Selepas mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia, srikandi tenis Britain, Emma Raducanu, berharap dapat membina semangat positif dan membawanya hingga ke Terbuka Tenis Singapura (STO) yang berlangsung dari 27 Januari hingga 2 Februari.
Raducanu, yang tewas kepada pemain nombor dua dunia, Iga Swiatek, di peringkat awal di Melbourne Park, dijadualkan menentang pemain Sepanyol yang berada di kedudukan ke-110 dunia, Cristina Bucsa, pada pusingan pertama acara Persatuan Tenis Wanita (WTA) 250 yang menawarkan hadiah wang AS$275,000 ($370,000) di Hab Tenis Kallang, lapor The Straits Times.
Bercakap di majlis sambutan di Hilton Orchard pada 26 Januari, Raducanu, yang dijangka melompat ke tangga ke-56 dunia selepas prestasinya di Grand Slam pertama 2025 itu, berkata:
“Ini adalah minggu yang baik untuk membina semangat selepas Terbuka Australia, dan saya rasa saya telah memulakan tahun ini dengan langkah positif.
“Bagi saya sekarang, yang penting adalah terus beraksi di gelanggang latihan dan gelanggang pertarungan sebanyak mungkin.
“Kesihatan adalah satu keistimewaan besar bagi saya ketika ini. Pada penghujung 2024, saya mengalami kekejangan di belakang badan selepas latihan pramusim, yang memaksa saya berehat selama empat minggu.
“Keadaan itu bukanlah permulaan musim yang paling sesuai, tetapi saya sangat gembira dengan cara pasukan saya dan saya mengatasi situasi tersebut, dan berjaya mencatat prestasi positif di Melbourne.”
Walaupun STO diadakan dalam dewan tertutup, pemain berusia 22 tahun tersebut masih dapat merasakan kesan kelembapan cuaca di Singapura.
“Suasana di Melbourne agak meriah, tetapi bermain tenis dalam dewan tertutup mempunyai keunikannya tersendiri.
“Jadi, saya rasa amat penting untuk bersikap agresif dan mengawal mata daripada awal di sini, dan saya akan cuba sedaya-upaya untuk melakukannya,” kata Raducanu, yang juga merupakan juara Grand Slam di Terbuka Amerika Syarikat pada 2021.
Menurutnya, cuaca di Singapura juga sangat lembap berbanding Australia, yang jauh lebih kering.
“Jadi, saya rasa menyesuaikan diri dengan keadaan ini agak mencabar. Walaupun bermain di dalam ruang tertutup bermakna kita tidak terdedah kepada panas terik, badan kita tetap dapat merasakan beberapa kesan,” tambahnya.
Kini, Raducanu sedang mencari jurulatih sepenuh masa yang ketujuh dalam kerjayanya selepas Nick Cavaday, yang telah bekerjasama dengannya selama kira-kira setahun, mengundurkan diri untuk “memberi keutamaan kepada kesihatan dirinya”.
Jika Raducanu dan pemain nombor 16 dunia, Anna Kalinskaya, memenangi pertarungan masing-masing dalam dua pusingan pertama, mereka dijangka bertemu di suku akhir.
Kalinskaya, 26 tahun, menarik diri daripada Terbuka Australia pada saat akhir akibat sakit sebelum dijadualkan berdepan pemain Australia Kimberly Birrell dalam pusingan pertama di Terbuka Australia yang berakhir baru-baru ini.
Mengulas mengenai Terbuka Singapura, Kalinskaya, yang diletakkan sebagai pemain pilihan utama yang akan mula beraksi menentang Caroline Dolehide dari Amerika Syarikat yang berada di kedudukan ke-83 dunia di pusingan pertama, berkata:
“Saya sangat teruja dan amat kagum dengan penganjuran dan kemudahan di sini.
“Tidak banyak kejohanan yang diadakan dalam dewan tertutup, tetapi ini nampaknya permulaan yang sangat baik, dan saya tidak sabar mahu beraksi.”
Apabila ditanya jika hubungannya dengan pemain nombor satu dunia lelaki, Jannik Sinner, yang mengalahkan Alexander Zverev untuk mempertahankan gelaran Terbuka Australia pada 26 Januari, memberi tekanan kepadanya sebagai pasangan berpengaruh dalam tenis, Kalinskaya berkata:
“Tidak sama sekali. Saya tidak rasa apa-apa tekanan, ia tidak merubah apa-apa.”
Dalam ucapan pembukaannya di majlis sambutan rasmi, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkata menjadi tuan rumah bagi kejohanan yang melibatkan pemain handalan dalam Jelajah WTA adalah “satu keistimewaan besar” bagi Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg