BASTAD (Sweden): Rafael Nadal berkata beliau bermain di bawah tahap yang seharusnya menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, selepas tewas dalam final Terbuka Sweden pada 21 Julai.
Pemain tenis Sepanyol berusia 38 tahun itu tewas tiga set berturut-turut kepada warga Portugis, Nuno Borges, dalam final pertamanya sejak memenangi Terbuka Perancis pada 2022.
Nadal kini mengalihkan tumpuannya pada Paris 2024, apabila beliau memburu pingat emas Olimpik ketiganya.
“Tahap permainan saya begitu jauh daripada yang sepatutnya. Tenaga pun begitu juga,” kata Nadal.
“Minggu ini begitu panjang... dan setiap perlawanan juga berlarutan lama. Adalah penting tubuh saya tidak cedera... tetapi dari segi mental dan fizikal, saya tidak biasa bermain empat hari berturut-turut dan dalam perlawanan panjang.”
Ia adalah kali pertama Nadal bermain sejak tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis.
Beliau tidak beraksi di Wimbledon – gelanggang rumput – untuk memberi tumpuan pada Terbuka Sweden, yang berjalan di gelanggang tanah liat.
Pertandingan tenis di Olimpik akan dijalankan di gelanggang tanah liat Roland Garros, tempat beliau memenangi 14 daripada 22 trofi Grand Slam sepanjang kerjayanya.
Di Paris, Nadal dijangka memburu pingat emas perseorangan lelaki kedua selepas memenangi acara itu di Olimpik Beijing 2008.
Beliau juga memenangi pingat emas beregu lelaki di Rio pada 2016.
Selain beraksi dalam acara perseorangan di Paris, Nadal akan bergandingan dengan, Carlos Alcaraz, dalam acara beregu.
Alcaraz ialah juara Terbuka Perancis dan Wimbledon.
Mengulas mengenai kelakonannya di Terbuka Sweden, Nadal berkata:
“Saya melangkah ke final... itu satu perkembangan positif. Saya juga mengelakkan sebarang kecederaan walaupun bermain dalam perlawanan yang berpanjangan.”
Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya bermain dalam enam pertandingan sepanjang 2024 akibat kecederaan. Beliau kini menduduki ranking ke-261.
“Sebenarnya, saya kecewa dengan prestasi saya di gelanggang pertandingan kerana saya beraksi lebih baik semasa latihan. Itu membuat buat saya rasa terkilan.”
“Saya tiba di Sweden dengan keyakinan saya sedang bermain pada tahap yang baik tetapi saya gagal menunjukkan prestasi itu sepanjang minggu. Tentu sekali saya kurang puas hati.
“Tapi saya tidak boleh terlalu kecewa kerana saya melangkah ke final selepas sekian lama tidak berbuat demikian.
“Tetapi saya tidak dapat berasa diri saya cukup selesa sepanjang minggu untuk berpuas hati dengan permainan tenis saya sepanjang minggu,” tambahnya. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg