Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puteri bola sepak Afghanistan mahu terus perjuang hak pasukan

Jul 31, 2023 | 5:30 AM
MASIH BERSEMANGAT: Pasukan bola sepak wanita Afghanistan baru-baru ini telah menyertai Piala Hope yang diadakan di Melbourne. Hampir kesemua pemain wanita itu merupakan pelarian Afghanistan yang kini menetap di Australia.
MASIH BERSEMANGAT: Pasukan bola sepak wanita Afghanistan baru-baru ini telah menyertai Piala Hope yang diadakan di Melbourne. Hampir kesemua pemain wanita itu merupakan pelarian Afghanistan yang kini menetap di Australia. - Foto TANGKAP LAYAR PEJABAT PESURUHJAYA TINGGI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BAGI PELARIAN (UNHCR)

MELBOURNE: Bukan sekadar peralatan bola sepak tetapi suara para pemain yang galak berceloteh mengisi ruang bilik persalinan di kemudahan CB Smith Reserve yang terletak di utara Melbourne, Australia.

Terdapat beberapa pemain yang sedang melakukan pemeriksaan but atau kasut bola mereka di saat akhir, ada juga yang sedang memakai pelapik bahagian tulang kering mereka.

Di satu sudut pula, seorang pemain sedang membetulkan rambutnya manakala si penjaga gawang sedang membetulkan sarung tangannya.

Sekali pandang, suasana itu kelihatan seperti bilik persalinan sebuah pasukan bola sepak biasa sebelum perlawanan.

Namun sebenarnya, hampir kesemua pemain wanita dalam bilik persalinan itu mungkin tidak akan dapat bermain bola jika mereka tidak meninggalkan negara asal mereka hampir dua tahun lalu.

Melihat sekeliling, segala-galanya tentang wanita-wanita ini – jersi merah mereka, gaya rambut mereka, malah jenaka dan ketawa mereka – sudah cukup untuk membuat mereka menerima hukuman berat atau dibunuh sekiranya mereka terus menetap di Afghanistan.

Seperti ratusan ribu rakyat Afghanistan, ahli pasukan bola sepak kebangsaan wanita negara itu cuba melarikan diri selepas ibu kota Kabul dikuasai semula oleh Taleban.

Pasukan dan kakitangan pasukan bola sepak itu akhirnya dihantar ke Australia pada Ogos 2021.

Mereka kini selamat di Melbourne dan baru-baru ini telah mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan pertama mereka sejak tiba di Australia.

Mereka beraksi dalam Piala Hope, yang diadakan buat julung-julung kalinya menentang pasukan Football Empowerment yang mewakili masyarakat pelarian dan pendatang Melbourne.

Sebelum perlawanan bermula, salah seorang pemain, Mursal Sadat berkata, beliau dan rakan sepasukannya masih tidak dapat berhenti bersedih dan perlu menerima kenyataan bahawa masih terdapat jutaan wanita Afghanistan yang nasibnya tidak sebaik mereka.

“Saya perlu menjadi suara wanita yang masih di Afghanistan,” tegasnya.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk menjadi wakil wanita yang masih berada di negara asal saya – mereka yang tidak boleh belajar, mereka yang tidak boleh bekerja atau bermain bola sepak atau melakukan apa-apa. Saya kini bermain untuk mereka.”

Berjalan melangkah masuk ke padang bersama rakan sepasukannya, Sadat menangis ketika lagu kebangsaan Afghanistan dimainkan.

Namun sebaik wisel ditiup, segala tumpuan diberikan kepada perlawanan tersebut. Penyerang pasukan, Nilab Mohammadi, berjaya membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama.

“Saya pernah bekerja dalam tentera ketika masih di Afghanistan,” kata Mohammadi.

“Saya tidak akan lupa detik apabila Taleban datang. Saya membuang segala pakaian seragam dan kit bola sepak saya. Sekarang pun, apabila saya tidur saya masih bermimpi tentangnya.

“Perlawanan ini kami anggap sebagai perlawanan untuk kebebasan di Afghanistan.”

Melihat Mohammadi meraikan jaringan beliau bersama rakan sepasukannya, jelas ia lebih daripada bola sepak bagi mereka.

“Ia satu perkara yang menyentuh hati saya,” kata Khalida Popal, bekas kapten Afghanistan yang kini menetap di Denmark.

Apabila Taleban berjaya menggulingkan kerajaan dan mengambil alih, Popal bekerja keras untuk memindahkan semua rakan dan kakitangan pasukannya.

Sebagai pengarah pasukan, beliau telah kembali untuk mempromosikan perlawanan itu serta menyaksikan rakan-rakannya beraksi sekali lagi.

“Semua wanita ini banyak berkorban untuk bermain dalam pasukan kebangsaan dan dapat mewakili Afghanistan.

“Malangnya mereka bukan sahaja kehilangan hak untuk mewakili negara malah tempat tinggal mereka sendiri,” kata Popal.

Selain melarang remaja perempuan dan wanita mendapatkan ilmu di sekolah dan universiti, Taleban juga telah melarang semua sukan wanita.

Ini bermakna pasukan Afghanistan tidak diiktiraf secara rasmi oleh negara mereka atau Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

“Saya sangat sedih. Saya menjangkakan badan induk bola sepak itu dapat membantu,” kata Popal.

“(Fifa perlu) berdiri bersama wanita ini. Kami mahu kepimpinan – kami memerlukan suara yang kuat untuk berdiri bersama kami. Jangan berdiam diri.”

Dalam satu kenyataan, Fifa menjawab: “Pemilihan pemain dan pasukan yang mewakili ahli persatuan dianggap sebagai urusan dalaman mereka.

“Oleh itu, Fifa tidak mempunyai hak untuk mengiktiraf mana-mana pasukan secara rasmi melainkan ia diiktiraf terlebih dahulu oleh persatuan berkenaan.”

Ia menambah: “Memastikan akses kepada bola sepak untuk kedua-dua pemain wanita dan lelaki tanpa diskriminasi dan dalam keadaan yang selamat menjadi keutamaan utama bagi Fifa.

“Justeru, Fifa akan terus memantau keadaan dan terus berhubung rapat dengan Persekutuan Bola Sepak Afghanistan dan pihak berkepentingan lain dengan tujuan untuk mempromosikan akses kepada bola sepak di Afghanistan.

“Fifa juga telah menyokong pemindahan lebih 150 ahli sukan Afghanistan dan pembela hak asasi manusia yang berisiko pada November 2021 dan akan meneruskan sokongannya kepada kumpulan ini.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg