ANFIELD: Jika Liverpool berjaya menjadi juara Liga Perdana England (EPL) musim ini, ramai pihak yang patut mendapat penghargaan.
Pengurus mereka, Arne Slot, layak menerima kebanyakan pujian atas pencapaian hebatnya di Liverpool sejak tiba daripada Feyenoord pada 1 Jun 2024.
Namun, mereka yang beraksi di bahagian operasi Liverpool – terutama dalam jabatan perubatan – turut layak mendapat pujian.
Liverpool baru sahaja mengakhiri antara tempoh paling padat musim ini.
Dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United pada 27 Februari, ia merupakan perlawanan kelima mereka dalam 15 hari.
Namun, mereka tetap dapat memastikan barisan pemain utama tidak mengalami kecederaan, dengan hanya pemain pertahanan, Conor Bradley dan Joe Gomez, serta pemain tengah, Tyler Morton, tidak dapat bermain dalam perlawanan menentang Newcastle itu.
Mengambil kira jadual perlawanan Liverpool yang padat, kebolehan mereka mengekalkan jumlah pemain yang bebas daripada kecederaan cukup mengagumkan.
Berbanding dengan pesaing Liverpool yang lain, termasuk Arsenal, yang menduduki tangga kedua EPL, semuanya mengalami jumlah kecederaan yang jauh lebih teruk.
Namun adakah ia hanya kerana pasukan kendalian Slot bernasib baik? Ataupun ada sebab di sebalik rekod mengagumkan mereka?
Pada akhir Februari 2024, Liverpool terpaksa bermain tanpa beberapa pemain utama.
Pasukan bimbingan Jurgen Klopp pada masa itu terpaksa bermain tanpa sembilan pemain utama – termasuk Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Dominik Szoboszlai dan Salah – dan pasukan itu terpaksa bergantung kepada pemain akademi untuk mengisi kekosongan tersebut.
Walaupun ramai meramalkan pasukan itu mendapat empat trofi utama pada musim lalu, akhirnya Liverpool merosot dan menamatkan musim EPL di tangga ketiga.
Mereka turut disingkirkan daripada Liga Eropah dan Piala FA pada peringkat suku akhir.
Liverpool kehilangan 21 pemain ekoran kecederaan semasa kempen itu, dengan hanya Tottenham Hotspur yang kehilangan lebih pemain (22 pemain).
Secara keseluruhan, 21 pemain itu terlepas 1,383 hari pada musim lalu, jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding dengan juara bertahan Manchester City (672) dan pasukan tempat kedua musim itu, Arsenal (898).
Apabila pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, memulakan pencarian pengganti Klopp, rekod rendah kecederaan pemain Slot yang amat hebat merupakan antara faktor dirinya menonjol berbanding dengan calon lain.
Dalam tempoh tiga musim beliau di Rotterdam, kadar pemain Feyenoord yang bersedia untuk bermain adalah lebih 90 peratus.
“Apabila Slot tiba, pasukannya tidak biasa bermain tiga perlawanan setiap minggu, jadi beliau mengatur banyak perlawanan persahabatan sebelum permulaan musim,” kongsi wartawan sering membuat liputan bagi Feyenoord, Sinclair Bishop.
Dan beberapa langkah baru telah diperkenalkan di Pusat Latihan AXA bagi memastikan pemain kekal di tahap terbaik.
Slot turut membenarkan pemain tidur di rumah sendiri pada malam sebelum perlawanan di stadium sendiri, berbanding di bawah bimbingan Klopp apabila mereka perlu tidur di hotel.
“Mereka yang lebih berpengetahuan tentang perkara ini memberitahu saya bahawa adalah lebih baik tidur di katil sendiri berbanding di katil hotel.
“Dan mutu tidur adalah bahagian penting dalam memberikan persembahan terbaik,” tambah Slot dalam sidang media.
Walaupun ia hanya dilihat sebagai perubahan kecil, keberkesanannya dapat dilihat. Dan ketelitian itulah yang telah menyumbang kepada kejayaan Slot di Feyenoord.
Slot dan kakitangannya telah berusaha menerapkan budaya yang sama di Liverpool, dan sejauh ini, pendekatan mereka membuahkan hasil, dengan pasukannya mendahului EPL.
Daripada 24 pemain yang telah membuat penampilan buat Liverpool di EPL musim ini, 11 pemain mengalami kecederaan yang telah menyebabkan mereka terlepas sekurang-kurangnya satu perlawanan liga.
Secara keseluruhan, pemain yang cedera itu terlepas 68 perlawanan liga musim ini.
Ini berbanding Arsenal, yang walaupun telah menggunakan 24 pemain juga musim ini, perbezaannya amat ketara, dengan 18 pemain terlepas 125 perlawanan liga secara keseluruhan.
Liverpool juga berjaya memastikan ia dapat mengelakkan kecederaan kepada pemain utama, seperti Salah, Virgil van Dijk dan Ryan Gravenberch.
Mereka antara pemain yang telah beraksi untuk setiap perlawanan EPL Liverpool musim ini.
Menuju ke penghujung musim, jika pasukan Slot berjaya merangkul lebih banyak trofi ke Anfield dalam beberapa bulan akan datang, rekod kecederaan skuad yang mengagumkan itu harus dianggap sebagai salah satu kejayaan terbesar mereka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg