Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSG ranapkan impian Arsenal, bakal berdepan Inter di final

Anak didik Arteta gagal bangkit, dihalang kecemerlangan penjaga gol Donnarumma
May 8, 2025 | 3:27 PM
Paris Saint-Germain, PSG, Luis Enrique, Arsenal, Mikel Arteta
Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) Luis Enrique (kiri), memuji pemainnya manakala jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, kelihatan marah semasa perlawanan peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Arsenal menentang PSG pada 7 Mei. Arteta percaya walaupun kalah dan telah disingkirkan, pasukannya merupakan pasukan terbaik dalam pertandingan itu. - Foto AFP

PARIS: Arsenal gagal mara ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas kepada Paris St-Germain (PSG) 2-1 dalam perlawanan penuh drama di Parc des Princes pada 7 Mei.

Usaha Arsenal untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 dalam perlawanan pertama tidak kesampaian akibat satu lagi persembahan cemerlang daripada penjaga gawang PSG, Gianluigi Donnarumma.

Penjaga gol asal Italy itu, yang menyerlah di Emirates dalam pertemuan pertama seminggu lalu, kekal menjadi ‘tembok’ kuat yang tidak boleh dibolosi Arsenal dengan menyelamatkan gawangnya dengan aksi hebat.

Prestasinya mendapat pujian daripada jurulatih Arsenal, Mikel Arteta.

“Apabila kita lihat kededua perlawanan, pemain terbaik mereka adalah penjaga gawang mereka... beliaulah yang benar-benar menunjukkan kesan besar dalam pertembungan ini,” kata Arteta selepas perlawanan itu.

Donnarumma menghalang percubaan, Gabriel Martinelli, sebelum merebahkan badannya untuk menampar bola keluar hasil rembatan kencang, Martin Odegaard, ketika PSG terpaksa bertahan menangkis serangan demi serangan Arsenal pada babak awal permainan.

PSG kemudian merebut peluang mendahului perlawanan apabila rembatan, Fabian Ruiz, terkena pemain Arsenal dan berjaya melepasi, David Raya, pada minit ke-27.

Perlawanan yang mendebarkan itu menyaksikan Donnarumma sekali lagi menyelamatkan percubaan, Bukayo Saka, manakala Raya pula menepis penalti lemah Vitinha selepas Myles Lewis-Skelly didapati menyentuh bola dengan tangannya di dalam kotak penalti.

Kesilapan Thomas Partey pula memberikan peluang kepada Achraf Hakimi untuk menjaringkan gol kedua PSG pada minit ke-72.

Saka akhirnya berjaya melepasi Donnarumma dengan satu rembatan tajam empat minit kemudian, namun itu tidak cukup untuk membangkitkan Arsenal.

PSG kini bakal berdepan Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara di Munich.

Arsenal gagal memanfaatkan penguasaan awal mereka untuk menjaringkan gol dan akhirnya mereka terperangkap dengan ancaman serangan balas pasukan kendalian Luis Enrique.

Khvicha Kvaratskhelia hampir menjaringkan gol apabila rembatannya terkena tiang, manakala Bradley Barcola memaksa Raya melakukan satu aksi hebat untuk menghalang jaringan PSG sebelum Ruiz berjaya membuka tirai perlawanan.

Pemain Arsenal jelas kecewa apabila wisel penamat ditiup, sementara Parc des Princes bergema dengan sorakan kegembiraan penyokong tuan rumah.

Kapten Arsenal, Martin Odegaard (kanan), dan rakannya Thomas Partey jelas kecewa di akhir kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard (kanan), dan rakannya Thomas Partey jelas kecewa di akhir kekalahan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara. - Foto AFP

Donnarumma, dengan namanya dilaungkan seluruh stadium, menjadi wira utama malam itu – sama pentingnya dengan jentera serangan PSG dalam perjalanan mereka ke Munich.

Terdapat spekulasi sebelum ini bahawa prestasi tidak menentu Donnarumma musim ini akan menyebabkan beliau digugurkan daripada kesebelasan utama Enrique, tetapi jurulatih Sepanyol itu kekal yakin dengan pilihannya.

Keyakinan itu dibalas dengan prestasi cemerlang Donnarumma, termasuk ketika penentuan sepakan penalti di Anfield, persembahan hebat di Villa Park, serta dua aksi hebat menentang Arsenal.

PSG kini layak berada di peringkat akhir, dan berazam untuk membawa pulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Kali terakhir PSG ke final, mereka tewas kepada Bayern Munich pada 2020, namun skuad kendalian Enrique telah banyak berubah, daripada dipenuhi bintang bola sepak seperti Neymar, Messi dan Mbappe, kepada pasukan yang lebih seimbang dan berdisiplin.

Enrique mengaitkan perubahan prestasi pasukan dengan usaha harian dan suasana latihan yang lebih sengit.

“Pada tahun pertama, kami hasilkan persembahan yang baik tetapi ia masih belum mencukupi.

“Saya beritahu mereka, jika saya tak nampak perubahan dari segi mentaliti dalam setiap sesi latihan, saya akan pergi.

“Tahun ini (2025), setiap sesi latihan berada pada tahap tertinggi... sikap yang dipamerkan para pemain memang luar biasa sekali,” kata Enrique.

Pemain muda seperti Kvaratskhelia, Ousmane Dembele dan Desire Doue kini bersedia untuk menyerlah di final Liga Juara-Juara, yang pastinya dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak juga selepas kemenangan dramatik Inter ke atas Barcelona. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg