NEWCASTLE (United Kingdom): Penyerang England, Marcus Rashford, meraikan kepulangannya ke tanah air dan mengingatkan peminat Manchester United bakat yang mereka kehilangan dengan menjaringkan dua gol cantik dalam sembilan minit untuk membantu Barcelona menewaskan Newcastle United 2-1 dalam perlawanan pertama kempen Liga Juara-Juara Eropah mereka di St James’ Park pada 18 September.
Dengan ketiadaan pemain bintang muda Lamine Yamal yang cedera, Barcelona terpaksa menangkis tekanan berterusan serta dominasi oleh pasukan tuan rumah pada awal perlawanan.
The Magpies, nama julukan Newcastle, membuat banyak serangan yang berbahaya dalam separuh masa pertama tetapi gagal menghasilkan gol.
Penyerang Harvey Barnes hampir menjaringkan gol pada minit keenam setelah menerima hantaran yang mengatasi benteng Barcelona, namun beliau kemudian didapati ofsaid.
Barnes sekali lagi hampir memberi Newcastle gol pendahuluan pada minit ke-23 tetapi percubaannya dihadang oleh penjaga gawang Barcelona, Joan Garcia.
Barcelona, yang sudah memenangi Liga Juara-Juara Eropah lima kali, bangkit dalam babak kedua permainan dengan Rashford menunjukkan kecemerlangan pada minit ke-58.
Hantaran lintang dari sayap kanan oleh Jules Kounde disusuli disambut dengan tandukan kencang Rashford yang mengatasi penjaga gawang Newcastle, Nick Pope.
Hanya sembilan minit kemudian, Rashford mengawal bola di luar kotak penalti lalu meluncur ke kanan sebelum merembat bola kencang yang cecah jaring kiri gawang lawan.
Anthony Gordon berjaya merapatkan jurang pada minit ke-90 tetapi ia agak terlewat untuk menyelamatkan kelab England itu daripada kekalahan.
Barcelona akan menerima kunjungan juara Eropah musim lalu (2024/25), Paris St Germain, di Camp Nou pada 1 Oktober, manakala Newcastle akan menentang Union Saint-Gilloise di Stadium Marien pada hari yang sama.
Dalam pertarungan lain, Erling Haaland dan Jeremy Doku menjaringkan gol setiap satu untuk membantu Manchester City membuka kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Napoli.
City mengambil kesempatan ke atas kelab Serie A Italy itu selepas Napoli kehilangan pemain bek kanan yang dilayangkan kad merah.
Eintracht Frankfurt, Sporting Lisbon dan Club Brugge berjaya mencatatkan kemenangan di padang sendiri.
Eintracht Frankfurt membelasah Galatasaray 5-1, manakala Sporting Lisbon menundukkan FC Kairat 4-1. Club Brugge pula menewaskan Monaco 4-1.
Perlawanan antara FC Copenhagen dan Bayer Leverkusen pula berakhir dengan seri 2-2, di mana tiga gol dijaringkan dalam 10 minit terakhir yang hebat. – Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg