PSG mara ke pusingan 16 terakhir walaupun seri dengan Monaco
PSG mara ke pusingan 16 terakhir walaupun seri dengan Monaco
Monaco terlebih dahulu buka jaringan namun perlawanan berubah jelang sejam permainan
PARIS: Juara bertahan, Paris St-Germain (PSG), seri 2-2 dengan Monaco pada 25 Februari namun berjaya mengetepikan pasukan itu untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan agregat 5-4.
Dalam perlawanan kedua penentuan, Monaco terlebih dahulu membuka jaringan sejurus sebelum waktu rehat apabila Mamadou Coulibaly menghantar bola kepada Maghnes Akliouche, yang menyudahkannya dengan rembatan sentuhan pertama ke penjuru bawah gawang selepas bola terkena tiang dan lantas melantun masuk.
Perlawanan berubah menjelang sejam permainan apabila Coulibaly dilayangkan kad merah menyusuli terjahan ke atas Achraf Hakimi.
Beliau sebelum itu sudah pun menerima kad kuning tiga minit sebelumnya.
PSG pantas menyamakan kedudukan apabila Marquinhos menyempurnakan hantaran lintang rendah Desire Doue dengan satu sentuhan mudah di depan pintu gawang.
Pemain sayap dari Georgia, Khvicha Kvaratskhelia, kemudian menjaringkan gol buat PSG pada minit ke-66 apabila beliau menyambar masuk bola dari jarak dekat selepas rembatan rendah Hakimi ditepis oleh penjaga gol Monaco, Philipp Kohn, dan masuk tepat ke laluannya.
Pada masa kecederaan, Jordan Teze menjaringkan gol namun ia sekadar gol sagu hati buat Monaco.
PSG akan berdepan sama ada Chelsea atau Barcelona pada pusingan seterusnya, dan akan menemui lawan mereka dalam undian kalah mati pada 27 Februari.
PSG pernah menewaskan Barcelona 2-1 di tempat lawan pada fasa liga Oktober 2025 dan sudah bertemu kelab Catalan itu dalam lima aksi kalah mati sejak 2013.
Pasukan itu juga telah menentang Chelsea pada final Piala Dunia Kelab pada 2025 namun tewas 0-3, satu-satunya kekalahan dalam kempen hebat mereka.
PSG sememangnya dijangka mampu mengatasi pencabar domestik itu – Monaco kini di tangga kelapan Ligue 1, ketinggalan 20 mata di belakang mereka walaupun pernah menewaskan kelab Paris itu pada November 2025.
Monaco juga tidak pernah memenangi aksi kalah mati Liga Juara-Juara sejak mara ke separuh akhir pada 2017 dengan skuad tersebut ketika itu menampilkan Kylian Mbappe sebagai pemain remaja. – Agensi berita.

