Peluncur lelayang Maximilian Maeder membuktikan mengapa beliau menjadi antara atlet pilihan untuk memenangi pingat Sukan Olimpik di Paris, selepas menjuarai kejohanan dunia kedua berturut-turut pada 19 Mei.
Namun, pelayar Singapura itu bertekad menggandakan usaha dengan Sukan Olimpik bakal bermula sekitar dua bulan lagi.
Atlet berusia 17 tahun itu terus memaparkan penguasaannya, dan hanya perlu menang satu lagi perlumbaan untuk mengekalkan kejuaraan dalam final tiga pusingan Kejohanan Dunia Formula Kite di Hyeres, Perancis.
Walaupun ia adalah satu petanda menggalakkan bagi remaja tersebut, beliau juga menekankan perlunya terus berwaspada, kerana pesaingnya akan cuba mengalahkannya apabila sukan luncur lelayang diperkenalkan buat pertama kali di Olimpik di Marseille Marina, Perancis, lapor The Straits Times (ST).
“Ini bermakna mereka akan banyak belajar, perbaiki diri dan berlatih. Tugas saya ialah mengingati apa yang saya belajar selama ini, terus tekun, terus berdisiplin, dan saya perlu mengambil (kemenangan) ini sebagai panduan, bukannya satu pengesahan (keupayaan saya).
“Ini tidak bermakna saya akan berehat. Ia bermakna saya perlu gandakan usaha kerana memandangkan acara ini, ia satu perkara betul (untuk dilakukan),” ujar Maximilian.
Beliau menunjukkan prestasi mengagumkan musim ini dengan memenangi semua trofi yang ditawarkan.
Sebelum memenangi kejuaraan dunia, beliau turut memenangi Trofeo Princesa Sofia, kejohanan Eropah, Piala Terbuka Antarabangsa KiteFoil, dan Regata Negara Berkelayakan, semasa Minggu Olimpik Perancis, iaitu, satu latihan bagi pertandingan Paris.
Dengan selesainya kejohanan dunia, Maximilian akan berlatih di Marseille dan mungkin Croatia, sebagai persiapan akhir bagi menghadapi Sukan Olimpik.
“Saya percaya saya melakukan perkara yang betul dan saya benar-benar berusaha seperti yang saya lakukan selama ini.
“Tetapi tidak perlu ada perubahan besar dari segi falsafah atau pendekatan latihan kerana saya berharap (latihan) ini berjalan dengan baik sejauh ini,” katanya.
Pada kejohanan dunia di Hyeres, Maximilian layak ke peringkat akhir dengan dua kemenangan perlumbaan, selepas menduduki tempat pertama dalam siri pembukaan dan meraih 18 mata bersih.
Riccardo Pianosi dari Italy adalah pesaing terdekatnya dengan 34 mata.
Atlet tersebut turut mendapat tempat pada pusingan akhir, bersama Valentin Bontus dari Austria, dan Axel Mazella dari Perancis, yang mengambil dua lagi tempat selepas memenangi peringkat separuh akhir masing-masing.
Pada Kejohanan Dunia Pelayaran 2023, yang diadakan empat tahun sekali, Maximilian memenangi gelaran dunia sulungnya untuk menjadi pemenang termuda kejohanan dalam kategori pelayaran Olimpik.
Beliau kini berada di tempat keempat dalam ranking dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg