BARCELONA: Pemain sayap Barcelona, Raphinha, telah menandatangani lanjutan kontrak yang akan mengekalkannya bersama juara La Liga itu sehingga 2028, umum kelab gergasi Sepanyol itu pada 22 Mei.
Pemain antarabangsa Brazil itu, yang menyertai Barca dari Leeds pada 2022, sepatutnya tamat kontrak pada 2027, namun bersetuju untuk melanjutkan kontraknya dengan syarat baru selepas musim yang cukup cemerlang.
Kontrak baru itu juga dipercayai termasuk kenaikan gaji yang besar, menjadikannya antara pemain dengan bayaran tertinggi di kelab itu.
Raphinha sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab lain yang dilaporkan meminatinya tetapi di bawah kendalian Hansi Flick, prestasinya melonjak dengan cemerlang.
Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan 18 gol dan menyumbangkan sembilan assist (merintis peluang jaringan pasukan) dalam saingan La Liga musim ini, dengan Barca mengatasi saingan musuh ketat, Real Madrid, untuk menjuarai liga.
Namun, persembahan terbaiknya dihasilkan di pentas Liga Juara-Juara.
Dengan 13 gol dan lapan assist dalam pertandingan kelab berprestij Eropah itu, Raphinha kini dikhabarkan sebagai antara calon anugerah Ballon d’Or, meskipun Barca tersingkir di separuh akhir kepada Inter Milan.
Dengan kontrak baru ini, kededua Raphinha dan Barca berpeluang untuk terus bersaing di pentas Eropah dalam tahun-tahun akan datang.
Barcelona juga dilaporkan sedang merancang untuk membina pasukan masa depan di sekeliling beberapa tonggak utama termasuk Raphinha, Pedri dan Lamine Yamal.
Bekas pemain Leeds United itu kini berharap dapat menamatkan kerjayanya bersama Barcelona.
“Ini sangat bermakna buat saya dan merupakan sesuatu yang istimewa,” katanya kepada media.
“Ia benar-benar membahagiakan saya, dan sejak tiba di sini, matlamat peribadi saya adalah untuk memberikan kegembiraan kepada para penyokong,” tambahnya.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga, dan impian saya adalah untuk kekal di sini sehingga akhir kerjaya saya. Dan saya berharap dapat melakukannya dengan terus menunjukkan prestasi baik.”
Sepanjang tiga musim bersama Barcelona, Raphinha telah membantu kelab itu merangkul lima kejuaraan utama – dua La Liga, dua Supercopa dan satu Copa del Rey – dan muncul sebagai salah seorang pemain paling konsisten. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg