata Keane.
Onana dikritik sekali lagi selepas beliau melakukan dua kesilapan besar dalam perlawanan United menentang Lyon yang berkesudahan seri 2-2 pada 11 April.
Sejak permulaan musim lepas, Onana telah melakukan lapan kesilapan yang menyebabkan gol dalam semua pertandingan – jumlah paling banyak berbanding mana-mana penjaga gol yang bermain untuk kelab Liga Perdana England (EPL).
“Ia merupakan pengurusan pemain yang baik jika Amorim berkata dengan Onana, ‘kamu masih pilihan nombor satu saya, tetapi prestasi kamu bukan di tahap yang saya inginkan, jadi saya akan keluarkan kamu untuk beberapa perlawanan’,” kata bekas penjaga gawang England, Paul Robinson, kepada media.
Bayindir, yang ditandatangani daripada Fenerbahce pada 2023 dengan bayaran perpindahan sebanyak £4.3 juta ($7.4 juta) telah lama menantikan permulaan pertamanya di EPL.
Namun, penjaga gawang berusia 26 tahun itu tidak memanfaatkan peluangnya beraksi dengan baik apabila melepaskan empat daripada enam percubaan Newcastle yang tepat ke sasaran. Daripada 57 hantaran yang dibuatnya, hanya 27 menemui sasaran.
Kesilapan Bayindir yang paling besar adalah pada minit ke-77, apabila hantaran lemahnya dipintas Joelinton di luar kotak penalti bagi membolehkan Bruno Guimaraes menjaringkan gol keempat Newcastle.
Walaupun jaringan tersebut sekadar menyempurnakan kemenangan Newcastle, ia mungkin menjawab persoalan mengapa Amorim masih mengekalkan Onana sebagai penjaga gawang utama walaupun beliau telah melakukan begitu banyak kesilapan.
Selepas perlawanan tersebut, Amorim menekankan pentingnya United bangkit daripada kekalahan itu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan peringkat suku akhir Liga Europa menentang Lyon.
Ia merupakan perlawanan terpenting bagi Amorim sejak beliau mengambil alih tugas sebagai pengurus United pada November 2024.
Ini kerana kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan bergantung pada kemampuan pasukannya memenangi Liga Europa musim ini.
Namun, Amorim tidak mendedahkan sama ada beliau akan memanggil semula Onana sebagai pilihan utama.
“Anda perlu tunggu, dan kami akan memulakan proses pemilihan minggu depan,” kata Amorim.
“Saya akan memilih kesebelasan pertama yang terbaik untuk perlawanan seterusnya.” – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg