LONDON: Paris St-Germain telah mengemukakan tawaran muktamad £42.8 juta ($72.8 juta) untuk membeli Rasmus Hojlund dari Atalanta.
Pemain itu, yang berasal dari Denmark, turut diburu kelab Liga Perdana England (EPL) Manchester United dan telah dijadikan sasaran utama oleh pengurus Erik ten Hag demi memperkukuh barisan depan pasukannya yang tumpul.
Ten Hag, difahami terdesak untuk membeli pemain berusia 20 tahun itu dan ingin mendapatkan khidmatnya sebelum ia membuka tirai EPL dalam pertemuan dengan Wolverhampton Rovers di Old Trafford pada 14 Ogos.
Namun, pemerhati bola sepak berkata tawaran yang dikemukakan PSG yang beraksi dalam Liga Satu Perancis telah merumitkan keadaan bagi ten Hag.
PSG juga bakal menjadi terdesak untuk mendapatkan khidmat pemain barisan depan jika bintang Perancis, Kylian Mbappe meninggalkan kelab itu.
Pemain tersebut, yang membantu Perancis mara ke final Piala Dunia di Qatar, telah mengumumkan hasratnya untuk tidak memperbarui kontrak yang berbaki semusim di PSG.
Tindakannya itu telah menarik minat beberapa kelab untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk kelab Liga Profesional Saudi, Al Hilal yang mengemukakan tawaran £259 juta yang merupakan satu rekod dunia.
Namun, media di Eropah berkata Mbappe enggan memulakan rundingan dengan wakil Al Hilal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg