CONAKRY (Guinea): Sekurang-kurangnya 56 terkorban dalam kejadian rempuhan semasa perlawanan bola sepak yang diadakan untuk menghormati ketua junta Guinea.
Pihak pemerintah menyatakan demikian pada 2 Disember sedang pihak pembangkang menuduh pihak berkuasa yang dipimpin tentera sebagai “bertanggungjawab secara langsung” terhadap tragedi itu.
Penyokong perlawanan bola sepak pada 1 Disember di bandar N’zerekore merempuh padang selepas keputusan pengadil melayangkan kad merah dan memberikan penalti kepada pihak lawan pada penghujung permainan, kata saksi.
Peristiwa itu pada mulanya dilaporkan sebagai pergaduhan antara peminat.
Pegawai pemerintah yang menyaksikan perlawanan, termasuk dua menteri, dihalang daripada beredar, menyebabkan berlakunya balingan batu dan tembakan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan, kata seorang saksi yang enggan namanya disiarkan.
“Keadaan panik berlaku, lalu terjadi rempuhan yang tidak terkawal,” katanya.
“Orang ramai terpijak atau tercedera ketika mereka ingin melarikan diri,” tambah beliau.
Perlawanan di bandar tenggara itu adalah perlawanan akhir kejohanan yang dianjurkan untuk menghormati ketua junta Guinea, Jeneral Mamady Doumbouya, yang merampas kuasa dalam kudeta pada 2021 dan melantik dirinya sebagai presiden.
Pihak pembangkang menuduh junta menggunakan sukan untuk tujuan politik.
Video yang tersebar di media sosial, walaupun tidak dapat disahkan oleh pihak agensi berita, AFP dengan segera, menunjukkan orang ramai berkerumun di stadium usang itu.
“Ribuan orang di stadium itu panik dan ketakutan. Masing-masing menjaga diri sendiri,” kata seorang pegawai tempatan yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Bantahan tidak puas hati terhadap keputusan pengadil membawa kepada kejadian membaling batu oleh penyokong, mengakibatkan rempuhan maut,” kata pihak pemerintah dalam satu kenyataan yang dibacakan di televisyen nasional.
“Perkhidmatan hospital meletakkan angka kematian sekitar 56, dengan beberapa lain yang cedera,” tambahnya, yang turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu “peristiwa tragik”.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara, dengan orang ramai memanjat kawasan yang kelihatan seperti dinding stadium untuk melarikan diri. Ia juga menunjukkan banyak tubuh bergelimpangan.
Doktor beritahu AFP pada 1 Disember bahawa puluhan orang telah meninggal dunia.
Akses kepada maklumat yang sah di bahagian terpencil negara Afrika Barat itu amat terhad.
Media tempatan melaporkan bahawa wad hospital dan bilik mayat penuh dengan mangsa yang cedera dan maut.
“Pemerintah sedang melakukan segala tindak balas yang mungkin terhadap peristiwa tragik ini,” kata Jeneral Doumbouya dalam satu kenyataan di media sosial.
“Misi kecemasan yang diketuai oleh perdana menteri telah dihantar,” katanya.
Beliau berkata satu suruhanjaya siasatan akan ditubuhkan “untuk menyiasat punca tragedi dan untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab”.
Ketua junta menyeru agar negara Afrika Barat itu – yang mempunyai sejarah politik yang bergolak dan terus miskin walaupun terdapat sumber semula jadi yang banyak – supaya bertenang.
Tindakan keras terhadap perhimpunan pembangkang di sebuah stadium di ibu negara Conakry menyebabkan sekurang-kurangnya 156 orang terbunuh pada 2009, menurut suruhanjaya siasatan antarabangsa yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kejohanan bola sepak sebegitu dan perhimpunan awam lain menjadi perkara biasa di Guinea dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dalam apa yang dilihat secara meluas sebagai kempen untuk mempromosikan pencalonan Jeneral Doumbouya dalam pilihan raya presiden akan datang.
Pihak tentera merampas kuasa melalui kudeta pada September 2021 dengan menyingkirkan Presiden Alpha Conde.
Di bawah tekanan antarabangsa, junta berjanji akan menyerahkan semula kuasa kepada pemerintah awam menjelang akhir 2024 tetapi sejak itu menjelaskan ia tidak akan melakukannya.
Beberapa pembantu Jeneral Doumbouya baru-baru ini menyatakan sokongan mereka terhadap kemungkinan usahanya untuk dipilih sebagai Presiden.
Salah satu suara pembangkang terakhir yang masih ada di Guinea, Barisan Nasional untuk Pertahanan Perlembagaan (FNDC), menerbitkan satu kenyataan melahirkan “kemarahan” mereka terhadap tragedi di N’Zerekore.
Ia menganggap ketua junta dan pemerintahnya “bertanggungjawab secara langsung atas bencana itu, yang mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah, termasuk ramai kanak-kanak”.
“Ini menunjukkan penggunaan sinis sukan oleh junta, mengeksploitasikan imej mobilisasi untuk tujuan politik,” tambah kenyataan itu.
Mantan presiden Conde meluahkan rasa “sedih yang mendalam dan kemarahan yang tidak terhingga” dalam hantaran di media sosial.
“Dalam konteks negara yang sudah ditandai dengan ketegangan dan sekatan, tragedi ini menonjolkan bahaya organisasi yang tidak bertanggungjawab dan kekurangan persediaan yang mencukupi,” katanya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg